‘Kepada pengundi kawasan DUN Manek Urai, selamat menjalankan tanggungjawab anda membuat pilihan terbaik hari ini’
Oleh SABRANI MUIN
SESUNGGUHNYA, BN dan Pas hanya boleh memujuk pengundi untuk mengundi mereka. tetapi pengundi belum menjanjikan apa-apa keputusan sehinggalah peti undi ditutup hari ini dan pengiraan undi tamat. Baru itulah kita tahu apakah pilihan pengundi sebenar-benarrnya setelah mereka mendengar kempen yang berlangsung selama 10 hari lalu.
Dalam mana-mana pilihan raya, semua parti yang bertanding akan menaruh harapan tinggi untuk menang. Sekadar membuat tekaan, apa pun boleh. Penyokong Pas akan kata Pas akan menang. Begitu juga dengan penyokong BN, mereka akan kata BN menang kali ini.
Tidak kurang pula yang mengatakan soal menang atau kalah adalah soal lain. Yang pentingnya ialah masing-masing telah menunjukkan satu teknik berkempen yang tidak mencetuskan perbalahan, pergaduhan mahupun keganasan sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan garis panduan baru.
Tanpa pondok panas, tanpa membenarkan mana-mana parti yang tidak berkenaan mencampuri kempen dengan memasang bendera parti masing-masing adalah merupakan satu langkah yang telah membuktikan cara terbaik bagi memastikan ruang untuk parti bertanding lebih tersusun.
Untuk Barisan Nasional mengila-gila mahukan kemenangan di Manek Urai adalah tidak benar. Apa yang dijanjikan seperti menjadikan ia anak emas dan membina jambatan dengan limpahan jutaan ringgit hanya akan berlaku jika BN mendapat mandat dari pengundi. Jika kalah, tidak ada sebab pula kerajaan pusat mahu meneruskan janji itu.
Tetapi sepertimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai peruntukan RM125.9 juta untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat di daerah itu adalah sememangnya sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) dari jumlah RM1.7 bilion untuk membiayai 75 projek pembangunan termasuk mendirikan 13 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah dan menaikkan taraf dan pembinaan rumah guru serta asrama.
Peruntukan ini tidak ada ada kaitan tambahan untuk memancing undi, tetapi lebih kepada memaklumkan kepada penduduk Negeri Kelantan bahawa walaupun Negeri Kelantan bukan diperintah BN tetap mempunyai peruntukan untuk pendidikan. Muhyiddin terpaksa memaklumkan di musim kempen ini kerana ada tohmahan yang mengatakan kerajaan perekutuan telah mengabaikan Kelantan terutama di daerah Kuala Krai.
Dalam soal pendidikan, kerajaan BN terbukti tidak memilih bulu atau membeza-bezakan keperluan rakyat tidak kira ianya diperintah oleh siapa. Ia berbeza dengan janji membina jambatan, memberi taraf anak emas atau menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan umpamanya.
Sememangnya selama ini, kemunduruan Negeri Kelantan selalu dikaitkan dengan kerajaan persekututan tidak ambil peduli dan kononnya kerana itulah Kelantan dilihat sebagai negeri kurang maju berbanding negeri-negeri yang diperintah oleh BN. Untuk memajukan sesebuah negeri, ia amat bergantung pada kecekapan, kemampuan, kretiviti dan kebijaksanaan parti yang memerintah.
Tetapi perkara asas terutamanya pendidikan, memang menjadi tanggungjawab kerajaan pusat meyamaratakan peruntukan supaya pembangunan pendidikan menjadi seimbang sebagai bantuan asas kepada negeri dalam sebuah negara. Soal rakyat Kelantan dengan masalah pelupusan sampah, perumahan, pengindahan atau seumpamanya adalah tanggungjawab kerajaan negeri.
Sekiranya di Manek Urai BN dapat ‘tawan’ dalam pilihan raya kecil kali ini, tentunya dalam masa yang singkat, ia akan menjadi satu kawasan yang dilimpahi dengan pelbagai bentuk pembangunan sebagai menunjukkan BN lebih mampu menyediakan satu pasarana persekitaran yang berbeza jika dibandingkan dengan kawasan lain di Negeri itu kelak.
Sebaliknya, atas sebab itulah juga, Pas bermati-matian tidak mahu pengundi memilih BN kerana apa yang BN akan lakukan selepas ini tentu sekali akan membeliakkan mata kawasan-kawasan lain yang tidak mampu menandingi kemajuan ketara di Manek Urai sekiranya BN menang.
Mungkin selama ini Pas tidak memikirkan langsung pasal pembangunan seperti menjadikan mana-mana kawasan di negeri itu di mana terdapat hasil tani yang berpotensi dijadikan kawasan agropolitan. Mungkin Pas tidak terfikir atau tidak mampu untuk membina jambatan lebih selesa kepada penduduk di Manek Urai atas polisi gunakanlah apa yang ada sudah memadai.
Itu satu perbezaan yang ketara antara kerajaan Pas dan BN. Selain daripada BN mampu dari segi kewangan, ia juga mampu menyediakan pakar untuk memajukan sesuatu pembangunan mega yang moden yang pasti menjanjikan pulangan hasil jauh lebih berganda untuk dilimpahkan semula kepada rakyat terus menikmatinya.
Atas sebab itu juga, secara kasarnya BN tidak perlu terkilan kalau pengundi tetap memilih Pas tetapi penduduk Manek Urai yang memerlukan BN untuk menikmati perubahan yang mana hanya BN yang mampu merealisasikan apa yang dijanjikan dan seterusnya melaksanakan tambahan-tambahan untuk menyesuaikan dengan kedudukan anak emas kawasan itu.
Semuanya terserah pada pengundi untuk membuat pilihan mereka. Kepada pengundi kawasan DUN Manek Urai, selamat menjalankan tanggungjawab anda membuat pilihan terbaik hari ini.