Friday, February 8, 2013

Apakah Hajat Haron Din Jumpa Anwar?


Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din telah mengadakan perjumpaan sulit dengan Ketua Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Isnin lepas, dakwa blog msomelayu.blogspot.com.

Blog yang dimiliki Mohd Sayuti Omar (MSO) itu berkata hubungan mutakhir antara Harun dan Anwar sudah diketahui umum semakin renggang hinggakan jarang dapat dilihat kedua-dua tokoh itu duduk atas pentas sama dalam ceramah politik, jadi pertemuan mereka menimbulkan pelbagai persoalan.

“Gara-gara itu menyebabkan pertemuan di antara mereka berdua menimbulkan titik soal kepada sesetengah yang mengetahuinya dan tentulah akan menjadi persoalan umum. Apakah tujuan di sebalik pertemuan itu? Apakah ia ada membawa misi atau agenda besar dalam Pakatan Rakyat? Atau apakah ada pencemaran ke atas konsensus sebelum ini?

“Pada pertemuan itu Haron Din dikatakan datang bersendirian manakala Anwar ditemani oleh seseorang yang lain mungkin untuk dijadikan saksi. Pertemuan itu di luar rumah Anwar? Tiada kenyataan akhbar bersama dikeluarkan oleh mereka berdua selepas itu dan ini menguatkan lagi tanggapan ia amat SULIT dan PENTING. Jangan menghiris hati sudahlah…

“Sekiranya ia atas urusan Pakatan Rakyat sudah pasti pertemuan itu akan melibatkan salah seorang lagi wakil PR iaitu DAP. Tetapi yang nyata tiada wakil DAP,”katanya.

MSO yang juga penulis politik pro-Anwar berkata pertemuan itu bersifat misteri kerana tiada hebahan kepada umum, tidak seperti pertemuan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sengaja dihebahkan kepada umum baru-baru ini.

“Manakala apabila ia tidak ada kenyataan akhbar bersama dikeluarkan menjadikan pertemuan itu misteri dan penuh tanda tanya. Mustahil kalau pertemuan itu mengenai soal pembahagian kerusi kerana perkara itu sudah dilengsaikan. Formula dipakai dalam pembahagian kerusi adalah PKR 120 atau 122, DAP 40 dan PAS 60 atau 63.

“Apakah ia mengenai kerusi perdana menteri? Tetapi bukankah secara lisannya Pakatan Rakyat sudah menyetujui Anwar yang akan dilantik menjadi perdana menteri? Atau ada idea baru mengenai jawatan ini?

“Semasa muktamar PAS di Kota Bharu lalu ada beberapa perwakilan muktamar memberi pendapat bahawa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang juga layak menjadi perdana menteri? Apakah mengenai perkara itu? Walaupun ia dinafikan oleh PAS tetapi pandangan itu sesuatu yang sedap untuk diilusikan. Kata Abdul Hadi; syok juga kalau jadi perdana menteri.

“Persoalan juga timbul apakah kedatangan Haron Din itu membawa mesej daripada bosnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am atau pun atas inisiatifnya sendiri? Ataupun ia adalah atas permintaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang? Mungkin sebagai ketua Nik Aziz boleh mengesahkan akan pertemuan ini dalam masa terdekat.

“Juga timbul persoalan kalau ia mesej parti, kenapa tidak disampaikan sendiri oleh presiden atau diwakilkan kepada Setiausaha Agung, Mustapa Ali yang dianggap layak dan bersesuaian berbanding dengan Haron Din. Atau kerana Haron Din adalah ‘memanda tua’ maka beliau dihantar kerana Anwar juga menghormati timbalan musryidul am PAS ini?,”katanya lagi.

Nik Aziz Terima Hadiah Istimewa, 23 Anak Pokok Getah Dan Sawit


Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini menerima 'hadiah istimewa' daripada Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar) iaitu 23 anak pokok getah dan sawit di pejabatnya di sini.

Pemberian itu sebagai simbolik terhadap tindakan Kerajaan Pas Kelantan menjual lebih 4,000 hektar tanah di Gua Musang kepada pemimpin DAP Perak.

Anak pokok itu yang dibawa kira-kira 50 ahli Gerakan Tukar juga bertujuan memberi peringatan kepada Nik Aziz mengenai penderitaan peneroka asal tanah tersebut yang menanam sawit dan getah sejak lebih 20 tahun tetapi akhirnya disodok oleh pemaju untuk mengaut hasil balak.

Pengerusi Gerakan Tukar, Kamarudin Kassim yang mengetuai kumpulan tersebut turut menyerahkan satu memorandum tujuh perkara bertajuk Tanah Rakyat Adalah Maruah Rakyat kepada Nik Aziz bagi membantah penjualan tanah itu.

"Tanah itu adalah maruah rakyat yang diusahakan sejak lebih 20 tahun tetapi akhirnya dijual kepada pemimpin DAP dan kami yakin masih banyak lagi tanah yang dijual tetapi kita tidak tahu," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Kumpulan tersebut bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan untuk berjumpa Nik Aziz dan memorandum itu hanya diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Zawawi Mohamed.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan pengakuan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau dan Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri melabur dalam syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu.

Sebelum itu, blog pisau.net mendedahkan dakwaan kedua-dua pemimpin tersebut ditawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Nik Aziz sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, dalam memorandum tersebut, kerajaan negeri diminta menjawab beberapa persoalan berhubung penjualan tanah tersebut yang jelas hanya merugikan dan menindas rakyat.

"Sudah tiadakah syarikat milik bumiputera atau syarikat milik bukan bumiputera tetapi orang Kelantan yang mampu menjayakan satu projek usahasama seperti ini sehingga terpaksa dipajakkan kepada syarikat yang baharu berusia setahun?.

"Rakyat Kelantan juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan senarai nama semua syarikat dan keluasan tanah yang dipajakkan atas nama pembangunan," jelas memorandum itu.

‘Malaysia Spring’ - Ancaman Anwar Untuk Membunuh Demokrasi


Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan mengingatkan kita tentang ancaman Anwar Ibrahim untuk mencetuskan pemberontakan seperti negara-negara timur tengah atau ‘Arab Spring’ dalam usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Sudah tentu peringatan dari seorang yang berpengalaman dan mempunyai sumber maklumat yang luas seperti Tun Mahathir, tidak wajar dipandang ringan.

Apatah lagi setelah kita sedia maklum bahawa pemberontakan bukanlah sesuatu yang asing bagi Anwar, malah telah menjadi ‘hobi’nya sejak muda iaitu sejak di bangku Universiti tahun 1974. Apabila dipecat dari kerajaan, Anwar tidak berlengah-lengah untuk memulakan kembali hobi waktu mudanya, dan pantas menggerakkan kekacauan, memberontak menentang kerajaan yang sebelum itu turut diterajuinya.

Sehingga kini, hobi tersebut tidak pernah padam. Apabila melihat dunia Arab bergolak, beliau pantas menyerapkan semangat Dataran Tahrir yang menyaksikan peristiwa berdarah pemberontakan rakyat terhadap kerajaan Mesir, terhadap penyokong-penyokongnya. Begitu juga dengan pemberontakan atau revolusi di Syria, Libya, Tunisia dan lain-lain, semuanya dijadikan ‘contoh teladan’ yang harus diikuti oleh Malaysia, menurut Anwar Ibrahim.

Justeru, pada Februari 24, 2012 wawancara Anwar dengan Inter Press Service , sekali gus mengesahkan peringatan Tun Mahathir di mana Anwar berkali-kali menegaskan akan keperluan kepada satu pemberontakan ala ‘Arab Spring’ di Malaysia.

Antara kata-katanya ialah “Malaysia tidak boleh dipisahkan dari apa yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam,” dan “…polisi kami (PR) adalah untuk Malaysia menjadi negara demokrasi yang matang. Apa yang mereka di ‘Arab Spring’ dan ‘Occupy Wall Street Movement’ katakan ialah mengenai keadilan dan tekanan yang dihadapi dalam dunia kapitalis yang tidak terkawal yang hanya memberi kelebihan kepada segolongan kecil yang telah sedia mewah sahaja.”

Beliau juga berkata, “…bagi menghormati institusi demokrasi, hak untuk menentang dan hak kebebasan, ‘Arab Spring’ adalah amat perlu bagi dunia Islam kerana ia mempunyai impak dalam pengertian demokrasi.”

Maka tidak hairanlah, setiap kali puak pembangkang berdemonstrasi, tidak kira apa jua bentuk penyamaran yang mereka gunakan, seperti BERSIH, Himpunan Demokrasi, Reformasi, Kumpulan Hijau, dan sebagainya, laungan untuk menjatuhkan kerajaan sering kedengaran. Malah, pemimpin-pemimpin pembangkang juga telah beberapa kali dirakamkan menyuarakan secara langsung dan tidak langsung, berkenaan usaha mereka untuk mencetus ‘Dataran Tahrir’ di Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa peristiwa berdarah Dataran Tahrir ini tidak mustahil akan berjaya dicetuskan mereka sekiranya ‘hobi’ memberontak yang dimiliki oleh Anwar digabung dengan kebebalan PAS dan kebencian DAP yang membuak-buak terhadap kerajaan Melayu Islam. Apatah lagi, dengan terdapatnya dana asing yang tiada had untuk mengupah para pemberontak dan menyogok pengkhianat.

Adalah penting bagi setiap seorang dari rakyat Malaysia untuk benar-benar memahami apa itu ‘Arab Spring’ atau ‘Dataran Tahrir’ atau ‘Occupy Wall Street’ yang menjadi obsesi Anwar ini. Ini bukan masanya untuk kita sekadar mendengar cakap-cakap rakan mengenainya atau percaya bulat-bulat atas apa yang disampaikan oleh ahli-ahli politik mahupun media massa.

Jika benar kita inginkan demokrasi yang matang maka, kita, iaitu rakyat Malaysia harus mematangkan diri terlebih dahulu. Kita tidak layak untuk menganggap diri kita matang selagi kita tidak benar-benar mengkaji mengenai apa yang kita sokong.

Sesungguhnya, keadaan negara-negara pasca ‘Arab Spring’ adalah jauh lebih buruk dari sebelumnya. Jika sebelum ini rakyat Mesir menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak yang dianggap sebagai korup, zalim dan tidak memberi kebebasan bersuara tetapi hari ini, kerajaan Morsi Mohamed adalah lebih teruk di mana sesiapa sahaja yang mengkritiknya akan ditangkap.

Menjatuhkan sesebuah kerajaan melalui pemberontakan bermakna menjatuhkan atau memusnahkan negara dan diri sendiri. Ertinya, ekonomi menjadi lumpuh apabila pejabat, kedai, bank, sekolah dan segala-galanya musnah atau tidak mampu beroperasi kerana kekacauan. Ini kerana, dalam keadaan kekacauan, bukan hanya kerajaan yang ditentang yang akan terjejas, tetapi yang jauh lebih teruk terjejas adalah rakyat sendiri. Apabila sistem pentadbiran lumpuh, maka jenayah secara automatik berleluasa dan ini menambah lagi penderitaan rakyat.

Pertabalan kerajaan baru bukan bermakna keadaan pulih secara automatik. Pejabat, kedai, kilang, bank, sekolah yang musnah perlu diperbaiki tetapi ia pastinya memerlukan dana yang banyak. Tetapi dana tidak ada kerana pelabur, pelancong telah melarikan diri, manakala pasaran saham pula menjunam dan bank-bank juga kerugian.

Maka, penganggur yang memberontak kerana marahkan kerajaan sebelum ini atas alasan tidak menyediakan peluang pekerjaan untuknya, kini mendapati bahawa semakin mustahil bagi dirinya untuk mendapat pekerjaan.

Kalau dulu memberontak konon kerana kerajaan tidak mampu memberi kesenangan, kini hidup semakin tidak senang apabila harga barangan asas menjulang tinggi akibat pemberontakan.

Setahun selepas pemberontakan, peniaga-peniaga Mesir melaporkan perniagaan mereka terus merosot sehingga 40% berbanding sebelum pemberontakan. Pelancongan juga masih belum pulih iaitu merosot 75% dari sebelumnya. Lalu Mesir terpaksa membuat pinjaman asing yang berkali ganda, yang mana tidak perlu dibuat oleh kerajaan lalu.

Rakyat yang tidak mampu memahami apa yang telah mereka lakukan terhadap diri sendiri, mula menyalahkan kerajaan baru pula dan memberontak sekali lagi. Dan sehingga kini, kekacauan dan ancaman pemberontakan masih berterusan di Mesir. Hari ini, ramai rakyat mereka meluahkan kekesalan kerana telah melakukan pemberontakan.

Selain Mesir, rasamnya, kita tidak perlu berbincang mengenai Syria pasca pemberontakan kerana apa yang berlaku pada rakyatnya dapat dilihat sendiri melalui laman-laman sosial yang dikongsi oleh mereka-mereka yang prihatin.

Apa yang pasti, kesemua negara-negara ‘Arab Spring’ ini berada dalam keadaan ‘gelap-gulita’, sehinggakan bukan sahaja tiada cahaya di hujung terowong, tetapi terowong itu sendiri tidak tahu di mana letaknya.

Sekiranya, ‘Arab Spring’ perlu dijadikan contoh teladan seperti kata Anwar, maka satu-satunya yang boleh diteladani ialah agar tidak mengikut jejak langkah mereka dengan menjatuhkan kerajaan melalui pemberontakan.

Jika Anwar ingin sangat menjadi Perdana Menteri, beliau perlu melalui cara demokrasi sebenar, iaitu pilihanraya. Tidak ada seorang pun dari rakyat Malaysia yang wajar kehilangan pekerjaan, kerugian perniagaan, menderita, atau bergadai nyawa untuk memastikan Anwar mencapai cita-citanya. Kita tidak perlu menggadaikan nikmat yang sedia ada dan mereka yang terlibat dalam Arab Spring pasti memberitahu kita bahawa apa yang kita nikmati hari ini adalah tidak ternilai harganya.