Monday, August 6, 2012

Masalah Air Pasti Selesai Bila BN Kembali Memerintah Kelantan


Jika bekalan air bersih asyik terputus-putus, bukan sahaja manusia yang masih hidup akan mengalami kesukaran untuk meneruskan aktiviti harian malah hamba Allah yang baru meninggal dunia pun sukar untuk dimandikan jenazahnya.

Ini yang terjadi di sebuah daerah di Kelantan gara-gara ketiadaan bekalan air bersih akhirnya jenazah seorang nenek tua terbiar lama tidak dapat dimandikan.

Mujurlah selepas berkali-kali aduan dibuat akhirnya barulah sebuah lori tangki Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) datang membawa air bersih untuk menyelesaikan urusan wajib yang tertangguh berjam-jam lamanya.

Satu kejadian di atas hanyalah secebis kisah dari beribu-ribu kesempitan hidup yang terpaksa dialami rakyat Kelantan khususnya di kawasan luar bandar berikutan hampir 40% kawasan lagi masih mengalami masalah bekalan air bersih yang seringkali terganggu.

Di Kelantan sekarang, isu bekalan air bersih lebih mendapat sambutan rakyat berbanding isu royalti minyak yang sedang heboh di propagandakan oleh kerajaan negeri.

Tapi di pihak kerajaan negeri pula mereka memandang remeh isu air sebaliknya lebih gemar mensensasikan isu royalti minyak sekalipun tahu dari segi perundangan tidak mungkin akan berpihak pada kerajaan negeri.

Suka atau tidak, rakyat Kelantan terpaksa menerima hakikat selagi negeri tersebut terus diperintah oleh PAS, paling cepat pun untuk melihat isu bekalan air bersih selesai ialah menunggu lagi 15 atau 16 tahun akan datang.

Ini pengakuan pemimpin PAS sendiri yang meminta rakyatnya terus bersabar dengan masalah air yang dihadapi untuk selama berbelas tahun dimasa yang sama rakyat diminta terus meyakini kepimpinan PAS atas nama demi Islam.

Bagi segelintir rakyat Kelantan yang sudah sekian lama menyokong PAS tentu sahaja permintaan sedemikian akan dituruti tanpa bantahan kerana resam penyokong PAS biasanya angguk-angguk, geleng-geleng tanpa menggunakan kurniaan akal yang Allah s.w.t berikan.

Namun bagi sebahagian besar rakyat Kelantan yang lain, mereka tahu jika diharapkan pada akal sejemput yang dimiliki oleh pemimpin PAS sampai bila-bila pun masalah air belum tentu dapat diselesaikan.

Lantaran itu apabila mengetahui Dato' Seri Najib Tun Razak akan tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa untuk lawatan ke negeri ini semalam, mereka beramai-ramai menunggu untuk menyambut kedatangan PM sambil membawa bersama memorandum meminta Kerajaan BN campurtangan menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan.

Ini jelas menunjukkan tahap kesedaran semakin melebar luas dikalangan ramai rakyat Kelantan dan besarnya keyakinan mereka terhadap kemampuan pemimpin BN khususnya dalam mendepani cabaran dan permasalahan.

Jika keyakinan ini berterusan, tak mustahil PRU 13 kelak akan menyaksikan kerajaan negeri berpindah tangan kepada BN sekaligus membuka ruang ke arah penyelesaian jangka masa panjang seterusnya membantu mengakhiri masalah bekalan air di Kelantan.

Pelancaran BN Youth Cyber Team 8 Ogos Ini #BNYCT


SETELAH sekian lama berlangsung tanpa sebarang koordinasi khusus, sayap-sayap Pemuda di bawah Barisan Nasional bakal digabungkan dan bergerak sehala bagi menepis segala retorika & propaganda pembangkang di ruangan siber.

BN YOUTH CYBER TEAM akan dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 8 Ogos ini (Rabu) pada jam 12.30 tengah hari.

Semua pahlawan siber BN yang berminat untuk menyertai BNYCT dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran program ini di Dewan Seri Endon, PWTC pada hari Rabu nanti.



Ayuh lupakan sengketa sesama, kini masa yang tepat untuk berganding bahu bagi membuktikan BN masih berdaya mengibarkan panji pemerintahan dengan gagah selepas PRU13.

Hapuskan petualang yang cuba mengugat keharmonian di negara Malaysia tercinta ini... GEMPUR TERUS!!



Sumber: http://umb-ppum.blogspot.com

Friday, August 3, 2012

Hudud: PAS Seperti Anjing Menyalak Bukit



Seharusnya kita mengangkat tabik kepada Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah kerana berani menempelak Karpal Singh dalam isu hudud tetapi malangnya, kita tidak merasa yang beliau yang layak menerimanya. Bagaimana kita boleh memberi tabik hormat kepada seorang yang tidak punya pendirian?

Umum tahu bahawa DAP bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS kerana PAS sanggup menggadaikan Negara Islam dan hudud. Jika tidak, kerjasama kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat tidak mungkin direalisasikan.

Jadi, mungkinkah Mohd Nor Hamzah terlepas pandang bahawa PAS telah menggadaikan hudud lama dahulu, manakala Karpal Singh pula tidak pernah berganjak dari pendiriannya?

Jika benar pendirian PAS mengenai hudud adalah tetap, tidak berubah dan nekad ingin melaksanakannya, kenapa PAS sanggup bekerjasama dengan Karpal yang sanggup mati dan membiar mayatnya dilangkah semata-mata menentang hudud dan Negara Islam?

Bahagian manakah dalam kata-kata Karpal atau DAP mengenai hudud yang PAS tersilap faham atau tidak faham langsung? Kenapa baru hari ini, dan saat ini si Mohd Nor Hamzah nak melenting dan menyuruh Karpal berhenti?

Atau apakah ketika memeterai persetujuan untuk bekerjasama dalam Pakatan Rakyat dahulu, PAS sememangnya berniat untuk menipu DAP dan PKR konon bersedia menggugurkan hudud dan Negara Islam tetapi sebenarnya tidak berniat begitu?

Sebenarnya, soal hudud tidak ada kena mengena dengan pandangan Karpal yang maju ke depan atau terkebelakang seperti tempelak Mohd Nor.

Yang menjadi persoalan kini bukan hudud, tetapi PAS. Masyarakat perlukan kepastian apakah PAS sebuah parti penipu atau sekadar tidak tetap pendirian? Walau apapun, sama ada PAS penipu atau tidak tetap pendirian, kedua-duanya adalah sifat munafik yang tidak wajar dihormati, jauh sekali dilantik sebagai pemerintah.

Ini kerana pendirian atau prinsip melambangkan maruah. Manusia tanpa prinsip boleh dijual-beli serta tidak harus dipercayai. Apatah lagi jika prinsip yang dilaungkan mereka berkisar soal hukum hakam agama. Begitu juga manusia yang suka menipu, bukan sahaja tidak wajar dihormati, tetapi tidak harus dijadikan kawan sekali pun.

Rakyat dan negara pasti tidak akan selamat jika diperintah oleh parti yang tidak punya maruah dan penipu seperti PAS.

Bagi seorang pemimpin kecil di dalam PAS untuk menyuruh pemimpin besar di dalam DAP meletak jawatan kerana PAS memilih untuk membuat U-turn adalah tidak masuk akal sama sekali.

Lagipun, pendirian Karpal bukan pendirian peribadi tetapi pendirian parti. Justeru adalah lebih sesuai jika Mohd Nor menyuruh DAP keluar dari PR, daripada menyuruh Karpal meletak jawatan.

Tetapi adalah jauh lebih bermaruah jika PAS yang memberi kata dua untuk keluar dari PR jika DAP terus menerus menentang hudud.

Atau lebih baik lagi jika Mohd Nor sendiri memberi kata dua kepada PAS untuk keluar parti jika terus bersekongkol dengan DAP. Jika ini berlaku, maka barulah layak Mohd Nor menerima tabik hormat dari kita.

Kita tahu PAS meletakkan politik mengatasi agama dan PAS tidak pernah berniat pun untuk benar-benar melaksanakan hudud. Malah ‘pertengkaran’ dengan DAP ini juga tidak mustahil hanya strategi PAS untuk ‘memujuk’ hati umat Islam dan strategi DAP untuk mengekalkan sokongan bukan Islam. Untuk itu mereka akan saling menyalak sesama sendiri sementara menunggu keputusan PRU. Hudud, hanyalah bahan kempen dan publisiti - tidak lebih dari itu.

Thursday, August 2, 2012

Maklumat Sulit Bank vs. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat


Tidak ramai yang tahu bahawa maklumat sulit adalah antara perkara yang terpenting bagi sistem perbankan. Sebabnya adalah mudah - ini adalah kerana hubungan antara pihak bank dan pelanggan sepatutnya sentiasa sulit.

Rahsia bank adalah sesuatu yang boleh dilakukan dimana pihak bank tidak dibenarkan untuk mendedahkan sebarang maklumat pelanggan kepada pihak berkuasa, melainkan terjadinya perkara-perkara seperti kes jenayah yang telah difailkan.

Rahsia bank banyak digunapakai di negara-negara seperti Switzerland, Singapura dan Luxembourg serta bank-bank 'offshore' dan kawasan yang dilindungi daripada cukai dan lain-lain.

Akta yang terbesar bagi perkara ini adalah Akta Bank Swiss 1934, yang memberikan populariti kepada bank-bank Swiss - kerana segalanya akan disimpan sebagai rahsia.

Itulah sebabnya sehingga hari ini, ada beberapa yang mempersoalkan mengenai rahsia bank terutamanya oleh NGO dan kerajaan-kerajaan yang menyatakan bahawa ia menggalakkan kadar jenayah terancang.

Walaupun perkara ini didebatkan, akta ini masih lagi digunapakai dan pihak berkuasa perlu menggunakan jalan lain untuk mendapatkan sebarang maklumat melalui perundangan tertentu.

Malaysia menggunakan undang-undang British bagi maklumat sulit bank dan negara ini telah meluluskan Akta Perbankan dan Insitusi Kewangan pada tahun 1989. Namun, masih ramai lagi yang mengatakan bahawa undang-undang ini tidak cukup komprehensif bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

Dibawah BAFIA, terdapat beberapa perkara yang perlu dikenalpasti sebelum sebarang maklumat pelanggan boleh dikeluarkan.

Akta ini memastikan agar pegawai-pegawai bank tidak mendedahkan sebarang maklumat pelanggan. Perkara ini juga diaplikasikan kepada mereka yang telah meninggalkan sektor perbankan.

Anda mungkin mempersoalkan bahawa Rafizi dan bekas pegawai bank tersebut berbuat demikian untuk mendedahkan kes rasuah yang melibatkan syarikat NFC.

Anda juga mungkin mempersoalkan bahawa kerajaan perlu melindungi beliau dibawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Bagaimanapun, bagi perkara ini, apa yang Rafizi lakukan bukanlah sesuatu yang dianggap ringan.

Segala maklumat yang mereka peroleh, oleh seorang yang pernah berkhidmat di sektor perbankan (secara terang telah dilarang oleh BAFIA) telah didedahkan melalui sidang akhbar dan segala maklumat telah didedahkan.

Beliau tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa dahulu; sebaliknya, memberitahu rakyat bahawa pihak berkuasa tidak membuat sebarang siasatan terhadap perkara tersebut.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat adalah satu Akta untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta, untuk melindungi orang yang membuat pendedahan itu daripada tindakan yang memudaratkan, untuk mengadakan peruntukan supaya perkara yang didedahkan disiasat dan diuruskan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya.

Apa yang didedahkan oleh Rafizi adalah sesuatu yang melanggar undang-undang kerana dokumen-dokumen tersebut dilindung dibawah BAFIA dan hanya beberapa individu yang dibenarkan untuk melihat maklumat-maklumat tersebut., mereka tidak dibenarkan untuk membocorkan maklumat tersebut kepada orang awam dan hanya boleh diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Rafizi bukanlah kes pertama bagi perkara yang melibatkan BAFIA. Terdapat beberapa kes lain yang melibatkan kesalahan yang tidak disengajakan. Bagaimanapun, segalanya jatuh kepada undang-undang.

Beberapa tahun lalu, terdapat kes dimana seorang lelaki telah berjaya menyaman sebuah bank di Malaysia kerana membocorkan maklumat.

Pada April 1997, lelaki ini membuka akaun semasa, akaun simpanan dan akaun deposit tetap dibawah nama beliau dan anak-anak dan telah memberikan pihak bank alamat-alamat tertentu.

Pada 17 Mac 2007, tanpa kebenaran daripada lelaki berkenaan, pihak bank tersebut telah menghantar kenyataan akaun kepada alamat yang salah. Daripada itu, isteri plaintif mendapat tahu bahawa perkara ini telah memberi masalah antara mereka.

PIhak bank mengaku bahawa lelaki ini tidak pernah diberitahu akan pertukaran alamat tersebut dan tidak pernah memberitahu pihak bank agar menukar alamat.

Hakim kemudiannya menyatakan bahawa pihak bank telah menyalahguna maklumat terhadap akaun lelaki ini yang kemudiannya membolehkan beliau mendapat kadar faedah sebanyak 8% setahun.

Dan baru-baru ini, seorang pegawai bank telah dipecat kerana mendedahkan nombor akaun yang melibatkan seorang VIP.

Tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang, tidak kira Rafizi mahupun pengarah-pengarah NFC

PAS Sedia Serang Pihak Menentang Maksiat di Selangor


Selangor kini sudah sinonim dengan gelaran ‘Syurga Dunia’ bagi mereka-mereka yang gemar berhibur. Dan kita bukan bercakap tentang hiburan ringan seperti muzik atau teater, tetapi hiburan berat di tahap ‘tertinggi’ yang boleh didapati dengan mudah di seluruh pelusuk negeri Selangor.

Seimbas lawatan ke Puchong atau Subang Jaya sahaja kita mendapati beratus-ratus rumah urut termasuk urut kesihatan dan juga ‘urut hiburan’. Namun, kita tidak perlu bersusah payah untuk membuat kajian urutan jenis mana yang lebih banyak ditawarkan kerana melihat sahaja ‘amoi’ atau ‘neng’ tukang urut yang bersantai menunggu pelanggan, kita tidak yakin yang mereka itu mampu mengurut urat terkehel atau tulang patah untuk kesihatan.

Hakikatnya, percambahan rumah urut di Selangor bukanlah serangan peluru kapur dari BN terhadap kerajaan PR tetapi ia adalah sesuatu yang terlalu nyata yang mana orang buta juga tidak dapat menafikannya.

Pada 1 Julai 2011, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di Selangor membuat aduan mengenai hal ini serta mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor yang menyatakan bahawa hanya 60 lesen kepada pusat urut di seluruh negeri.

Sedangkan, mengikut Wakil NGO yang juga merangkap Presiden Persatuan Terapi Kecantikan Malaysia, Profesor Dr. Clara Chee, di kawasan Pandan Indah sahaja, terdapat lebih 80 pusat urut dan berdasarkan pemerhatian, terdapat lebih 200 pusat urut beroperasi di Klang selain berpuluh-puluh lagi wujud di Kuchai Lama, Damansara dan Ampang Jaya.

Tetapi, segala aduan tersebut telah diabaikan sahaja oleh kerajaan negeri. Dan ini adalah cerita tahun lepas.

Tahun ini, rumah-rumah urut di Selangor telah tumbuh dengan berlipat ganda lagi. Dan sekali lagi pihak kerajaan negeri, khasnya, Ronnie Liu, menafikan yang kerajaan Selangor mengeluarkan lesen kepada rumah-rumah urut ini.

Kenyataan tersebut hanya mengesahkan lagi bahawa kerajaan negeri telah tidak menangani masalah ini dengan serius sehingga menyebabkan rumah-rumah urut terus ‘bermarajalela’ beroperasi secara haram. Lebih buruk lagi apabila parti PAS yang sama-sama berkongsi peranan dalam pentadbiran negeri Selangor juga mengambil sikap yang sama dengan Ronnie Liu iaitu menafikan serta tidak mengendahkan aduan rakyat.

3 EXCO dan 7 wakil DUN PAS di Selangor nampaknya tegar mempertahankan kerajaan PR Selangor biarpun seluruh negeri bergelumang maksiat. Bukan itu saja, mereka juga sanggup menyerang sesiapa sahaja yang lantang menghentam isu maksiat di Selangor.

Secara langsung, PAS memaksa penyokong-penyokongnya memejam mata dan memekakkan telinga dalam isu ini. Mungkinkah PAS memilih untuk memakai pepatah Inggeris yang berbunyi ‘if you can’t beat them, join them’ (kalau tak dapat kalahkan mereka, sertai mereka)? Jika inilah sikap PAS mengenai masalah maksiat yang berleluasa, maka eloklah PAS menukar sahaja nama partinya agar tidak mencemarkan lagi nama agama Islam yang telah teruk dipermainkan oleh mereka.

Kita tidak pernah lupa bagaimana penyokong PAS suatu ketika dahulu di zaman pemerintahan BN sanggup berjihad menentang kilang arak di Selangor. Kononnya, kewujudan kilang itu sudah cukup untuk menunjukkan yang BN menyokong maksiat, hatta kafir serta wajib ditentang dan dijatuhkan. Seolah-olah tidak sahlah solat seluruh umat Islam di Malaysia selagi kilang tersebut tidak diroboh dan selagi kedai-kedai menjual arak, pusat-pusat hiburan terutama rumah-rumah urut wujud di negara ini.

Namun, hari ini penyokong-penyokong PAS yang sama membisu seribu bahasa mengikut rentak EXCO, ADUN, Presiden dan Mursyidul Am mereka mempertahankan kerajaan negeri Selangor walaupun kilang arak masih terus wujud dan pusat maksiat tumbuh berlipat kali ganda dan tanpa kawalan berbanding zaman pemerintahan BN.

Justeru, penyokong-penyokong PAS wajar merasa malu jika masih melaungkan sokongan terhadap PAS atas alasan Islam dan menginginkan hudud.

Jika masalah maksiat yang nyata juga PAS tak ambil peduli, apakah layak untuk PAS bercakap tentang hudud, Negara Islam, malah Islam itu sendiri?

Rumah Urut: Ronnie Liu Usah Tipu Rakyat



SUARA Keadilan atau biasa disebut sebagai Suara Penipuan ini sekali lagi tanpa malu menayangkan kebebalan dalam menjalankan fungsinya sebagai lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin sepenuhnya oleh keluarga Anwar Ibrahim, anak beranak.

Mana tidaknya, dalam keluaran terbaru akhbar tersebut, Suara Keadilan memetik kenyataan Exco Selangor yang bertanggungjawab bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ronnie Liu bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak pernah mengeluarkan waima satu lesen pun rumah urut dan pusat hiburan!!

Sebaliknya, kesemua lesen sedia ada kononnya dikeluarkan oleh kerajaan BN terdahulu.

Ramai di antara rakyat Selangor yang penulis temui ketawa tidak kering gusi dengan kenyataan terbaru ini. Tanpa berkata sepatah, mereka membawa penulis ke beberapa lokasi perniagaan yang dibangunkan sepanjang 4 tahun Pakatan Rakyat memerintah Selangor, iaitu di sekitar kawasan Seri Kembangan dan Puchong. Penulis berani kata baru kerana masih ada kerja-kerja pembinaan di beberapa tempat, malah banyak diantara kawasan tersebut baru sahaja diduduki peniaga beberapa bulan yang lepas.

Pada mulanya penulis menggunakan jari, tapi bila jumlah rumah urut, pusat refleksologi dan pusat hiburan yang ditunjukkan semakin bertambah dari lorong ke lorong, penulis terpaksa menggunakan kalkulator pula. Di penghujung ‘tour’ itu, penulis mengira, ada lebih dari 50 buah pusat urut, refleksologi dan hiburan yang dijumpai. Itu di 2 kawasan sahaja, belum seluruh negeri Selangor lagi.

Persoalan penulis, siapa yang keluarkan lesen untuk kesemua pusat-pusat maksiat ini?

Takkan kerajaan BN kot, sebab banyak dari lokasi perniagaan tersebut baru sahaja diduduki peniaga? Bagaimana BN boleh terlibat memberikan lesen-lesen operasi ini sekarang bila mana bukan mereka lagi yang berkuasa.

Kalau benarpun kerajaan BN yang keluarkan (walaupun tidak logik), kenapa PBT tidak menjalankan pemantauan serta menutup pusat-pusat maksiat ini? Adakah alasannya kerana kerajaan BN juga?

Itu yang berlesen, bagi yang tidak berlesen pula, masih lagi kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan. Masih lagi nak menyalahkan BN?

Jadi Ronnie Liu, usah temberang dan cuba memperbodohkan rakyat. Orang di Selangor tahu bahawa kenyataan Ronnie Liu itu tidak benar, malah kalau benar sekalipun (kalau), kerajaan Selangor masih boleh mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Pendek kata, pusing macam mana pun, tetap kerajaan negeri sekarang yang perlu bertanggungjawab.