Tuesday, September 24, 2013
Khairy: Mukhriz bebas untuk bertanding
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata anggota pergerakan itu tidak diminta menyokong calon tertentu pada pemilihan parti bulan depan.
Malah mereka bebas membuat pilihan sendiri, kata beliau ketika ditanya pendirian Pemuda Umno sama ada akan memberi sokongan kepada Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
"Dia (Mukhriz) bebas untuk bertanding, parti kita tak letak apa-apa sekatan," katanya selepas majlis perjumpaan dengan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Indonesia, pada acara jamuan petang di Dewan Malaysia Jakarta di Jakarta, Isnin.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam rangka lawatan dua hari ke Indonesia mulai Isnin.
Hari ini beliau ke Palembang, tempat berlangsungnya Temasya Sukan Perpaduan Islam.
Mukhriz dan Khairy pernah terlibat dalam pertandingan sengit untuk jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti yang lepas.
Dalam pemilihan parti peringkat pergerakan pemuda kali ini, Khairy yang mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua, ditentang oleh empat calon lain iaitu Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar.
Pemilihan parti peringkat Naib Presiden Umno menyaksikan pertandingan enam penjuru apabila tiga penyandang jawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tetap menawarkan diri mempertahankan jawatan masing-masing dicabar oleh tiga calon lain.
Selain Mukhriz, dua pencabar lain ialah Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Steady KJ !
Post a Comment