Setelah bersama dalam pakatan pembangkang selama lima tahun (2008-2013), sikap PAS sudah banyak berubah sehingga banyak juga desakan agar keluar dan berjuang bersendirian dan kembalikan matlamat asal melaksanakan sistem pemerintahan berdasarkan syarie. PAS sebenarnya sudah dan sedang melaksanakan tranformasi ideologi apabila bergurukan dengan Anwar termasuk semakin berani untuk mengetuai protes dan kalau sebelumnya, para pemimpin memperhebatkan ceramah di kampong-kampong dan masjid-masjid.
Kini, PAS sudah semakin meninggalkan platform masjid kerana terpegaruh dengan ceramah perdana yang menjadi pilihan Anwar. Ceramah perdana dan protes jalanan adalah kaedah Anwar untuk memperlihatkan dirinya yang berupaya mempengaruhi masyarakat umum meskipun dalam beberapa keadaan, kehadiran ramai itu bukanlah sesuatu yang bersifat sukarela, masih ada unsur-unsur kerahan.
Suatu ketika dahulu, dalam tahun 1980-an ceramah-ceramah PAS sering mendapat sambutan besar meskipun berlangsung dalam suasana yang tidak selesa kerana para penyokongnya sedia datang daripada mana-mana kawasan hendak mendengar tokoh-tokoh besar mereka, terutamanya Haji Hadi yang pernah diberikan harapan bakal memberikan impak besar kepada parti pembangkang. Sorotan beberapa majalah asing, misalnya Asiaweek yang diterbitkan di Hong Kong pernah meletakkan foto Haji Hadi sebagai hiasan kulit depan membayangkan ketokohannya sebagai pemimpin politik Islam yang berwibawa kerana ceramahnya mendapat ribuan khalayak.
Peringkat awal bergabung dalam pakatan pembangkang, ceramah-ceramah yang dikendalikan bersama hampir menyebabka kesesakan lalulintas yang panjang, tetapi kini ceramah-ceramah mereka hampir lesu. Rakyat tidak lagi sanggup mendengar kutukan dan hujah yang bersifat memperbodohkan rakyat menerusi jargon politik yang dikaitkan dengan istilah-istilah Arab. Ketika mula memperkenalkan konsep tahaluf siyasi, ramai juga pemimpin akar umbi PAS mula sangsi dengan keputusan itu kerana Haji Hadi terpaksa menepis secara drastiknya amanat yang dikeluarkan pada tahun 1981 di surau Banggul Peradong, Manir, Terengganu dengan melabelkan UMNO “kafir” dan perlu berjihad menentang UMNO di mana darah penyokong-penyokongnya adalah halal.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai ulama sederhana pada peringkat awal memerintah Kelantan dan terkenal dengan andaian “menyokong PAS mendapat pahala” akhirnya menjadi semakin tidak konsisten, sanggup mempertahankan keputusan yang salah. Akibatnya, PAS semakin dianggap “menggunakan agama untuk meraih sokongan” apabila pendirian bersifat khawarij sentiasa diambil bagi mewajarkannya. Ketika Shahnon Ahmad diserang dan pernah dicadangkan agar ditarik balik anugerah Sasterawan Negara akibat dua buah novel lucah dan bahasa kesat, Shit dan Muntah, Mursyidul Am PAS membuat kenyataan bahasa sedemikian tidak salah kerana “Allah juga mencarut” dan “lebih samseng.”
Kekecohan itu berlaku akibat mempertahankan kepongahan Shahnon untuk memberikan penilaian terhadap politik semasa di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir yang “memecat Anwar” di mana Shahnon merupakan ahli seumur hidup PAS. Bagaimanapun, setelah bergelar wakil rakyat atas tiket PAS, Shahnon yang lebih mesra dipanggil Che Gu semakin tidak diberikan perhatian oleh parti yang disokongnya setelah menderita sejenis penyakit saraf.
Dalam kesulitan itu, Che Gu Shahnon masih diberikan kekuatan akal untuk meneruskan bidang yang diminatinya, iaitu penulisan. Anwar telah berjaya mentransformasikan PAS dengan hanya memberikan dorongan kepada rakan-rakannya agar memilih parti itu sekiranya tidak mahu dituduh sekular dan liberal. Kemasukan Kamarudin Jaafar misalnya sedikit sebanyak menjadi titik pencerahan kepada pengaruh Anwar dalam parti Islam ditambah beberapa orang bekas pemimpin dalam Angkatan Belia Islam Malaysia sudah lama bertapak sejak memilih untuk masuk UMNO pada tahun 1982.
Kemuncaknya semakin jelas apabila dalam Muktamar Tahunan PAS pada tahun 2011, Mohamad Sabu mencapai kemenangan mengalahkan penyandang, Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Mat. Sebaik sahaja menang, PAS didakwa semakin kehilangan peranan ulama dalam kepimpinannya, Mohamad Sabu mula mencipta sejarah dengan mempersoalkan makna nasionalisma. Inilah buat pertamakali dalam PAS nasionalisma menjadi isu yang dipertahankan kerana sebelumnya PAS tidak mahu menerimanya kerana dianggap sekular dan bersifat asabiyyah.
Sejak Mohamad Sabu mengaitkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, ramailah pemimpin PAS buka mata untuk mempertahankannya walhal ramai yang kurang sedar, budaya anarkisme sedang dikembangbiakkan oleh seseorang yang pernah menolak Anwar. Suatu ketika, Mohamad Sabu pernah melabelkan Anwar sebagai seorang yang amat rendah moralnya dan tidak memerlukan pemimpin seperti itu untuk memerintah, tetapi setelah beliau menang, termasuk menang kes khalwat dan Timbalan Presiden PAS, beliau begitu bersungguh-sungguh mempertahankan gaya politik Anwar termasuk sokong budaya anarkisme.
Pada tahun 2013, permulaan tahun baharu Mohamad Sabu menjadi pemimpin PAS pertama yang mendahului kumpulan Anwar untuk melancarkan perhimpunan jalanan. Pada bulan Oktober 2012, Mohamad Sabu membuat perancangan untuk mengumpulkan sejuta orang berarak di Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 dengan menggunakan nama KL#112 atau Himpunan Kebangkitan Rakyat. Kalau dalam Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, Mohamad Sabu berada dibelakang NGO yang pro Anwar termasuk kelompok yang pernah menimbulkan kontroversi mengenai forum interfaith dan desakan pilihan raya bersih.
Himpunan KL#112 hanya berjaya menghimpunkan sekitar 50,000 orang itu dilihat sebagai satu kegagalan buat penganjurnya kerana kedatangan sebahagian besar peserta adalah dengan tajaan pihak-pihak tertentu, termasuk PAS dan PKR, tetapi penyertaan ahli DAP kurang menyerlah. Lebih 90 peratus kehadiran di Stadium Merdeka adalah orang Melayu dan menampakkan bahawa KL#112 adalah untuk menjaga kepentingan PAS yang bergolak dengan isu Kalimah Allah.
Dalam satu rencana yang ditulis oleh Zulkiflee Bakar, Keberanian PAS Semakin Terhakis, Utusan Malaysia 12 Februari 2013, sejak menjalin kerjasama atau tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP, parti itu semakin hilang keberaniannya, termasuk dalam mempertahankan penghinaan ke atas Islam dan akidah ummah. Sebelum itu, Mursyidul Am PAS sekali lagi terpaksa membuat penafian bahawa Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan tidak menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri seandainya pakatan pembangkang menang PRU-13.
Bagi Nik Aziz kebocoran maklumat daripada pertemuan antara Anwar dan Dr Harun Din di Bangi pada Selasa lalu (5 Februari 2013) tanpa menjelaskan butiran yang dibincangkan. Pertemuan itu kemudiannya mendapat perhatian umum apabila beberapa orang penulis blog memberikan interpretasi keresahan Anwar yang tidak lagi diterima oleh PAS sebagai calon Perdana Menteri. Hal ini sebenarnya sudah disuarakan oleh akar umbi PAS ketika bermuktamar di Kota Bahru pertengahan November lalu sehingga memeningkan Haji Hadi sendiri.
Sebagai Presiden, yang juga pemimpin yang begitu kuat mempertahankan kehendak Anwar sehingga sanggup menutupi pintu kerjasama dengan UMNO dan BN terpaksa meredakan sahabat-sahabatnya dengan berkata: soal siapa Perdana Menteri tidak penting. Yang lebih penting ialah pakatan pembangkang menang PRU-13 terlebih dahulu, baru bincang siapa Perdana Menteri. Bagaimanapun kepalang ajar PAS sejak bersama pakatan pembangkang ialah memaksakan dirinya bertransformasi ke arah perjuangan politik sekular dan liberal, termasuk menukarkan slogan “negara Islam” kepada “negara berkebajikan.”
Bila persoalan itu dibangkitkan, dengan celarunya pemimpin PAS menepis bahawa konsep negara berkebajikan PAS adalah sama dengan apa yang disarankan oleh Islam sedangkan ketika berusaha menjadi lebih Islam, PAS tidak mampu menyediakan kebajikan kepada para pengundinya.
Sejak tahun 2008, PAS menjadi semakin terdesak untuk melakukan transformasi ekonomi dengan memberikan lebih besar tanah kepada syarikat asing, yakni bukan rakyat Kelantan dalam projek Ladang Rakyat di gugusan Paloh, penerokaan tanah tinggi lojing oleh syarikat daripada Singapura untuk tanaman sayur-sayuran, lebih 4,000 hektar projek penanaman semula hutan kepada sebuah syarikat kepunyaan pemimpin DAP Perak dan menyambung semula kontrak pembangunan Lembah Sireh yang gagal memberikan hasil kepada kerajaan negeri sehingga tahun 2020.
Kaedah pemberian sijil pemilikan LAdang Rakyat dipertikaikan sebagai usaha menggadai tanah peneroka Felda sedangkan sebelum ini PAS turut mengkritik usaha Felda Global Venture Holding menyenaraikan di Bursa Saham bagi membolehkan FELDA berkembang di persada antarabangsa sebagai “menggadai tanah rakyat”, maknanya, cara PAS menipu adalah lebih bahaya dan dahsyat. FGVH tidak memaksakan peneroka menyerahkan tanah mereka, tetapi memberi pilihan untuk menerima penyenaraiannya.
Dengan menerima tawaran tersebut, peneroka mempunyai saham dalam FGVH tetapi tidak akan kehilangan tanahnya meskipun ada kesulitan berlaku, kerana yang diniagakan ialah pelaburan dan bukannya tanah peneroka. Ia amat berbeza dengan Projek Ladang Rakyat kerana peneroka dipaksa menyerahkan tanah mereka untuk dimajukan oleh pihak tertentu manakala peneroka dijanjikan tanah yang lain sebagai ganti dan gaji sejumlah RM 750 sebulan sebagai pekerja. PAS sebenarnya telah gagal dalam membangunkan Ladang Rakyat dan kerana itulah ramai para peneroka yang tertipu bangkit mempersoalkan projek tersebut.
Masyarakat orang Asli di Hulu Kelantan kini tampil memberikan tentangan kepada kerajaan negeri Kelantan kerana penerokaan hutan tanpa kawalan menyebabkan kehidupan mereka semakin terancam, di mana punca air kian keruh dan beracun. PAS tidak mempedulikan hal itu kerana ia tidak mengakibatkan keselesaan pemimpinnya tergugat, kerana pemimpin PAS memang bijak mengatakan bahawa itu adalah pengorbanan dan jihad yang wajib dilakukan. PAS melakukan perkara itu kerana cara itulah yang boleh menjamin masa depan rakyat.
Anggaplah kesukaran pada hari ini sebagai cubaan dan ujian, tentunya selepas semuanya selesai, ia bukan lagi masalah yang besar. Cara berpolitik yang sama pernah dilakukan oleh pemimpin PAS apabila penanaman tembakau yang menjadi sebahagian punca pendapatan petani di Kelantan setelah tanaman lain tidak menguntungkan, PAS pernah berjanji untuk mempelbagaikan hasil dengan menggalakkan rakyat menanam keledek vitato, sentang, jarak dan pokok depu.
Tidak semua penduduk yang menanam keledek vitato dapat hasil yang lumayan kerana kerajaan negeri tidak membangunkan indusri hiliran, hanya mengharapkan peranan MARDI. Kini penanaman pokok depu tidak lagi menjadi bahan propaganda PAS kerana proses penanamannya memerlukan modal yang besar untuk mendapatkan hasil. Tempoh matang pokok depu ialah tujuh tahun, dan sebelum dapat dituai hasilnya, petani memerlukan suntikan yang berharga tujuh ribu ringgit setiap pokok. Bagaimanapun, suntikan itu belum menjamin terhasilnya resin untuk dijual sebagai bahan minyak wangi. Ini bererti, untuk mendapatkan hasil, petani perlukan modal yang teramat besar, termasuk membayar kos menyuntik hormon. Begitu juga dengan penanaman pokok jarak untuk kegunaan industri penerbangan.
Bahkan kerajaan negeri Terengganu lebih menarik, kerana pembangunan industry pertanian disusuli dengan pembinaan kilang pemerosesannya untuk dijadikan hasil separa atau produk siap. Kerajaan Terengganu membangunkan rantaian yang lengkap dan bukannya, sekerat jalan sebagaimana kerajaan PAS Kelantan yang hanya selesaikan masalah untuk menyedapkan hati rakyat.
Sejak mula berguru dengan Anwar Ibrahim PAS juga dikatakan mula melemahkan kekentalannya mengenai hukum bertahaluf siyasi yang dianggap sebagai kerjasama pak turut terhadap kehendak DAP dan PKR. Ini dapat dilihat bagaimana PAS cuba nak selamatkan DAP atas isu Kalimah Allah sehingga merobekkan kepercayaan penyokongnya apabila membuat keputusan lebih awal daripada pendirian muafakat dalam Majlis Syura Ulama.
Percanggahan itu menggambarkan betapa ghairahnya PAS nak selamatkan Lim Guan Eng yang masih diam membisu berhubung cadangannya yang menyebabkan polemik menghina Islam. Kini, dalam parti terdapat arus yang kuat mahukan Haji Hadi sebagai Perdana Menteri manakala PAS tetap mahu menjaga hati Anwar yang disokong oleh DAP. DAP sebenarnya berusaha membunuh PAS, manakala PKT pula berusaha membunuh UMNO.
Kalau DAP perlukan PKR untuk membunuh UMNO dan PAS, maka tidak ada sebab untuk PAS mempertahankan pemuafakatannya dalam pakatan pembangkang. Kini semakin jelas, PAS tidak mampu mempertahankan perjuangannya kerana setiap kali bersuara lantang, DAP akan menyanggah dengan pelbagai rasional manakala PKR berusaha menjadi orang tengah sekadar “tunggu dan lihat.”
PAS juga mengambil sikap yang sama apabila UMNO dan PKR berperang atas isu nasional, menyebabkan pemimpin parti tidak berani memohon agar Anwar menyatakan pendiriannya dengan jelas. Ini dapat dilihat daripada kewajaran PAS memberikan alasan bahawa tidak mengiktiraf Israel tetapi tidak mendesak Anwar memberikan penjelasan “mempertahankan keselamatan Israel” dan juga isu-isu pluralisme agama. PAS bukanlah tonggak utama dalam pakatan pembangkang.
Kedudukannya hanyalah sekadar askar yang akan dikerahkan untuk berperang dengan UMNO manakala DAP sediakan peluru. Kini, PAS terdesak untuk menagih simpati DAP dalam banyak perkara, kerana PAS sebenarnya takut kalah kerana para pengundi yang pernah memberikan sokongan mula resah, mereka mahukan hasil dan bukannya “janji manis”. Kebenarannya makin jelas, PAS hilang keberanian dan kesungguhannya.
PAS seolah-olah sedang menongkah arus kebencian penyokongnya sendiri. Tentunya, ramai pemimpin PAS akan lemas dalam cabaran itu dan PRU-13 bakal menentukan nasib malang kerana mempermainkan agama untuk kepentingan politik. Ramai yang boleh bersetuju dengan pendapat Prof Dr. Mohamed Mustafa, bahawa : Mereka yang memilih untuk mewujudkan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi akhirnya hanya sekadar menjadi pak turut sahaja. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Pas dan inilah yang membimbangkan kepimpinan parti itu.
Dan kerana itu, kata Prof Dr Mohamed lagi, ”Kepimpinan Pas bimbang, jika ahli-ahli Pas terus marah dengan situasi yang berlaku, mereka tidak akan bekerja dalam pilihan raya, keadaan ini boleh membahayakan pakatan pembangkang…Persoalannya, mahukah jentera pilihan raya Pas bekerja bermati-matian sedangkan yang akan untung akhirnya PKR dan DAP.”
Semalan, lima buah NGO di Kelantan telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak menyokong PAS selagi parti itu masih mempertahankan pakatan pembangkang. Antara NGO yang berbuat demikian ialah Minda Pondok. Manakala di Kedah, PAS semakin bermasalah. Maknanya, PAS belum tentu dapat mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan di Kedah dan Kelantan walaupun Nik Aziz dan Azizan terus optimis. Nik Aziz dan Azizan sebenarnya semakin kehilangan pengaruh dan sokongan.
Bahkan, Nik Aziz semakin dibenci oleh para penyokongnya sendiri kerana berdegil dengan pendapatnya sendiri walaupun tidak semua pendiriannya adalah sesuai dengan kehendak Islam. Sifat autokrasi Mursyidul Am PAS sudah sampai ke peringkat yang tidak boleh diterima oleh pengundi, maka bersedialah untuk beliau menerima kekalahannya dalam PRU-13.
Tatkala itu, janganlah membuat tuduhan kekalahannya adalah kerana tektik kotor, kerana sudah terlalu lama beliau mencalitkan kekotoran terhadap imej PAS dan Islam.
Mustakim Muhammad