Tuesday, October 9, 2012

PKR Selangor Desak Faekah Letak Jawatan


Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin meletak jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam Pakatan Rakyat (PR).

Borhan berkata, desakan itu dibuat kerana Faekah didakwa mengkritik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka menerusi sebuah portal berita baru-baru ini.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Kami selaku pemimpin-pemimpin PKR Selangor mendesak agar pimpinan pusat mengambil tindakan keras terhadap Faekah.

“Faekah perlu meletakkan jawatannya dengan serta-merta dan kami faham kuasa penuh ada di tangan Menteri Besar untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Selangor di sini semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Azmin mengeluarkan kenyataan Abduk Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya.

Dalam pada itu, Azmin menafikan membuat kenyataan seperti itu dan Faekah mempersoalkan niatnya itu.

Tindakan Faekah itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Faekah diingatkan supaya tidak memberi kenyataan secara membuta tuli kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pimpinan parti.

Borhan berkata, beliau mempersoalkan tindakan Faekah mengkritik Azmin secara terbuka kerana dia tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Katanya, Faekah perlu ingat bahawa Azmin mengeluarkan kenyataan berdasarkan kapasiti selaku timbalan presiden, pengerusi majlis pimpinan negeri merangkap pengarah pilihan raya.

“Perkara ini dah berlaku berulang kali dan kita harap Faekah lebih teliti pada masa akan datang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebarang komen perlu dirujuk terlebih dahulu kerana kita khuatir perkara seumpama ini boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

Dalam pada itu, semalam Sinar Harian Online melaporkan Faekah mengambil pendirian tidak akan mengulas lagi isu melibatkan kedudukan Menteri Besar.

Faekah juga akur dengan teguran kepimpinan PKR supaya tidak membuat kenyataan balas mengenai isu berkenaan.

Karpal Mahu Teruskan Saman Nasharudin...


Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tetap akan meneruskan prosiding fitnah terhadap bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Bagaimanapun beliau belum menetapkan tarikh kes itu akan difailkan.

Menurutnya, disebabkan kekangan masa dan kerja, beliau tidak mempunyai kesempatan untuk meneruskan prosiding menyaman fitnah terhadap Nasharudin.

Katanya, "Ya akan, mana boleh tak mahu, saya belum tetapkannya lagi bila."

"Saya ada banyak masalah dan kerja di mahkamah, ikut undang-undang saya ada masa selama enam tahun untuk membuat perkara itu (saman fitnah)," kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Sebelum ini, pada Ogos lalu, Karpal memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin ekoran kenyataannya berhubung isu hudud dan Islam.

"Kenyataan Nasharudin bahawa saya bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam," katanya sebelum ini.

Membalas kenyataan dua bulan itu, Nasharudin dilaporkan akan menunggu tindakan Karpal di mahkamah dan turut mencabarnya untuk terus mengambil tindakan di mahkamah.

Justeru, Karpal yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata prosiding akan diteruskan mengikut keadaan yang sesuai.

"Saya akan teruskan, dalam masa terdekat tetapi ikut keadaanlah.

"Saya bukan melewatkan hal itu, dan mungkin tidak berapa lama lagi," katanya lagi.

-SH

Kerjasama PAS-DAP Bercanggah Dengan Kehendak Islam


Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan PAS. Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama PAS dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya, Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel "Mahabbah" di Universiti Sains Malaysia di sini.

Menyentuh e-novel 'Mahabbah', Shahnon berkata ia mengenai perjuangan seorang tua yang sudah tidak mempunyai kuasa tetapi ada hati yang kuat untuk menyatu padukan orang Melayu menerusi doanya kepada Allah.

Katanya e-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetapi bersatu walaupun masing-masing berpegang kepada cara tersendiri untuk hidup damai dan harmoni. -Bernama

Bank Diminta Longgar Syarat CTOS, CCRIS Bagi Golongan Muda Beli Rumah


Institusi perbankan disaran memberi kelonggaran kepada golongan muda yang namanya tersenarai dalam Credit Tip-Off Sdn Bhd (CTOS) dan Central Credit Reference Information System (CCRIS) untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) menyarankan agar syarat CTOS dan CCRIS itu tidak dikenakan kepada golongan muda yang ingin membeli rumah.

"Mereka ini mungkin tersilap langkah dalam mengurus kewangan di peringkat awal, akibatnya nama mereka disenarai dalam CTOS dan CCRIS dan menghadapi masalah untuk memohon pinjaman perumahan, jadi saya cadang Kementerian Kewangan dan pihak bank memberi kelonggaran kepada mereka," katanya.

Idris, yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), berkata langkah itu tidak akan menjejas golongan muda melabur dengan peluang lebih baik.

"Rumah ini merupakan harta tak alih, bukannya harta boleh alih seperti kereta dan motor, ia juga boleh dijadikan cagaran, jadi jika pemohon lari, bank boleh lelong rumah pada harga yang dia kerugian," katanya.

Selain itu, Idris turut menyarankan kerajaan agar memperkenal polisi harga siling terhadap pemaju perumahan mewah, khususnya di kawasan bandar, bagi mengawal kenaikan harga rumah dan mengelak spekulasi hartanah.

Idris turut mencadangkan tempoh cukai keuntungan pelupusan hartanah (RPGT)dipertingkat daripada lima ke sepuluh tahun bagi mengelak penjualan hartanah pada masa yang singkat.

Kronisme: Karpal Singh Tempelak Anwar Ibrahim


Kronisme, nepotisme, merupakan antara tuduhan-tuduhan yang sering dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap Barisan nasional walaupun yang jelas mengamalkanya adalah mereka sendiri.

Sedangkan pemimpin BN yang dituduh mereka mengutamakan anak atau sepupu dalam pemberian jawatan itu tidak pernah mengamalkan nepotisme tetapi kesemua yang terlibat telah membuktikan kredibiliti dan ‘naik ke atas’ melalui anak tangga yang sah. Lebih dari itu, tiada mana-mana pemimpin BN yang ahli keluarganya memegang jawatan dalam era yang sama, sekali gus membuktikan bahawa kedudukan mereka itu bukanlah diperolehi secara automatik.

Sebaliknya bagi pemimpin-pemimpin PR, anak dan menantu mereka dilantik secara langsung ke jawatan yang tinggi, seolah-olah bersiap sedia untuk mewarisi takhta yang menjadi hak keluarga mereka. Jelas, demokrasi adalah sesuatu yang objektif dalam pentadbiran Pakatan Rakyat dan ini terbukti apabila Ketua Umum mereka sendiri bukanlah dilantik melalui proses demokrasi.

Kabinet Bayangan yang dibentangkan PKR juga telah menyerlahkan lagi amalan nepotisme tahap tertinggi dalam parti yang cakap tidak serupa bikin tersebut. Anwar Ibrahim yang melantik dirinya sendiri sebagai bakal Perdana Menteri telah meletakkan isterinya, sebagai Menteri di Jabatan PM dan anaknya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi membela PR, Karpal Singh telah membuat kenyataan paling lucu dalam sejarah politik dengan menggesa rakyat agar tidak bimbang dengan amalan nepotisme di dalam PR. Alasannya, semua isteri, anak atau menantu pemimpin PR yang memegang jawatan telah membuktikan kredibiliti dan kelayakan masing-masing. Namun, di masa yang sama, Karpal turut menafikan yang partinya mengiktiraf senarai Kabinet Bayangan yang dikeluarkan PKR.

Kenyataan ini dilihat sebagai usaha yang paling menyedihkan bagi Karpal untuk menjustifikasi amalan nepotisme di dalam PR.

Apalah sangat yang telah dibuktikan oleh Nurul Izzah yang menjadikan beliau layak memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan? Dan apakah keengganan Karpal untuk mengiktiraf Kabinet Bayangan tersebut adalah kerana beliau merasakan anaknya, Gobind Singh, lebih layak dari Nurul Izzah untuk jawatan itu?

Inilah dilemma yang dapat kita kesan dalam diri Karpal di mana beliau ingin sekali mengkritik amalan nepotisme Anwar tetapi tidak mampu kerana beliau dan parti beliau sendiri mengamalkannya.

Rakyat sedia maklum bahawa seperti juga PKR, DAP turut ‘membudayakan’ nepotisme di mana Lim Kit Siang, yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung parti dan juga Pengerusi telah memastikan yang anaknya, Lim Guan Eng melalui jejak yang sama. Lim Guan Eng kini Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang juga tidak lupa mengheret isterinya, Betty Chew ke dalam politik. Betty Chew kini ialah Ahli Parlimen di Melaka. Dan sudah pasti, jawatan Menteri juga menunggu Betty Chew jika PR memerintah negara ini.

Begitu juga Nik Aziz, Mursyidul Am PAS turut memastikan anaknya, Nik Abduh menyusuri jejak politiknya melalui jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. Menantunya, Ariff Fahmi pula, menuruti jejaknya dari luar politik melalui jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK. Pendek kata, PR sentiasa mengamalkan nepotisme tak kira di mana, iaitu dalam politik mahupun dalam pentadbiran negeri. Nampaknya, kemungkinan besar Nik Abduh dan Ariff Fahmi juga akan dilantik ke kabinet jika PR memerintah.

Jika anak-anak pemimpin BN yang terlibat dalam politik telah benar-benar membuktikan kebolehan serta telah pun menabur jasa yang tak kurang banyaknya kepada rakyat dan negara, bolehkah pemimpin PR berkata yang sama mengenai isteri, anak dan menantu mereka?

Anak-anak pemimpin BN seperti Dato’ Mukhriz Mahathir dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah lama mencurah bakti menjayakan program-program keusahawanan, belia dan berbagai-bagai lagi sepanjang hidup mereka sebelum dan setelah berada di kedudukan mereka sekarang.

Tetapi, apakah jasa-jasa yang begitu signifikan yang pernah dicurahkan oleh Nurul, Gobind, Guan Eng atau Betty yang mengatasi jasa-jasa pemimpin kecil PKR dan DAP yang lain yang melayakkan mereka memegang jawatan penting parti dan menjadi menteri kabinet sekiranya PR memerintah?

Jemaah Haji, Penerima BR1M Tunggu Masa Hukum PAS


Pertengahan tahun ini kita pernah dikejutkan dengan satu kenyataan melampau dan biadap dari Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengeluarkan arahan meminta ahli PAS menangguhkan ibadah haji sebagai persiapan menghadapi PRU 13.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bertarikh 5 Jun 2012 dan turut boleh dibaca dalam akhbar SelangorKini milik kerajaan PKR Selangor terbitan 8 - 15 Jun 2012 yang disebarkan di merata masjid dan surau di seluruh negeri.

Menurut Tuan Ibrahim, penangguhan ibadah haji itu dianggapnya sebagai wajar kerana PAS memerlukan jentera parti yang kuat dan utuh bagi melicinkan gerak kerja pilihan raya nanti yang diramalkan akan sengaja dilangsungkan semasa musim haji.

Berikutan itu, berbakul-bakullah maki hamun dan kejian dilemparkan terhadap Kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh penyokong PAS termasuklah dari segelintir bakal jemaah haji pro PAS.

Mereka berandaian kenyataan pemimpin PAS itu benar dan ramalannya sahih melangkau masa depan walau hakikatnya ia cuma bersifat propaganda murahan untuk menyemai kebencian umum terhadap pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah.

Kini, empat bulan sudah berlalu. Polemik pilihanraya di musim haji sudah tidak kedengaran. Tuan Ibrahim pun sudah semacam kura-kura di tepian parit menyorok muka bersembunyi dari sindiran rakyat.

Tika ini sebahagian besar jemaah haji sudahpun berada di Kota Suci Mekah tekun menjalankan ibadah sementara menanti tibanya lambaian haji yang selama ini dinanti-nantikan.

Lebihkurang 28,000 orang jemaah haji Malaysia dijangkakan pulang ke tanah air bermula 31 Oktober 2012 nanti, ini bermakna sekalipun jika parlimen dibubarkan dalam mana-mana tarikh dalam bulan Oktober, mereka tetap berpeluang untuk terlibat dalam proses pengundian.

Jelas sekali propaganda PAS kononnya jemaah haji akan dinafikan hak mengundi dalam PRU 13 tidak menjadi kenyataan.

Walaupun demikian, apakah mungkin para jemaah haji hanya sekadar melupakan saja polemik dan kontroversi yang sengaja dicetuskan oleh pemimpin PAS?

Tentu sekali tidak kerana diawal polemik pilihanraya musim haji ditimbulkan oleh PAS, tidak sedikit jemaah haji dari kalngan ahli dan penyokong PAS terpana sendirian, was-was dan keliru apabila terpaksa memilih antara dua tuntutan - satu tuntutan agama yang termaktub dalam Rukun Islam dan satu lagu tuntutan keduniaan demi kepentingan politik kepartian.

Mereka keliru kerana dipaksa mendahulukan hal ehwal duniawi sedangkan peluang menunaikan ibadah haji dan menjadi tetamu Allah s.w.t tatkala sudah cukup syarat kemampuannya jauh lebih penting berbanding soal kepartian PAS.

Bagi segelintir yang tergolong dalam kategori totok dan balaci karat hijau tentu sahaja mereka tidak kisah mengabaikan ibadah haji demi parti, namun mujurlah sebahagian besar jemaah haji berjaya melepaskan diri dari hasutan duniawi dan terus tekad hatinya mendahulukan seruan Illahi.

Sekarang Allah s.w.t telah menetapkan takdir dengan membuka hijab pembohongan propaganda PAS untuk ditatapi dan diadili oleh umat Islam negara ini.

Pastinya kepulangan para jemaah haji kelak akan mengimbau kembali ingatan mereka dengan kejahatan propaganda PAS itu apatah lagi bila masing-masing mendapat tahu pemimpin PAS yang sama itu juga baru sahaja menghina bakal penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disama tarafkan dengan penagih candu dan anak ayam yang kebuluran.

Tuan Ibrahim dan lain-lain pemimpin PAS mungkin boleh berdolak dalik dengan seribu satu alasan dan takwilan, namun hakikatnya baik para jemaah haji mahupun para penerima BR1M serta sebahagian rakyat Malaysia beragama Islam yang lain sudah tidak sabar menunggu masa untuk menghukum PAS dalam PRU 13 nanti.

Dek bahana terlanjur kata terlebih propaganda, kelak badan yang binasa. Dek kerana huduh tutur kata serta buruk pembawaan sikap akibatnya PAS perlu menerima kesan pembalasan hukuman yang setara.