Friday, April 20, 2012

DAP Pulau Pinang Persenda Agong


Tindakan Kerajaan Negeri yang enggan menerima pelantikan Exco Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim sebagai Yang Dipertua Majlis (YDP) Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dianggap membelakangkan dan mempersendakan titah Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, alasan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman yang mengakui Kerajaan Negeri telah melakukan kesilapan dalam pelantikan jawatan penting itu juga tidak boleh diterima kerana ia bukan perkara yang boleh dipermainkan.

Zainal berkata, pelantikan Abdul Malik untuk jawatan itu adalah atas permintaan Kerajaan Negeri sendiri, namun apabila ia telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 10 Februari lalu tetapi titah berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya, tindakan Kerajaan Negeri membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man pula dilantik untuk jawatan berkenaan jelas memperlihatkan mereka cuba mencabar institusi raja.

“Alasan kesilapan Kerajaan Negeri dalam isu pelantikan ini sukar diterima. Bagaimana mereka (Kerajaan Negeri) nak mentadbir hal ehwal agama Islam kalau hal-hal semudah pelantikan YDP ini pun boleh tersilap,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan bekas YDP MAINPP, Datuk Shabudin Yahya.

Kelmarin, pada satu sidang media khas, Mansor mengakui Kerajaan Negeri telah melakukan kesilapan dalam isu pelantikan YDP MAINPP yang baru.

Dalam pada itu, Zainal turut membidas tindakan Kerajaan Negeri yang lewat menghantar nama pengganti YDP sedangkan Kerajaan Negeri tahu tempoh perkhidmatan YDP terdahulu iaitu Elias Zakarian akan tamat pada 31 Disember 2011.

Menurutnya, Kerajaan Negeri hanya menghantar nama pengganti YDP untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan pada 22 Disember 2011.

“Sepatutnya sebagai Kerajaan Negeri perlu menghantar nama itu sebulan atau dua bulan untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Ini dah la lambat. Kemudian bila dah diperkenankan titah itu tidak dilaksanakan pula,” katanya.

Zainal berkata, MAINPP mempunyai bidang kuasa amat besar di mana mereka boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam kecuali hukum syarak.-SH

No comments: