Thursday, February 23, 2012

Khairy Anggap Pembangkang 'Pincang Prinsip' Dalam Isu Isreal


Pendirian ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan kenyataannya berkenaan isu keselamatan Israel menggambarkan kepincangan prinsip dalam kalangan pemimpin pembangkang, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sedang Musyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan haram bersekongkol dengan Israel, Anwar pula terus mempertahankan kenyataannya dalam Wall Street Journal baru-baru ini.

"(Datuk Seri) Anwar kata perbezaan itu (pendirian Anwar dan Nik Aziz) adalah perbezaan yang kecil tapi saya nampak ia adalah perbezaan prinsip yang begitu asas sekali sebab Datuk Nik Aziz berperindiran sama seperti kerajaan Barisan Nasional bahawa tidak akan ada hubungan dengan Israel.

"Tapi Anwar pula berkata dia sanggup mengiktiraf Israel sekiranya ada beberapa syarat dan dalam kenyataan beliau juga adalah tentang soal keselamatan Israel, jadi kita berasa marah dan sedih," katanya kepada pemberita pada Program Bersama Pewaris Muda Negara 1Malaysia 2012 di sini hari ini.

Mengulas mengenai kapal dagang yang didakwa ada kaitan dengan Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang pada 16 Februari lepas , Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata, soal perdagangan antara syarikat swasta dari mana-mana negara tidak ada kaitan dengan hubungan politik antara negara.

Katanya, ia berbeza berbanding kenyataan Anwar yang jelas memberi sokongan politik kepada Israel.

Berucap merasmikan program itu, Khairy berkata ia merupakan satu pendekatan positif ke arah mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa sekarang yang dilahirkan dalam zon selesa di mana semua kemudahan asas telah sedia ada.

"Pelbagai pengisian dalam program ini juga akan memberikan mahasiswa satu pengalaman baru selain pengetahuan yang diperoleh dalam kelas. Pendedahan menerusi program seperti ini merupakan platform pembentukan jatidiri yang kukuh," katanya.

Seramai 110 mahasiswa dari empat Institusi Pengajian Tinggi Awam menyertai program empat hari itu yang bertujuan memupuk dan menyemai jatidiri mahasiswa menerusi pelbagai pengisian berbentuk kemasyarakatan dan kenegaraan. - Bernama

KJ: Ego Anwar Terlalu Besar, Enggan Akui Silap


Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berego besar sehingga tidak sanggup untuk mengakui kesilapan dalam kontroversi berkaitan kenyataan menyokong kepentingan Israel.

"Apakah ego beliau terlalu besar untuk mengakui kesilapan atau memang itulah pendirian sebenarnya?

"Walau apapun sebab keengganan beliau untuk menarik balik kenyataannya, jelas tanpa tindakan itu Anwar akan terus dilihat terang-terangan pro-Israel," kata beliau dalam pendapatnya disiarkan Sinar Harian hari ini.

Khairy melahirkan pandangan ini sehari selepas pertemuan antara Anwar dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur.


Anwar bertemu untuk menjelaskan kenyataannya yang disiarkan oleh Wall Street Journal bulan lalu.

Sementara Anwar berhadapan dengan kecaman pemimpin-pemimpin Umno dan BN, selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan, pihak Pakatan Rakyat pula mendakwa kerajaan pusat memperlihatkan hipokrasi kerana membenarkan hubungan perdagangan dengan syarikat-syarikat Israel.

Berikut teks penuh tulisan Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau.

Bagai ayam lepas bertaji, Anwar Ibrahim dilihat kehilangan punca dan arah menjelaskan kenyataan kontroversi beliau yakni “(saya) menyokong segala tindakan bagi menjaga keselamatan negara Israel” di akhbar The Wall Street Journal (WSJ) apatah lagi selepas beliau disanggah teruk oleh orang Islam di luar dan di dalam negara, termasuklah daripada rakan kongsi politiknya, PAS.

Manakan tidak, ini kerana Anwar secara terang-terangannya menonjolkan belang sebenar beliau yang memberi sokongan penuh dan umum (blanket support) kepada Israel untuk melakukan apa sahaja demi menjaga keselamatan negara tersebut.

Secara spesifik, kenyataan Anwar telah menghalalkan kezaliman dan keganasan rejim Israel yang telah menggunakan alasan keselamatan untuk menyerang dan membunuh rakyat Palestin. Ribuan nyawa Palestin yang terkorban selama puluhan tahun penjajahan Israel, pembinaan tembok yang memenjarakan rakyat Palestin dan menghalang perjalanan mereka untuk mencari rezeki, sekatan ekonomi yang mengakibatkan penduduk Semenanjung Gaza miskin dan derita di samping pembunuhan sembilan sukarelawan antarabangsa dalam Misi Kemanusiaan Flotilla 2010, semuanya dilakukan oleh Israel atas alasan keselamatan negara.

Tidakkah Anwar sedar bahawa kenyataan beliau secara langsung mengiktiraf pembunuhan tersebut dan member lampu hijau untuk kezaliman ini diteruskan?

Setelah kenyataan beliau menimbulkan kemarahan orang ramai, Anwar telah cuba untuk melepaskan diri daripada kesalahannya dengan pelbagai alasan. Yang pertama, beliau menyalahkan media arus perdana dengan mengatakan kenyataan beliau tidak dipetik sepenuhnya. Beliau sebut bahawa sokongan itu bergantung (contingent) kepada aspirasi rakyat Palestin menjadi realiti.

Tetapi jika kita kaji apa yang diterbitkan dalam WSJ, kita sedar bahawa Anwar merujuk kepada pengiktirafan diplomatik untuk Israel sebagai langkah yang bergantung (contingent) kepada aspirasi rakyat Palestin dipenuhi. Itu berbeza dengan kenyataan pertama iaitu keselamatan Israel perlu dijamin dengan apa cara pun.

Kenyataan itu tidak datang dengan apa-apa syarat tetapi dibuat secara sokongan mutlak. Inilah yang menyebabkan ramai pemimpin-pemimpin Islam termasuk dari Palestin rasa marah, kecewa dan mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai seorang yang sering mempromosi diri sebagai pejuang dunia Islam.

Bila dah tersepit dengan kenyataan yang jelas pro-Israel, tidak hairanlah apabila Anwar cuba mengalihkan perhatian dengan serangan terhadap kerajaan Malaysia yang dikatakan membenarkan perdagangan dengan Israel. Mengikut beliau, ini adalah bukti kerajaan Barisan Nasional bersekongkol dan menyokong Israel.

Walaupun tuduhannya itu agak dramatik, saya memahami mungkin inilah satu-satunya cara terdesak untuk beliau membersihkan ‘dosa’ memberi sokongan mutlak kepada Israel dengan cara menyalahkan orang lain.

Pertama, kita kena tanya soalan adakah benar Malaysia mempunyai hubungan dagangan dengan Israel sebab seperti yang diketahui umum, kita tiada sebarang hubungan diplomatik atau politik dengan negara tersebut? Di bawah Akta Kastam 1967 memang ada larangan transaksi perdagangan dengan Israel. Walau bagaimanapun kelonggaran telah diberi kepada penguatkuasaan akta ini pada tahun 1996 untuk membenarkan syarikat-syarikat swasta import dan eksport barangan ke Israel.

Mungkin Anwar mudah lupa, tetapi saya masih ingat bahawa beliau sendiri yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lebih penting lagi Menteri Kewangan yang bertanggungjawab atas Jabatan Kastam pada 1996. Oleh itu Anwar tidak boleh buat-buat tidak tahu mengenai wujudnya kelonggaran tersebut yang beliau sendiri meluluskan dengan menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional semasa.

Ada yang tanya, kalau dia memang buat dahulu, kenapa sekarang tidak ubah balik dan langsung melarang perdagangan dengan Israel? Yang pertama, perdagangan ini dibuat oleh syarikat-syarikat swasta. Ia tidak digalakkan oleh kerajaan. Kedua, kebanyakan daripada perdagangan ini dibuat oleh syarikat-syarikat antarabangsa (MNCs) yang ada kilang di seantero dunia termasuk Israel.

Kita kena faham bahawa di arus era globalisasi, MNCs yang melabur di negara kita mempunyai sistem rantaian penawaran (supply chain) dan perniagaan yang merentasi pelbagai negara. Sebagai contoh, syarikat-syarikat antarabangsa seperti Dell, Intel, Motorola, IBM, Agilent Technologies dan Oracle kesemuanya mempunyai kilang dan pejabat di merata negara termasuklah Malaysia dan juga Israel.

Realiti ini boleh dijelaskan dengan contoh proses pembuatan mikroprosesor Intel yang bermula di Amerika Syarikat dan Israel sebelum dihantar ke kilangnya di Malaysia untuk diuji. Ada juga produk-produk yang dibuat di Malaysia yang mana bahan mentahnya hanya boleh dibeli dari syarikat yang ada kilang di Israel. Apakah ini sama dengan sokongan politik untuk meneruskan pembunuhan rakyat Palestin? Sudah pasti tidak. Ini realiti globalisasi dan proses pembuatan yang merentasi sempadan.

Tetapi dalam keghairahan Anwar dan konco-konconya cuba menutup kesalahan kenyataan pro-Israel beliau, mereka sanggup menyerang perdagangan antara syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan Israel tanpa mengakui globalisasi merumitkan halangan-halangan perdagangan. Namun, jika pembangkang masih berterusan dengan hujah ini untuk pertahankan kenyataan Anwar, saya nak cabar mereka buat pendirian bersama sebagai Pakatan Rakyat (PR), bahawa jika mereka menang pilihan raya kelak, semua perdagangan yang saya sebut di atas akan dilarang oleh mereka. Berani ke tidak mereka buat demikian?

Sebenarnya, tak perlu kita tunggu sehingga pilihan raya. Jika Anwar sudah tidak setuju dengan kelonggaran yang beliau sendiri beri pada 1996 untuk membenarkan perdagangan swasta bersama syarikat-syarikat yang ada di Israel, saya cabar beliau sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat minta kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR untuk menarik balik lesen premis yang diberi oleh pihak berkuasa tempatan kepada kilang dan pejabat syarikat-syarikat seperti Intel, Agilent dan Motorola yang beroperasi di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah atas sebab mereka mengimport barangan dari Israel.

Saya juga cabar Anwar mengarahkan semua petugas parti beliau buang semua komputer dan telefon bimbit mereka yang ada komponen Intel atau Motorola kerana ia berasal dari kilang di Israel. Kalau tak dapat buat demikian, jangan nak menuding jari pada kerajaan Barisan Nasional.

Yang jelas di sini ialah wujudnya perdagangan antara syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan di Malaysia dan Israel atas tuntutan dan keperluan globalisasi jauh beza daripada sokongan dan pembelaan politik yang telah diberi oleh Anwar terhadap Israel dalam kenyataan beliau dalam WSJ. Kerajaan Barisan Nasional konsisten menyokong perjuangan Palestin dan langsung tidak tergamak untuk bercakap soal keselamatan Israel sepertimana Anwar kerana sedar bukannya Israel yang dizalimi tetapi sebaliknya adalah rakyat Palestin.

Yang paling sedih ialah bagaimana seorang pemimpin yang mengaku dirinya sebagai pejuang Islam sejagat begitu enggan untuk menarik balik kenyataan beliau walaupun konteksnya jelas menunjukkan sokongan mutlak kepada Israel sehingga menghalalkan pembunuhan rakyat Palestin.

Apakah ego beliau terlalu besar untuk mengakui kesilapan atau memang itulah pendirian sebenarnya? Walau apapun sebab keengganan beliau untuk menarik balik kenyataannya, jelas tanpa tindakan itu Anwar akan terus dilihat terang-terangan pro-Israel. -SH

Tuesday, February 21, 2012

Pemuda Umno Gempur Parit Perak


Suara Pemuda UMNO Malaysia bergema di Daerah Perak Tengah, kali ini lokasi dipilih adalah Pekan Parit untuk Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Pekan Parit adalah antara pekan tertua dan lokasi Parlimen Parit terletak dalam bandar Ilmu iaitu bandar Seri Iskandar.

Mesyuarat Pergerakan Exco Pergerakan UMNO Malaysia yang julung kali diadakan di lokasi pinggir bandar antara aspirasi kini Ketua Pemuda Umno Malaysia YB Khairy untuk mencipta kelainan dalam mesyuarat Exco sebelum ini. Dipercayai mesyuarat ini adalah mandat terkini YB Khairy kepada exco pemudanya sebelum PRU 13.

Beberapa foto sempat dirakamkan penulis di Pekan Parit, Perak sebelum Mesyuarat Pergerakan Exco Pemuda Umno di Pejabat Bahagian Umno Parlimen Parit.




Sumber: Penaksj

Monday, February 20, 2012

Al-Fatihah: Latif Ibrahim Meninggal Dunia

Dalam kenangan, Latif Ibrahim

Penyanyi era 70an, Latif Ibrahim meninggal dunia hari ini pukul 6.05 petang di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Berita sedih itu disahkan oleh adik Allahyarham iaitu Datuk Khatijah Ibrahim.

Jenazah Allahyarham kini berada di IJN dan akan dibawa ke kediaman Allahyarham di No 1, Jalan AU 3/16B, Taman Keramat, Kuala Lumpur dan dijangka akan dikebumikan pada malam ini juga.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari IJN pada Sabtu lalu.

Penyanyi yang juga pelakon filem itu dikenali dengan lagu Nora dan filem seperti Sumber Ilhamku.

Pelakon teater Terima Kasih Cinta itu masih belum menerima baki bayaran setelah dipentaskan genap setahun yang lalu di Istana Budaya.

Semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi saat duka ini dan salam takziah.

Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor


Skandal pasir memasuki era baru di Selangor apabila sah Kumpulan Semesta Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan oleh Menteri Besar Selangor gagal untuk menepati janji sumbangan RM150 juta kepada rakyat Selangor seperti yang dijanjikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Ucapan Belanjawan Selangor 2009.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, maknanya dari tahun 2009 hingga sekarang dianggarkan lebih RM300 juta pendapatan rakyat Selangor dari hasil pasir telah diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu yang menjalankan peniagaan pasir di Selangor khususnya KSSB.

“KSSB yang diberikan hak mutlak dan monopoli peniagaan pasir di Selangor sejak pakatan DAP, PKR dan PAS memerintah juga dilihat sangat lemah sehingga gagal untuk melaksana, mengawal, menyelia dan memberikan pulangan kewangan seperti yang dijanjikan oleh MB Selangor.

Lebih buruk lagi apabila kematian seorang pemberi maklumat skandal pasir yang juga seorang ahli perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal pasir di Selangor itu,” ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.

Sehingga ini pejabat MB Selangor memandang sinis kepada Raja Petra Kamaruddin, blogger tersohor yang terus mendedahkan maklumat-maklumat di media maya tanpa segan dan silu yang menjadikan rakyat semakin jelas dengan maklumat terkini lagi sensasi polemik pasir Selangor ini.

“Pemecatan 9 orang kakitangan KSSB yang cuba mencari kebenaran dalam skandal Pasir merupakan episod kezaliman kerajaan negeri Selangor kepada kakitangan anak syarikat nya. Di manakah nasib dan masa depan mereka yang cuba menegakkan kebenaran dan keadilan dalam pentadbiran di Selangor sekarang ? - jawapan nya - You are FIRED !

Di manakah kesudahan skandal yang melibatkan wang ratusan jutaan ringgit ini ? Mahkamah Rakyat atau Debat Rakyat, pilihan kerajaan negeri ? Debat Rakyat tentunya tidak menyelesaikan skandal ini malah ia sekadar mempolemik terus isu penyalahgunaan ini.

SELCAT pula terlalu politiking sifat nya selain mempunyai bidang kuasa yang amat terbatas. Skandal Pasir ini terlalu besar dan replika kuching dan tikus tidak mampu untuk menyelesaikan persoalan penyelewengan yang besar ini,” tambahnya lagi.

GAPS melihat penubuhan Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor memang satu kewajipan kerana skandal ini melibatkan penyelewenang ratusan jutaan ringgit wang rakyat Selangor dan menyebabkan kematian seorang rakyat Malaysia.

Cakap kosong MB dan putar alam Exco nya dalam skandal pasir ini langsung tidak menyakinkan rakyat Selangor. Rakyat Selangor menuntut agar Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor ditubuhkan segera agar penyangak pasir ini dapat dihadapkan kemuka pengadilan.

Rakyat Selangor menuntut ketelusan yang hakiki, bukan ketelusan yang diwarnai oleh kepentingan politik individu atau parti tertentu.

Sumber: Sahabat Gunung