Friday, July 26, 2013
Firdaus Abdullah: Melayu Pasti Disegani Jika Umno, PAS Bergabung
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah berpandangan penggabungan tenaga politik Melayu yang diwakili Umno dan PAS akan disegani semua pihak termasuk petualang-petualang politik setiap kaum di negara ini.
Beliau berkata, hakikat itu terbukti pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Menurut beliau, Umno sewajarnya bersedia melihat dalam diri secara jujur dan menginsafi kesilapan sendiri manakala PAS pula seharusnya bermuhasabah dan kembali ke pangkal jalan.
"Tenaga politik Melayu yang terdiri daripada pelbagai komponen itu perlulah bersinergi, perlu disatukan dan digembleng secara teratur dan bersungguh-sungguh.
"Itulah mesej yang hendak disampaikan kepada UMNO dan Pas sebagai dua wadah perjuangan orang Melayu yang sepatutnya wujud untuk saling melengkapi dan tidak saling memusuhi," katanya ketika membaca surat terbuka khas kepada Umno dan PAS dalam sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, semalam.
Tambah Firdaus, orang Melayu kini berada dalam keadaan sangat kritikal dari pelbagai segi termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Beliau memberitahu, jika keadaan kritikal itu tidak dapat diatasi tidak mustahil kemajuan yang dicapai dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang akan pupus begitu sahaja.
"Kalau orang Melayu kehilangan kuasa politik seperti yang pernah dibayangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka amat sukar malah mungkin mustahil untuk menebus atau memperoleh kembali kuasa politik itu," katanya.
Walau bagaimanapun, Firdaus berpandangan, setakat ini, Umno dan PAS masih gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama sekali gus gagal dalam menggembleng tenaga politik Melayu yang utuh, berkesan dan berwibawa.
Beliau turut menyarankan Umno dan PAS menghayati pesanan Imam Masjidilharam, Sheikh Idris Ismail al-Hafiz yang mengingatkan umat Islam memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap mereka.
"Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam wajar dijadikan sebagai permulaan untuk hubungan baharu antara Umno dan PAS yang lebih produktif dan dimulakan dengan kesediaan untuk saling bermaafan dan besar hati," katanya.
Firdaus juga mencadangkan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim diberi peranan sebagai pemantau dasar-dasar kerajaan berkaitan pembangunan sosial dan negara khususnya yang melibatkan bahasa kebangsaan, Rukun Negara dan Wawasan 2020.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Lain kali aje lah......
pada pendapat hamba. pas akan hancur seumpama rumput kering dimakan api pada musim kemarau jika sekiranya bergabung dengan UMNO. Hamba berharap dan berdoa agar penggabungan yang menghancurkan Islam di Malaysia ini tidak akan berlaku. Apa gunanya Melayu kuat dengan menggadaikan Islam. Sedangkan kini Islam dipermainkan dan dipersendakan oleh pendukung- pendukung UMNO.
Apa la hang ni anon 9.43..Islam mengajar kita bersangka begitukah..apa salahnya bergabung...disitu barulah nampak siapa yang beriman akan menegur yg alpa..yg alpa dan lalai tetap berakal berkongsi ilmu kpd yg tawaduk..ilmu digarap berselang selang generasi melayu..roh Islam dihayati..muamalat sesama melayu..Islam adabnya..permuafakatan kepada haknye kita..Apakah satu dosa melihat melayu ini bersatu hati..
Post a Comment