Sepertimana yang saya katakan di dalam Dewan mulia, pada dasarnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima keputusan mendenda Ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian – Latt Sharizan Abdullah (Petaling Jaya Utara), Megat Zulkarnain Dato' Omar Din (Gombak), Azahari Dato' Shaari (Shah Alam) and Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal (Serdang) – RM1000 setiap seorang. Individu-individu ini sudah pun memohon maaf kepada institusi Parlimen dan Yang DiPertua Dewan atas insiden tersebut. Meskipun begitu, kejadian itu perlu dikaji melalui kanta yang objektif dan mengambilkira konteks sebenar.
Pertama sekali, laporan Jawatankuasa telah menunjukkan bahawa tiada sebarang kekerasan fizikal yang dilakukan oleh empat orang pemimpin Pemuda Umno tersebut terhadap YB Karpal – malah tiada rekod sebarang sentuhan ke atas tubuh badan YB Karpal pun. Usaha pihak pembangkang menggembar-gemburkan insiden itu seolah-olah Pemuda UMNO berniat menyerang seorang Ahli Parlimen secara fizikal tidak tepat sama sekali.
Dan yang lebih penting lagi, umum juga perlu memahami bahawa perkara itu tidak terjadi dengan sendirinya tanpa sebab musabab atau punca sebenar. Sejarah wajar menilai dengan menyeluruh bahawa apa yang berlaku pada 26 Februari itu tidak boleh sama sekali dipisahkan dari ucapan YB Karpal sendiri dalam Dewan pada hari sebelumnya. Pada persidangan 25 Februari, YB Karpal dengan penuh celupar menuduh Pemuda UMNO mengirim dua butir peluru kepadanya walaupun sampai hari ini tiada sebarang bukti untuk menyokong kenyataan beliau. Tidak cukup dengan fitnah tidak berasas itu, YB
Karpal dalam ucapan sama telah memanggil Pemuda UMNO “celaka” lebih daripada sekali. Bukan niat saya untuk memberi alasan kepada tindakan empat pemimpin Pemuda UMNO tersebut, tetapi apabila sebuah institusi yang kaya dengan sejarah dan pengorbanan demi perjuangan agama, bangsa dan negara dikeji sebegitu rupa dan dituduh melakukan jenayah berat tanpa bukti, sudah pasti ia akan menimbulkan perasaan marah di kalangan ahli dan pemimpinnya.
Apa yang paling menarik adalah keengganan YB Karpal mengulangi tuduhan beliau di dalam mahupun luar Dewan di mana beliau dilindungi dengan kekebalan atau imuniti sebagai Ahli Parlimen, sungguhpun sekali lagi dicabar oleh saya semalam. Saya telah cabar YB Karpal dengan matlamat untuk mencari kebenaran dalam hal ini - sama ada dia boleh memberi bukti untuk memperkukuhkan tuduhannya terhadap Pemuda UMNO. Kegagalan YB Karpal untuk menyahut cabaran saya membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang penakut kerana tahu jika pembohongannya diulangi, khusunya di luar dewan, besar kemungkinan beliau akan menghadapi tindakan mahkamah.
Malang sekali, tatkala Pemuda UMNO dengan cukup berhemah dan secara terhormat walaupun perasaan marah masih membuak-buak telah pun memohon maaf kepada institusi Parlimen, YB Karpal pula masih angkuh dan tidak rela mengaku silap seperti seorang ‘gentleman’, malah tergamak untuk meminta Pemuda UMNO memohon maaf kepada dirinya secara peribadi. Sebagaimana yang saya bahaskan di dalam Dewan, sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya tidak akan sekali-kali membenarkan ahli Pemuda terbabit untuk berbuat demikian kerana kesalahan mereka adalah kepada institusi Parlimen dan bukan kepada seorang manusia pembohong seperti YB Karpal Singh yang merupakan punca sebenar kepada isu tersebut dengan keceluparan mulutnya.
Dengan sikap Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang masih membela YB Karpal, nyata sekali bahawa pihak pakatan pembangkang masih kekal mengambil sikap meraih simpati dengan memperbesarkan isu kesalahan orang lain, tetapi tidak mahu bertanggungjawab atas kelakuan melampau sendiri, seakan-akan baling batu sembunyi tangan. Saya yakin rakyat akan menilai sendiri hipokrasi ini sebagai petanda suatu Pakatan yang tidak matang dan lebih selesa menimbulkan kekecohan untuk menarik perhatian kerana ketandusan isu konkrit membela rakyat.