Saturday, November 29, 2008

Timbalan menteri meninggal secara mengejut

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.

Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan limaanak.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Ini bermakna tak lama lagi akan ada satu pilihan raya kecil(PRK) untuk Parlimen K.Terengganu(P36).

Friday, November 28, 2008

16 Sept Hanya Tinggal Kenangan…

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali mengakui terdapat anggota parti itu yang percaya terhadap tuduhan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong tentang projek pembentukan kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September lalu.

"Tidak ramai yang mempercayai propaganda (media arus perdana) ini. "Malangnya saya lihat ada juga segelintir paling kecil anggota PKR, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Wanita PKR, yang termakan oleh propaganda murahan ini," katanya sewaktu merasmikan kongres dua sayap utama parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam pagi ini.

Bagaimanapun, menurutnya, sebilangan besar rakyat, dan hampir semua anggota parti dalam Pakatan Rakyat tetap mengharapkan projek itu menjadi kenyataan setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum akan datang.

"Saya tahu bahawa seluruh anggota parti dan rakyat yang mahukan perubahan yakin Anwar becakap benar tentang bilangan Anggota Parlimen yang hendak berpindah itu cukup," katanya.

Pemimpin nombor dua dalam PKR itu berkata demikian ketika menjawab tuduhan terhadap pemimpin Pakatan bahawa Anwar berbohong tentang bilangan ahli-ahli parlimen BN yang hendak melompat kepada gabungan pembangkang bagi menumbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Inilah Anwar Ibrahim. Beliau akan menipu secara maksimum untuk meraih sokongan penyokong beliau, Anwar pernah membuat kenyataan yang agak kendur apabila berkata “Manusia boleh merancang, Allah yang menentukan. Mereka yang senang dengan kekuasaan yang melimpah ruah sukar nak terima kenyataan.” Hari ini Anwar mempercayai kadaq dan kadar, sedangkan sebelum ini beliau dengan angkuhnya mengatakan bahawa 16 Sept beliau akan menjadi Perdana menteri.

Mungkin Anwar telah menerima hakikat bahawa Allah SWT tidak memberikan beliau keizinan untuk menjadi Perdana Menteri. Allah SWT juga telah merentap kerusi berkenaan ketika beliau berada begitu hampir untuk menduduki kerusi pertama berkenaan.

Ahli UMNO amal politik wang akan dilucut jawatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada mana-mana ahli UMNO yang terbukti bersalah mengamalkan politik wang akan dilucutkan jawatan yang dimenangi mereka. “Mereka sepatutnya tahu (tindakan dilucutkan jawatan). Mereka lupa dengan keghairahan nak bertanding, macam-macam boleh berlaku.

“Kalau berlakunya sesuatu yang menjadi masalah, akhirnya nanti mereka akan dikenakan tindakan disiplin termasuk tinggalkan jawatan atau digantung,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Perkhidmatan Awam 2008, disini, hari ini. Abdullah yang juga Presiden Umno berharap siasatan Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac depan agar mereka yang bersalah boleh digugurkan daripada bertanding.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah bagi memastikan pentadbiran parti berjalan lancar.”Sekiranya seseorang yang sudah dipilih untuk memegang sesuatu jawatan dan selepas itu baru didapati bersalah dan jawatan itu terpaksa dikosongkan, ia akan merugikan parti,” katanya.

Abdullah berkata, beliau mendapat jaminan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang pihaknya akan cuba menyelesaikan aduan sebanyak mungkin sebelum pemilihan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun siasatan itu perlu dijalankan dengan cepat namun ia perlu dijalankan dengan rapi dan keputusan yang dibuat mestilah betul. Abdullah berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih boleh menyiasat sekiranya wujud unsur-unsur rasuah membabitkan mereka yang bertanding.