Friday, April 20, 2012

Raut Muka Anwar Topik Hangat Di Facebook


Raut muka Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menjadi topik hangat di facebook apabila facebooker ‘Fariz Aazim‘ meletakkan sekeping foto Ketua Umum PKR itu yang dikongsi bersama dengan facebooker ‘Mulut Mummy’ dan facebooker ‘Minaq Jinggo’.

“Antara gambar terbaru Anwar bin Ibrahim…nilaikan lah sendiri..!” kata Fariz Aazim yang ditanda kepada Minaq Jinggo dan 45 facebooker yang lain.

Foto Anwar yang dimuat turun sejak 17 jam yang lalu, setakat ini dikomen oleh 286 facebooker yang lain.

Menariknya, seperti satu ‘gelombang protes senyap’, topik tentang raut muka Anwar Ibrahim sejak akhir-akhir mula menjadi satu topik hangat yang menarik perhatian facebooker untuk diperkatakan. -AIDC






Rang Undang-undang AUKU (Pindaan) 2012 Diluluskan Dengan Pindaan


Persidangan Dewan Rakyat malam Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, dengan pindaan yang membenarkan pelajar universiti memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan di dalam dan di luar kampus.

Perenggan 15(2)(c) telah digugurkan yang dicadangkan melarang pelajar daripada bertanding dalam pilihan raya bagi atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam kampus, jika pelajar itu memegang apa-apa jawatan dalam sesuatu parti politik.

Larangan itu bertujuan untuk mengekalkan keberkecualian di dalam kampus.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang telah mencadangkan untuk menggugurkan subseksyen itu berkata sekatan tersebut akan memberi ruang yang sangat besar kepada pihak tertentu untuk terus mengkritik kerajaan.

Katanya mereka akan memberikan hujah yang mengatakan kerajaan tidak ikhlas dan tidak komited dengan semangat keterbukaan dan pengiktirafan kepada mahasiswa.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut berkata kementerian bersetuju supaya subseksyen tersebut digugurkan berikutan hujah yang diberikan adalah menyakinkan.

Mengulas mengenai kebimbangan anggota Parlimen sama ada pindaan tersebut boleh menjejaskan peranan universiti dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian, beliau berkata perkara tersebut telah diberi pertimbangan oleh kepimpinan negara apabila bersetuju untuk melakukan pindaan terhadap akta berkenaan.

Katanya pindaan itu adalah bagi mencapai keseimbangan antara soal kebebasan politik dan juga bagi mencapai matlamat pendidikan.

Datuk Dr Mohamed Shahrum Osman (BN-Lipis) melahirkan kebimbangan jika idelogi parti dan agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau partisan politik menular di dalam kampus.

Katanya beliau bimbang ia akan menimbulkan masalah jika tidak dapat dikawal.

Bagaimanapun, katanya beliau berharap mahasiswa menggunakan peluang yang telah terbuka dan diberikan oleh kerajaan itu sebaik-baiknya untuk menunjukkan yang mereka sudah cukup matang dan bersedia menggunakan kebebasan yang diberikan tanpa menjejaskan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar universiti yang berilmu dan berjaya.

"Saya berharap mahasiswa bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan bagi memastikan mereka tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab utama.

"Harapan ibu bapa dan komitmen penaja pengajian, keharmonian kampus dan hak pelajar lain yang ingin belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan soal berpolitik yang melampau dalam kampus," katanya.

Katanya beliau berharap pentadbiran universiti dapat menasihati pelajar untuk menggunakan kebebasan dengan sebaik-baiknya dan jangan mudah diperalatkan oleh mana-mana pihak.

-Bernama

DAP Pulau Pinang Persenda Agong


Tindakan Kerajaan Negeri yang enggan menerima pelantikan Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim sebagai Yang Dipertua Majlis (YDP) Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dianggap membelakangkan dan mempersendakan titah Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, alasan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman yang mengakui Kerajaan Negeri telah melakukan kesilapan dalam pelantikan jawatan penting itu juga tidak boleh diterima kerana ia bukan perkara yang boleh dipermainkan.

Zainal berkata, pelantikan Abdul Malik untuk jawatan itu adalah atas permintaan Kerajaan Negeri sendiri, namun apabila ia telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 10 Februari lalu tetapi titah berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya, tindakan Kerajaan Negeri membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man pula dilantik untuk jawatan berkenaan jelas memperlihatkan mereka cuba mencabar institusi raja.

“Alasan kesilapan Kerajaan Negeri dalam isu pelantikan ini sukar diterima. Bagaimana mereka (Kerajaan Negeri) nak mentadbir hal ehwal agama Islam kalau hal-hal semudah pelantikan YDP ini pun boleh tersilap,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan bekas YDP MAINPP, Datuk Shabudin Yahya.

Kelmarin, pada satu sidang media khas, Mansor mengakui Kerajaan Negeri telah melakukan kesilapan dalam isu pelantikan YDP MAINPP yang baru.

Dalam pada itu, Zainal turut membidas tindakan Kerajaan Negeri yang lewat menghantar nama pengganti YDP sedangkan Kerajaan Negeri tahu tempoh perkhidmatan YDP terdahulu iaitu Elias Zakarian akan tamat pada 31 Disember 2011.

Menurutnya, Kerajaan Negeri hanya menghantar nama pengganti YDP untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan pada 22 Disember 2011.

“Sepatutnya sebagai Kerajaan Negeri perlu menghantar nama itu sebulan atau dua bulan untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Ini dah la lambat. Kemudian bila dah diperkenankan titah itu tidak dilaksanakan pula,” katanya.

Zainal berkata, MAINPP mempunyai bidang kuasa amat besar di mana mereka boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam kecuali hukum syarak.-SH