Thursday, November 8, 2012

Skandal Lembah Sireh: Kerajaan PAS Kelantan Cuba Cuci Tangan

Suka atau tidak, pemimpin PAS Kelantan terpaksa akui skandal Lembah Sireh mempunyai impak besar yang mampu menambah parah kedudukan parti itu di negeri Serambi Mekah ini pada PRU 13 nanti.

Senario ini jelas kelihatan apabila para pemimpin kerajaan negeri bermula dari exco hinggalah Menteri Besarnya terpaksa tampil ke depan mengulas isu itu dengan pelbagai kenyataan mempertahankan projek tersebut.

Masing-masing kalut ribut dibuatnya apabila skandal ini semakin mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi dikalangan rakyat Kelantan pun isu ini semakin hangat diperdebatkan baik kedai-kedai kopi mahupun di ruang maya internet.

Dalam usahanya yang terbaru untuk menolak kebenaran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 (LKAN 2011) berkenaan kelemahan dan kegagalan projek Pembangunan dan Pengindahan Tebing Sungai Kelantan (PTSK) di Lembah Sireh, tiba pula giliran Exco kanan negeri untuk mempertahankan Kerajaan PAS Kelantan.

Kata Husam Musa, adalah mustahil projek Lembah Sireh dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri tidak memberi hakmilik tanah kepada syarikat Liziz Standaco Sdn Bhd.

Selanjutnya kata Husam lagi, seandainya projek tersebut gagal atau syarikat swasta itu tidak mematuhi perjanjian maka kerajaan negeri memiliki kuasa untuk mengambil semula tanah seluas 716.8 ekar itu.

Nampak gayanya Husam cuba cuci tangan bagi pihak PAS Kelantan berikutan kritikan ramai terhadap skandal Lembah Sireh yang sekarang ini telahpun dilaporkan kepada pihak SPRM.

Ulasan Naib Presiden PAS itu merujuk secara langsung pada Laporan Audit yang antara lainnya menegur tindakan Kerajaan PAS Kelantan membelakangi prosedur penukaran hak milik tanah kepada Liziz Standaco, sehingga mendedahkan kepada risiko besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Kredibiliti LKAN 2011 jauh lebih tinggi berbanding Husam yang diketahui pernah gagal dalam perternakan kambing Jamnapari. Soalnya sekarang pandangan siapa yang selayaknya digunapakai?

Tanah itu yang nilainya dianggarkan RM318.29 juta kini sudah pun menjadi milik syarikat tersebut selepas diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PTSK 1/2002 yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Jika jawapan Husam itu diterima pakai, mudah benarlah untuk mana-mana individu atau syarikat berkepentingan dengan pemimpin PAS mengajukan proposal projek pembangunan tanpa perlu memiliki modal yang kukuh.

Hantar saja proposal sekian-sekian, bila diluluskan, mohon pula penukaran hakmilik tanah. Semudah A,B,C. Patutlah mudah sangat tanah-tanah di Kelantan terutama di Gua Musang berkaitan isu Ladang Rakyat dan tanah seluas lebih 80,000 ekar berpindah milik kepada Cina pro DAP dan Cina Singapura.

Realitinya, syarikat Liziz Standaco bukan sahaja telah gagal mematuhi syarat perlaksanaan projek malah keutamaan projek pembangunan pula hanya tertumpu pada kepentingan yang bersifat komersial yang menguntungkan mereka sahaja.

Sedangan projek pembangunan yang mempunyai signifikan dengan kepentingan orang ramai seperti menyiapkan pembinaan Jambatan Palekbang, Stadium Tertutup Wanita, masjid serta beberapa komponen lain gagal dibina hingga kini.

Syarikat itu juga sehingga kini gagal menyerahkan gantian wang tunai sekurang-kurangnya RM90 juta selepas gagal membina Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang sekarang ini telahpun diambil alih pembinaannya oleh Kerajaan Pusat.

Selain itu, daripada tanah seluas 716.8 ekar itu, 13.52 ekar daripadanya telah dicagarkan kepada bank untuk membolehkan syarikat itu mendapat pinjaman RM75 juta bagi membiayai projek pembangunan Lembah Sireh.

Senang-senang saja Liziz Standaco dapat tanah kemudian dapat pula cagarkannya untuk mendapat wang ringgit. Agak-agak Husam dan lain-lain pemimpin PAS, bagaimana pula dengan nasib tanah seluas 13.52 ekar itu kelak? Apa pula jaminan tanah itu tidak akan tergadai pada bank?

Bila diimbas pada kegagalan syarikat Liziz Standaco memenuhi pembayaran sumbangan RM15 juta untuk skim perumahan kos rendah dan sehingga kini hanya mampu melunaskan RM3 juta sahaja, payah kita nak melegakan hati bahawa tanah tersebut takkan jadi milik bank di kemudian hari.

Rakyat sudah memberi peluang kepada PAS Kelantan memerintah negeri sejak 22 tahun lalu sebetulnya bukan untuk pemimpin PAS sesuka hati memindah milik tanah kepada syarikat kroni sambil menabur janji itu ini kemudian gagal ditepati.

Perkara ini tidak akan berlaku jika Kerajaan PAS Kelantan membuat pemantauan rapi serta mengkaji dahulu setakat mana kemampuan kewangan serta kelayakan syarikat itu untuk menjayakan projek PTSK lembah Sireh yang keseluruhan kosnya adalah RM2 bilion ini.

Tapi nampaknya, PAS tidak mengambil iktibar kejatuhannya pada 1978 dulu berkait rapat dengan isu tanah serta konsesi balak. Jadi janganlah marah bila PRU 13 kelak sekali lagi PAS jatuh tertunggeng dek kerana penangan skandal Lembah Sireh dan Ladang Rakyat.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Nurul Izzah, Kalau Takut Dilambung Ombak, Jangan Mandi Laut


Muka depan Sinar Harian hari ini memaparkan gambar pelakon airmata terhebat, Datin Seri Wan Azizah yang memulakan karier lakonannya pada tahun 1998 iaitu sejak suaminya dipecat dari kerajaan kerana meliwat. Kali ini, Wan Azizah melakonkan watak sedih seorang ibu yang kasihankan anaknya, Nurul Izzah yang berhadapan dengan serangan berbagai pihak akibat mengeluarkan kenyataan yang ‘politically incorrect’ bagi partinya, berkenaan kebebasan beragama bagi Umat Islam.

Wan Azizah menyalahkan media kononnya memutarbelitkan kenyataan anaknya dan kononnya ia adalah serangan politik dari pihak lawan sebagaimana yang dialami oleh suaminya ketika dituduh meliwat dan terlibat dalam pluralisme dan liberalisme.

Nurul Izzah sebelum ini mendakwa akan menyaman akhbar-akhbar yang dituduh memutarbelit kenyataannya. Namun, seperti juga bapanya ketika menuduh media memutarbelit kenyataannya mengenai sokongan terhadap Israel sebelum ini, mereka hanya memilih untuk menyaman akhbar berbahasa Melayu atau pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia.

Dalam kes bapanya itu, yang mula-mula menyiarkan kenyataannya adalah The Wall Street Journal dan dalam kes Izzah, adalah Malaysiakini tetapi nampaknya Izzah dan bapanya langsung tidak berminat untuk menyaman media tersebut, malah tidak langsung menafikan laporan mereka.

Sedangkan, akhbar pro-kerajaan hanya memetik laporan dari sana, kemudian menyiarkan ulasan, pandangan serta pendapat berbagai pihak terhadap kenyataan mereka pula yang menjadi sasaran serangan mereka.

Walaupun tiada putar-belit, tiada manipulasi dalam laporan yang dibuat media ini, tetapi Izzah nampaknya menjadi tidak tentu arah sekali. Risau sekali Izzah dan keluarganya apabila terserlah pendiriannya yang ‘longgar’ terhadap soal murtad.

Melihat laporan ala novel sedih di Sinar Harian mengenai Wan Azizah, tidak salah jika dikatakan bahawa Izzah benar-benar tertekan. Manakan tidak tertekan, apabila sebelum ini, suaminya sering menafikan yang beliau terlibat dalam pluralisme dan liberalisme, tetapi kini anaknya pula seolah-olah mengesahkannya.

Dari kenyataan Izzah, sekali lagi segala bukti mengenai fahaman Anwar dibangkitkan. Ucapan-ucapannya yang kontroversi yang jelas menyatakan bahawa ‘semua agama adalah sama’, kembali dipaparkan oleh para blogger. Rakan-rakannya di dalam ABIM yang telah lama meragui dan menghentamnya berkenaan isu ini boleh saja muncul membuat kenyataan mengesahkan fahamannya. Pendek kata, begitu banyak bukti dan saksi yang mampu membuktikan fahaman plural dan liberal Anwar.

Mungkin menyedari betapa sukarnya untuk membela diri dari tuduhan menganut fahaman pluralisme dan liberalisme, maka strategi keluarga ini bagi memulihkan pandangan ramai terhadap Izzah hanyalah dengan meraih simpati. Untuk itu lah maka Wan Azizah pelakon handalan, perlu memainkan peranan di muka depan.

Strategi ini mungkin berkesan jika tujuannya adalah untuk meraih simpati untuk Wan Azizah, tetapi lebih dari itu ia hanya menunjukkan betapa lemahnya Nurul Izzah. Nurul Izzah yang selama ini menonjolkan diri sebagai politikus lantang dan tidak berfikir panjang untuk menyerang tiba-tiba memperlihatkan dirinya sebagai wanita yang lemah, tidak berdaya atau mangsa kerakusan politik lawan.

Sedangkan, hakikatnya, Nurul Izzah bukan mangsa, beliau adalah ahli politik dan pemimpin. Beliau bukan bermain ombak atau membuat rumah di tepi pantai, tetapi beliau sedang berenang di tengah lautan atas pilihannya sendiri dengan berani sekali.

Justeru, jika beliau membuat kenyataan, beliau wajib bertanggungjawab ke atasnya. Jika beliau mempunyai pendirian bahawa Umat Islam perlu bebas menukar agama, maka beliau wajib mempertahankan pendiriannya, dengan tegas dan lantang juga biar apa jua kritikan, kecaman mahupun hukuman yang bakal diterima.

Nurul Izzah pernah menuduh dengan lantang dan keras kononnya Perdana Menteri terlibat dalam rasuah pembelian kapal selam yang kemudiannya berkait dengan pembunuhan. Ini adalah tuduhan yang amat berat. Ketika itu, adakah Nurul Izzah terfikir akan apakah kesannya ke atas orang yang dituduhnya? Tidak. Apakah Perdana Menteri meminta simpati rakyat agar mempercayai beliau dan bukan tuduhan Nurul Izzah serta kuncu-kuncunya? Tidak juga.

Ini adalah kerana Perdana Menteri tidak gentar kerana tuduhan tersebut tidak benar. Perdana Menteri juga faham ini adalah mainan politik kotor Nurul Izzah, bapa Nurul Izzah serta kuncu-kuncu mereka. Justeru, Perdana Menteri sabar memberi keterangan dan penjelasan tanpa jemu kepada rakyat mengenainya. Beliau juga bersumpah sebanyak 3 kali mengikut cara Islam sebagai usaha membela diri. Akhirnya, pihak Perancis sendiri tampil membongkar penipuan rangkaian yang berkait rapat dengan parti Nurul Izzah sendiri.

Melihat bagaimana Nurul Izzah gabra dan gentar tidak seperti Perdana Menteri apabila dituduh dengan tuduhan sebegitu berat, rakyat boleh membuat kesimpulan sendiri bahawa Izzah bukan mangsa putar belit sesiapa, tetapi beliau benar-benar berpendirian sepertimana yang dinyatakannya. Iaitu bahawa Umat Islam wajar diberi hak untuk menukar agama sepertimana penganut agama lain.

Kini, tidak boleh disangkal lagi bahawa Nurul Izzah mewarisi fahaman bapanya yang mendokong pluralisme dan liberalisme. Selama ini beliau berselindung di sebalik tudung dan baju kurung konon keluarganya dididik sebagai Muslim sejati, sedangkan di masa yang sama menyebarkan agenda plural dan liberal bagi pihak ‘tuan-tuan mereka’ di barat.

Kita ingin menyarankan kepada Nurul Izzah agar berterus terang saja dengan fahamannya dan keluarganya serta berdiri teguh atas pendirian itu. Sekurang-kurangnya kita boleh menghormatinya sebagai pemimpin yang berani, walaupun kita tidak boleh menghormatinya sebagai seorang Muslimah sejati. Dengan tidak berani berkata yang benar dari hatinya, maka Izzah adalah sama saja dengan bapanya, yang pengecut dan membawa imej talam bermuka-muka, menjadi warak, liberal, plural, komunis, demokrat, neo-con dan apa saja yang mampu memberi keuntungan politik kepada mereka.

Jika Izzah takut untuk menghadapi semua ini, kembalilah saja ke daratan agar tidak perlu lagi dilambung ombak di lautan.

Anwar Lemas Dengan Kenyataan Khalid Ibrahim Berhubung Isu Nurul Izzah


Kalau melihat pada cara Datuk seri Anwar Ibrahim Selasa main rembat tuduh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan apa yang Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cakap Rabu...orang tentu akan garu kepala.

Kedua mereka pemimpin besar PKR.Satu ke Utara manakala satu lagi ke Selatan.Nampak gaya macam cacamarba.

Anwar yang [I]backing[/I] Nurul Izzah dalam isu kenyataannya mengenai kebebasan beragama tuduh JAIS dapat panggilan dari UMNO ( dapat arahan) untuk panggil siasat anaknya dalam kes itu.

Khalid pula dengan tegas kata JAIS perlu melakukan siasatan ke atas Nurul Izzah berhubung kenyataannya berkaitan dengan kebebasan beragama.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama negeri Selangor berkata siasatan itu perlu bagi mengelakkan umat Islam terkeliru, dan memastikan tiada impak negatif terhadap umat Islam berikutan kenyataan itu.

"Saya menyokong penyiasatan ini dan tindakan yang akan dilaksanakan Jais itu adalah untuk sesuatu perkara yang positif, tiada orang Islam yang mengkehendaki umatnya meninggalkan agama.

"Kita mahu jati diri umat Islam itu kukuh dan ini adalah tanggungjawab seorang Islam untuk menjaga umat Islam yang lain," katanya kepada wartawan di Shah Alam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu Nurul Izzah berkata di forum di Subang Jaya Sabtu lalu bahawa setiap rakyat di negara ini termasuk orang Melayu tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid turut bersetuju sekiranya Nurul Izzah tampil untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataannya itu.

Apa yang jelas tembelang Anwar ikut suka hati tuduh JAIS ikut arahan UMNO untuk siasat anaknya ' kantoi' dengan sendirinya menerusi kenyataan Khalid.

Dakwa Anwar beliau percaya JAIS telah menerima panggilan dari pemimpin UMNO untuk lebih menghangatkan isu tersebut.

"UMNO terdesak. Saya rasa JAIS terima panggilan dari UMNO untuk panggil Izzah," kata Anwar pada wartawan di Parlimen.

Ini ditambah dengan titah Sultan Selangor yang terkejut dengan dan kesal dengan kenyataan Nurul Izzah. -Agendadaily

Wednesday, November 7, 2012

Video Kontroversi Nurul Izzah Di Sebarkan



Video kenyataan kontroversi Nurul Izzah mengenai isu kebebasan beragama di negara ini
dimuat turunkan ke YouTube oleh beberapa blogger pro BN dan pembangkang hari ini...


Berikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Soalan Peserta : “Soalan utama saya ialah apabila anda bercakap mengenai kebebasan beragama, adakan anda juga maksudkan bahawa orang Melayu patut diberikan hak yang sama?

Jawab Nurul Izzah : “Tidak harus ada paksaan di dalam agama….. Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum).

“Di dalam Al-Quran, tidak ada terma yang spesifik yang mengatakan untuk orang Melayu ini cara ia patut dilakukan.

“Apa yang kita mahukan ialah sudah tentu dalam erti kata kualiti (Islam). Kita harus mempunyai akidah yang kuat. Walaupun saya bersekolah di Assunta yang mempunyai salib besar di dewannya …saya tidak terpengaruh (dengan ajaran Katholik),”.

Agenda Plural, Liberal Anwar Semakin Terserlah


Nilai-nilai diri seorang manusia terletak pada keteguhan prinsip hidupnya. Seorang pemimpin hebat wajib mempunyai prinsip yang kuat atau tidak mungkin akan tercatat dalam sejarah sebagai hebat.

Kerana itu, Adolf Hitler walaupun tercatat sebagai manusia paling kejam tetapi tiada siapa dapat menafikan yang beliau adalah pemimpin hebat. Walaupun beliau dikutuk kerana kekejamannya, tetapi kemampuannya mempengaruhi begitu ramai rakyatnya, menggerakkan askar-askar yang patuh kepadanya yang percaya dan setia kepada cita-citanya telah melayakkannya mendapat penghormatan tersendiri dalam kategori seorang pemimpin hebat di dunia.

Hitler tidak berdolak-dalih mahupun menafikan kekejaman yang dilakukan tetapi berdiri teguh atas kepercayaan bahawa apa yang dilakukannya adalah wajar yakni, benar.

Anwar Ibrahim, diketahui sering menyamakan dirinya dengan pemimpin-pemimpin hebat dunia. Namun, ciri-ciri pemimpin hebat tidak ada dalam dirinya. Dunia melihatnya tidak lebih sebagai manusia paling rakus yang tergila-gila untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar tidak mungkin dapat menjadi pemimpin hebat kerana tidak berani berdiri atas prinsip hidupnya sendiri serta mengakui fahaman pluralisme and liberalisme yang dipegangnya.

Apabila diasak mengenai kenyataan berunsur liberalis iaitu bahawa undang-undang homoseksual adalah lapuk, Anwar pantas menafikannya pula. Apabila ditekan oleh rakan-rakannya di dalam ABIM mengenai beberapa ucapan dan kenyataannya yang berunsur pluralis, Anwar menafikannya juga.

Malah, sehingga ke hari ini, Anwar masih cuba meyakinkan umat Islam di Malaysia bahawa beliau adalah pemimpin Islam sejati, warak dan alim. Beliau ke hulu ke hilir mencari peluang bercakap dan berkhutbah di dalam masjid. Imej isteri dan anak-anaknya yang bertudung banyak membantu mengelirukan orang ramai mengenai warna sebenar hati, budi dan pemikirannya.

Persoalannya, kenapa Anwar tidak mengaku sahaja arah tuju perjuangan liberalnya serta fahaman pluralisnya? Kenapa perlu berdolak dalih? Kenapa perlu bermuslihat dengan umat Islam yang menjadi penyokongnya?

Rekod pergerakan Anwar membuktikan bahawa Anwar berpegang kepada fahaman pluralisme agama dan liberal. Bukti terkini ialah kenyataan Nurul Izzah yang selari dengan Majlis Peguam yang menganjurkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang menyerlahkan lagi fahaman pluralis dan liberalis yang dipegang oleh bapanya dan mungkin juga seluruh keluarga dan ahli-ahli partinya.

Matlamat utama IFC iaitu memberikan kebebasan memilih agama dan keluar dari sesuatu agama termasuk di kalangan umat Islam. Dan ini jugalah yang dikatakan oleh Nurul Izzah iaitu umat Islam juga wajar diberi kebebasan untuk memilih agama lain, atau dalam kata lain, murtad. Bukankah ia sama saja?

Pandangan Nurul Izzah itu adalah jelas berdasarkan fahaman pluralisme agama yang meletakkan semua agama adalah sama sepertimana yang disebut Anwar dalam ucapannya di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010 bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World”, iaitu “tidak penting apa sahaja agama yang anda anuti , hanya berbuat baik dan elak kejahatan.”

Ucapan tersebut menjadi kontroversi, mendapat teguran JAKIM dan meletakkan Anwar dalam keadaan tegang dengan rakan-rakannya di dalam ABIM.

Sehubungan dengan itu, satu kajian dan diskusi telah diadakan untuk mengenalpasti pluralisme di dalam Anwar dan percanggahannya dengan Islam. Dari situ, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) telah mengenalpasti 12 dalil yang bercanggah dengan Islam dari ucapan tersebut: Antaranya:

1. Menganggap hanya satu agama sebagai benar adalah pandangan yang silap atau tertutup sedangkan agama-agama lain juga benar. Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

2. Memetik penyair Sufi, Jelaluddin al-Rumi yang berkata "Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan"(The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

3. Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

4. Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi mengenepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism) yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

5. Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman 'tidak ada paksaan dalam agama', maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

6. Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

7. Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat Perintah-Perintah Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

8. Kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh 'pihak lain', terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeluduk masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang. Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat. Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

9. Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Ini hanya sebahagian dari 12 hujah utama dalam ucapan Anwar yang mengesahkan bahawa beliau berfahaman pluralisme dengan berpaksikan cara hidup liberal. Ucapan ini telah dimuatnaik ke dalam blognya tetapi dikeluarkan apabila mendapat bantahan JAKIM.

Kesimpulan di sini ialah, Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin walaupun rakus dan gila-kuasa tetapi tidak cukup ‘jantan’ untuk berdiri teguh di atas fahaman, pendirian dan prinsip dirinya. Sedangkan pemimpin hebat wajib berani menyatakan apa yang dianggapnya benar dan memperjuangkannya tanpa perlu berselindung atau berlakon. Pemimpin hebat tidak akan takut pada risiko ditangkap atau kalah pilihanraya, asalkan perjuangannya berjaya menembusi hati dan minda seramai yang mungkin atas kepercayaan yang beliau membawa kebenaran.

Keengganan Anwar untuk mengakui fahamannnya membawa kita kepada satu kemungkinan iaitu; jauh di sudut hati, beliau tahu bahawa fahaman itu adalah salah dan sesat tetapi ingin terus mempromosinya kerana ia sesuai dengan jiwanya yang sukakan kebebasan seks mutlak, di samping sesuai dengan kehendak penajanya di barat.