Saturday, February 2, 2013

Tubuhkan Unit Pembetulan Aqidah - Pengerusi MAINS


Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi MAINS terus memberi penekanan dan fokus di dalam mempertingkatkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau mengumumkan cadangan MAINS mengambil Pangsapuri Sri Perdana Paroi sebagai anak angkat menginstitusikan pendidikan agama Islam kepada ibu bapa. Selain dari Pangsapuri Sri Perdana Paroi, perkara yang sama turut akan dilaksanakan di taman-taman perumahan secara berperingkat.

Hari ini di Majlis Tautan Ilmu PDM 131/N25/01 Paroi yang diadakan di perkarangan Masjid At-Taqwa, Paroi, beliau memaklumkan bahawa MAINS telah menubuhkan satu unit yang dipanggil Unit Pembetulan Aqidah.

Menurut beliau, unit ini dipertanggungjawabkan kepada Dato’ Sheikh Mohamad Fuad Kamarudin di mana peranannya adalah memantau aktiviti dan aqidah umat Islam di negeri ini.

Penubuhan 1 unit ini kerana kerisauan terlampau banyak serangan demi serangan menyerang umat Islam, datang dari pelbagai sudut dan ruang yang mahu melihat aqidah anak-anak umat Islam terus hancur.

Katanya lagi, ini merupakan langkah proaktif yang di ambil oleh Kerajaan Negeri melalui MAINS. Kita tak mahu mengambil tindakan dan membuat perancangan setelah keadaan menjadi semakin teruk baru nak bertindak. Mencegah lebih baik dari mengubati.”

Unit ini kelak akan bekerjasama dan jalan seiring dengan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di dalam tugas pemantauan. Sekiranya terdapat penangkapan umat Islam di negeri ini, mereka akan diambil tindakan seperti nasihat dan kaunseling.

Tambah beliau lagi, “Ajaran syiah misalnya telah melampau-lampau di negara ini, dan MAINS telah mengesan ianya telah menular di negeri ini dan kita tidak pandang ke belakang lagi dan akan bertindak membetulkannya.

#Fakta 7 Dalil PAS Sesat Untuk Renungan @abby_abadi112


FAKTA 1 : PAS DIKUASAI ANWAR IBRAHIM
Hasan mendakwa Pas yang kini dikuasai lebih 70 peratus kumpulan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tersasar daripada perjuangan asal semata-mata demi kuasa politik

FAKTA 2 : PAS GADAI ISLAM DAN ALLAH DEMI KUASA
Sebagai buktinya, dedah beliau, beberapa hari sebelum dipecat, seorang wakil Pas Pusat datang menemuinya dan meminta agar segala penguatkuasaan bagi mencegah kemungkaran di Selangor, dikurangkan kerana khuatir ia menjejas sokongan terhadap pembangkang.

“Datanglah wakil Pas Pusat bertemu dengan saya, suruh saya kurangkan operasi dan penguatkuasaan (cegah maksiat). Apa dia kata, dia kata yang penting Dr. Hasan, kita kena tawan Putrajaya dulu. Ini orang Pas yang bercakap, masya-Allah... lillahitaala, itulah bahasanya.

FAKTA 3:PAS DAN PAKATAN TIDAK MAMPU SEBAR DAN TINGGIKAN SYIAR ISLAM
“Di Selangor ini yang Menteri Besar orang Islam, Exco kerajaan negeri (terdiri) lima orang Islam dan Exco agama juga orang Islam pun tak boleh nak dilaksanakan tindakan mencegah kemungkaran, apa yang kita (Pas) boleh buat kalau kita tawan Putrajaya?

“Saya tidak kata Putrajaya itu tidak penting tetapi jangan sampai gadai agama. Perintah Allah kita junjung, keinginan manusia kita kelek (usung) bukan sebaliknya seperti Pas hari ini. Keinginan siapa? Keinginan seorang rakyat Malaysia yang terlalu nak jadi Perdana Menteri,” -Hassan Ali.

FAKTA 4: PAS "BERTOLAK ANSUR" DAN RELA UMMAH DIMURTADKAN
Hasan yang juga bekas Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu juga mendedahkan seorang personaliti Pas Selangor telah menasihatkan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. supaya jangan bercakap soal gerakan Kristian.

Katanya, nasihat tersebut dibuat ketika Hasan Basri dan personaliti berkenaan berceramah di pentas yang sama beberapa bulan lalu dan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor itu dikehendaki bercakap mengenai demonstrasi Bersih 3 serta perlu memuji Datuk S. Ambiga.

FAKTA 5: PAS TAKUTKAN DAP BERBANDING HUKUM ALLAH SWT
Dalam pada itu, Hasan memberitahu, pemecatan beliau daripada Pas disebabkan ‘dosanya’ menyekat penjualan arak menyekat orang berjudi di Selangor serta tegas menyatakan yang benar itu benar, yang batil itu batil, adalah sesuatu dibenci oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

FAKTA 6 : TIADA DEMOKRASI DALAM PAS, SIAPA TEGUR KENA PECATWALAU PERJUANG ISLAM
“Saya dipecat tanpa ada pertuduhan bertulis sedangkan mengikut perlembagaan parti ia wajib. Saya juga tidak diberi ruang walau seminit untuk membela diri dan inilah kali pertama dalam sejarah Pas, parti ini begitu drastik mahu memecat saya hanya kerana tekanan DAP dan PKR.

“Kesalahan saya bukan mencuri; bukan merompak; bukan menggugat kepimpinan parti dan bukan isu moral. Saya tak meliwat orang, kesalahan saya bukan kerana gila kuasa, kesalahan saya kerana melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Selangor.

FAKTA 7 : PAS RELA GADAI MASA DEPAN MAHASISWA/I DEMI BELA PELIWAT ANWAR IBRAHIM
“Salah saya kerana membuat ulasan bukan mengenai Pas tapi mengenai Anwar hanya kerana tidak setuju demonstrasi 9 Januari. Isu mahkamah itu masalah peribadi, kenapa harus dibabit dengan rakyat dan mahasiswa yang ketika itu peperiksaan sedang berlangsung,”


Yang Berhormat Dato’ Dr Hasan Hj Mohd Ali (28 November 1947 - ) merupakan seorang ahli politik Malaysia dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Gombak Setia serta bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor sehingga digugurkan pada Jun 2011 dan akhirnya dipecat pada Januari 2012.

Beliau merupakan penceramah yang hebat kerana dapat mempengaruhi pendengar. Sebelum menceburi politik PAS pada 1999, beliau sering menjadi penceramah dan ahli panel dan disiarkan melalui RTM1. Tokoh lain yang menjadi penceramah ketika itu ialah Datuk Ismail Kamus dan mufti Selangor Datuk Ishak bin Baharom. Pada 2008, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


Friday, February 1, 2013

Dendam Tok Guru Pada Ustaz Nasha Tidak Bertepi...


Sejak sambut hari jadi ke 82 dan dapat potong kek bersama Karpal Singh baru-baru ini, Datuk Nik Aziz Nik Mat nampaknya semakin garang.

Malah beliau turut menghukum menteri yang tidak beri royalti kepada Kelantan akan masuk neraka.

Nampak sangat marah beliau kepada ‘menteri’ berkenaan –yang dipercayai Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mungkin Mursyidul Am PAS ini ada sifat simpan dendam yang tak akan padam macam beliau berdendam kepada UMNO yang didakwanya tikam  belakang PAS di Kelantan satu masa dulu.

Kebiasaanya semua orang mengharapkan ' sinar kebijaksanaan' dari seseorang yang bergelar Tok Guru.

Namun Tok Guru ini memang lain macam...dan seolah tiada umat yang akan diampunkan kalau tidak sokong PAS dan ikut cakapnya.

Kalau setakat UMNO beliau berdendam kerana politik satu hal...tetapi Nasharuddin Mat Isa juga jadi mangsa.

Menoleh ke belakang, krisis antara Nik Aziz dan Ustaz Nasha meruncing ketika pilihanraya kecil Manik Urai di Kelantan pada Julai 2009.

Tiba-tiba keluar larangan PAS Kelantan yang dipimpin Nik Aziz tidak membenarkan Ustaz Nasha yang ketika itu masih timbalan presiden parti
turun berkempen.

Baik Nik Aziz mahupun Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing berdolak dalih mengenai larangan yang dikatakan dibuat ketika mesyuarat PAS Kelantan sewaktu PRK Maik Urai.

Bagaimanapun Ustaz Nasha turun juga berkempen sekejap sahaja atas alasan masih menerima rawatan kerana pembedahan usus.

Selepas Ustaz Nasha gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden parti, Nik Aziz semakin ‘memperkecilkan’ pandangannya terhadap Nasha.

Namun, ahli parlimen Bachok itu dipilih menganggotai Majlis Syura PAS.

Khabarnya, kerana tahu Menteri Besar Kelantan itu tidak sebulu dengannya, Ustaz Nasha jarang hadir mesyuarat majlis berkenaan.

Apatalah lagi ketika hubungan PAS dengan PKR dan DAP semakin intim dan timbul isu pemecatan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, Nik Aziz mungkin tidak senang hati dengan Ustaz Nasha yang kelihatan memihak kepada bekas Exco Selangor itu.

Selain itu, pelbagai kenyataan dan kritikan Nasha mengenai hubungan PAS dengan DAP serta meminta parti itu mengkaji semula kedudukan PAS dalam pembangkang membuat Nik Aziz semakin anti Nasha.

Kemuncak rasa tidak puashati dan dendam Nik Aziz mungkin terbalas dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama yang dipengerusinya pada 13 Januari lalu.

Perkara penting mesyuarat itu adalah memecat keanggotaan Nasha daripada majlis tersebut.

Ini sekaligus menjadikan Ustaz Nasha sebagai  ahli biasa PAS.

Ingatkan perkara itu memuaskan hati Nik Aziz tetapi rasanya dendam Tok Guru masih tidak bertepi terhadap Ustaz Nasha apabila menyatakan pengguguran  keanggotaanya daripada Majlis Syura Ulama adalah sama seperti beliau dipecat daripada parti.

Angkuhnya Nik Aziz menyatakan, Ustaz Nasha tidak perlu menunggu surat daripada parti mengenai status keahliannya kerana pemecatan beliau daripada Majlis Syura secara automatik bermaksud dia bukan lagi ahli PAS.

"Adalah tidak penting sama ada dia menerima surat daripada Majlis Syura memaklumkan beliau sudah dipecat atau menunggu jawapan mengenai status keahliannya. Hakikatnya tetap teguh bahawa Lafaz
Cerai telah dibuat dan beliau bukan lagi ahli parti," katanya kepada pemberita di  Bachok, Khamis.

Bagaimanapun, PAS Pusat masih mengakui Ustaz Nasha masih seorang ahli biasa parti selepas pemecatan tersebut.

Hadi  berkata demikian semalam di Pokok Sena mengulas mengenai status Nasharudin selepas dipecat sebagai anggota Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Musafa Ali ketika ditanya kontroversi ini dan dalam pesanan rengkas kepada Agendadaily pada Jumaat, Mustafa  mengakui Ustaz Nasha masih ahli PAS.

Jadi semakin jelas hanya Tok Guru saja buat kenyataan Ustaz Nasha bukan lagi ahli PAS siap dengan istilah sudah lafaz cerai.

Malah, katanya terpulang pada sesiapa nak ambil orang yang sudah kena cerai.

Agaknya dendam dan marah Nik Aziz pada Nasha tidak bertepi..

Mungkin lepas tengok gelagat Nik Aziz ini termasuk nak tentukan siapa masuk neraka, PAS kini bukan lagi dikenali parti Islam tetapi PAS sudah jadi Parti (Nik) Aziz Seorang.

Oleh Roslan Bian

Majlis Syura Sudah Tidak Relevan, Perlu Dibubarkan


Majlis Syura Ulama PAS pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri. Sebuah Al-Quran buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan diletakkan di tempat yang tinggi.

Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS adalah umpama kain buruk sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan oleh pemimpin PAS. Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain buruk tersebut.

PAS juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak kepada nama ‘Islam’ yang ada pada parti PAS. Tanpa Majlis Syura, Islam PAS hanya tinggal pada jubah dan serban semata-mata.

Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang ‘mengabaikan’ Majlis Syura tetapi, Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak lebih dari simbol semata-mata. Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis Syura bermakna pemecatan dari PAS. Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong PAS mencurigai tindakan pemecatan tersebut.

Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis dan juga Mursyidul Am parti. Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, Nasha dan PAS tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.

Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam.

Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang suka menghina orang lain. Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza. Oleh itu, pemecatan Nashruddin dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama dengan PM di Gaza.

Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz sendiri. Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan Islam tulen yang adil lagi saksama?

Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara Islam. Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela diri.

Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara Islam.

Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal menghukum cara Islam? Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura?

Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna. Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan PAS sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz. Manakala, PAS pula boleh membuat keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan DAP.

Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura? Bukankah lebih baik ianya dibubar saja?

Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi punya nilai. Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata Nik Aziz sendiri.

Bilakah Akan Berakhirnya ‘Huru-Hara’ Akibat Kekalutan Berpolitik?


LIHATLAH sepanduk di sebelah ini. Ayatnya bukan berbunyi KERANAMU MALAYSIA tetapi KERANA MU GUAN ENG HABIS ORANG ISLAM HURU HARA. Huru-hara membawa pelbagai makna. Sila rujuk Kamus Dewan untuk mencari maksudnya. Sejauh manakah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan penyebab orang Islam ‘huru-hara’? Rakyat yang ‘melihat, mendengar dan membaca’ boleh membuat tafsiran. Sehingga kini Guan Eng terus menutup mulut manakala demonstrasi bantahan berterusan. Apakah kesudahannya? Kata-kata yang terdapat pada sepanduk itu ‘dipersembahkan’ oleh sekumpulan 50 penduduk termasuk penyokong Pas di Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu. Mereka membantah tindakan DAP mahu kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Mungkin setakat itulah yang termampu diluahkan oleh kumpulan peserta demonstrasi berkenaan yang rimas dengan suasana yang berlaku.

Guan Eng ibarat ‘melontar batu’ ke dalam sungai yang tenang. Lontaran itu membuatkan air berkocak dan mengejutkan ‘buaya’. Ada ‘buaya’ yang boleh terima lontaran batu itu dan ada pula yang berang kerana ‘diganggu’. Ada juga buaya yang tidak peduli itu semua. Ada juga yang terpedaya umpama kisah tipu muslihat sang kancil. Buaya yang ganas tiba-tiba menjadi ‘bodoh’ sehingga sanggup membiarkan badan dan kepalanya dipijak bagi memenuhi hasrat kancil untuk menyeberangi sungai. Itu hikayat sang kancil yang kecil memperdayakan buaya yang ganas.

Kembali menyelak isu kalimah Allah ini, tidak dinafikan perutusan Guan Eng sempena sambutan Krismas yang lalu mencetuskan pelbagai polemik. Dalam kalangan orang Islam, ada yang secara terbuka menyokong hasrat Guan Eng itu dan ada pula yang membantah secara terbuka atau senyap-senyap. Ada pula yang seperti berada ‘di atas pagar’. Cakap salah, tak cakap pun salah, macam dialog ketika Abang Ali (M.Zain) mahu ‘mengusir’ Kassim Selamat (P.Ramlee) daripada bawah kolong (rumah sewa) di Pulau Pinang dalam filem Ibu Mertuaku.

Lebih parah apabila dalam kalangan Pas pun ‘kecoh’ dengan kenyataan yang pelbagai, macam pasembor (rojak) atau ais kacang (air batu campur) dekat Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Ada yang setuju, ada yang tidak. Ada pula yang sanggup membuat ‘pusingan u’. Begitulah hanya sekadar kalimah Allah, orang Islam diuji sejauh mana keupayaan mereka untuk berfikir dan menunjukkan kepada khalayak tahap kecerdikan mereka atau sebaliknya.

Sekadar selingan, anggota DAP juga dalam keadaan ‘huru-hara’ kerana keputusan ‘misteri’ dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berikutan kesilapan dalam proses pengiraan undi. Ramai yang mendesak supaya diadakan pemilihan semula. Jumlah undi yang dikira hanya sekitar 1,823 undi dan melibatkan 63 calon. Jumlah itu lebih kecil berbanding 46,192 undi yang dikira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Bagan pada PRU lalu. Di seluruh negara SPR mengira lebih 500,000 kertas undi.Jumlah calon pula, di Pulau Pinang 82 di kawasan DUN dan 27 bagi Parlimen.

Bayangkan jika kesilapan itu dilakukan oleh SPR. Bukan setakat DAP yang akan ‘melompat’ malahan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bangun ‘membelasah’ SPR, mencabar kredibiliti SPR, mencabar kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan badan itu. Mungkin ada desakan supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Kembali kepada topik huru-hara, sejak Guan Eng berada di Komtar (pusat pentadbiran kerajaan negeri), pelbagai peristiwa dapat disaksikan. Situasi ini juga boleh dianggap huru-hara. Di situlah, sebuah parti yang mendakwa sebagai demokratik menghalang beberapa media termasuk Utusan Malaysia daripada membuat liputan. Inilah erti kebebasan media ala DAP. Dulu ketika Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon menjadi ketua menteri, tidak kedengaran sebarang usaha untuk menyekat kebebasan media. Begitu juga hari ini jangan sesiapa di Pulau Pinang atau di luar negeri itu pandai-pandai menggunakan nama Pulau Pinang (Penang) dalam apa juga penganjuran acara. Kena minta izin kerajaan negeri umpama memohon permit daripada polis atau pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan perhimpunan atau menampal poster. Hebatnya Penang.

Jika diselak lagi dalam tempoh empat tahun lalu, Pulau Pinang mungkin menjadi negeri yang paling banyak mengadakan demonstrasi jalanan atau perarakan bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri khususnya Guan Eng. Suasana seumpama ini hampir tidak dapat dilihat semasa era Chong Eu dan Tsu Koon. Jika ada pun hanya perarakan sempena menyambut kemerdekaan, Maulidur Rasul, Cingay, kereta berhias, Hari Wesak dan Thaipusam.

Menarik juga semasa era Guan Eng ini, banyak ‘hadiah pelik’ yang cuba memasuki Komtar untuk dihadiahkan kepada Guan Eng. Paling banyak tentulah kek. Pelbagai jenis diterima. Ada kek bersalut krim putih di luar manakala di dalamnya berwarna hitam (simbolik pentadbiran kerajaan DAP indah khabar dari rupa); kek replika najis manusia yang diperbuat daripada polisterin dan disalut krim coklat (simbolik pentadbiran yang disifatkan kotor dan hanya cantik di luar, nampak lazat tetapi tidak boleh dimakan). Guan Eng juga dihadiahkan seluar dalam wanita dan coli bercorak harimau (simbolik seorang peniaga yang mendakwa kerajaan negeri tidak adil, tidak telus kepada rakyat kerana tidak memulangkan semula tapak niaga di Komtar). Begitu juga dengan replika bengkel, tandas, jentolak dan kunci.

Sempena tiga tahun pentadbiran kerajaan DAP pula, ada pihak yang menghadiahkan keranda kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik. Komtar juga digemparkan dengan penemuan beg galas berwarna merah, biru dan hitam. Beg itu ditemui di tingkat 3 Komtar. Beg berwarna biru yang dilabel LGE mengandungi seekor biawak, beg hitam dilabel NWA ditemui seekor anak babi dan merah yang dilabel MK ditemui seekor itik hitam. Penutup kepada tahun 2012, dua batu nisan dibawa naik ke Komtar, juga tanda protes terhadap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Begitulah hadiah-hadiah istimewa yang menggambarkan ‘huru-hara’ yang berlaku. Entah apa pula hadiah yang akan menyusul selepas ini.

-Oleh Hassan Mohd. Noor

Puluhan Laporan Polis Terhadap Guan Eng, Kenapa Ibrahim Ali Jadi Sasaran


Saya ingin membuat sedikit ulasan terhadap gesaan mantan Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman supaya segera mengambil tindakan dibawah Akta Hasutan berhubung dengan kenyataan berbentuk ugutan Dato Ibrahim Ali, Presiden Perkasa terhadap Bible versi Melayu yang menggunakan Kalimah Allah.

Saya menghormati pandangan mantan peguam negara tersebut tetapi mempunyai pandangan yang sikit berbeza dalam hal ini. Pertama, kenyataan Dato Ibrahim Ali hendaklah dilihat dalam konteks yang luas dan lebih dalam. Luas ertinya mencakupi 28 juta rakyat Malaysia dan 2 billion penduduk dunia beragama Islam. Sementara kedalaman impak isu ini merujuk kepada persoalan aqidah yang berhubung langsung dengan masalah ketuhanan umat Islam. Seperti yang diketahui atas nama keagungan Allah dan kehebatan Islam manusia Muslim sanggup melakukan apa saja hatta mengorbankan nyawa mereka.

Meletakkan kedua-dua luas dan dalamnya isu ini sudah tentu tidak semudah itu bagi kita untuk mencadangkan sesuatu tindakan seperti yang dicadangkan oleh Yang Arif Tan Sri Abu Talib itu. Dato Ibrahim Ali mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Umat Islam di Malaysia pula termasuk penduduk Muslim dunia pun mempunyai sebab tersendiri untuk mengambil sesuatu tindakan atas nama kesucian Islam hingga sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai galangannya.

Bagi saya mencadangkan tindakan dibawah Akta Hasutan terhadap Dato Ibrahim Ali adalah sesuatu yang secondary sifatnya. Yang primarynya ialah punca dan pencetus kepada isu Kalimah Allah terbaru hingga memungkinkan Dato Ibrahim Ali menyatakan bisikan keimanannya terhadap Allah dan Islam yang dicintainya. Yang primarynya juga ialah Bible versi bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah yang sudah dicetak dan diedarkan termasuk kepada orang-orang Islam di negara kita. Apakah kita boleh menutup mata kepada sumber yang menjadikan isu ini terus membara atau adakah kita sebagai seorang Muslim dan Mukmin sanggup melihat agama kita diinjak-injak dan pegangan agama generasi Muslim pengganti nanti diselimuti dengan kekeliruan aqidah.

Seperti yang dilaporkan, puluhan laporan polis telah dibuat ke atas Lim Guan Eng. Tetapi kenapa dan mengapa hanya Ibrahim Ali dijadikan sasaran.

Inilah di antara persoalan yang perlu direnungkan. Mencadangkan tindakan tegas terhadap Dato Ibrahim Ali mungkin mudah tetapi mengawal anasir-anasir pencemar aqidah yang terus bertali arus, gigih, istiqamah dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang serba canggih tidak semudah seperti mengenakan tindakan kepada Dato Ibrahim Ali.

Fikir-fikirlah.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI KL
1 Februari 2013