Sunday, February 17, 2013

PAS Keluar Pakatan Hanya Drama


PAS sebenarnya dalam keadaan tertekan kerana parti itu kini terbukti tidak memperjuangkan Islam khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mungkin keluar dari pakatan pembangkang sekadar drama dan cakap politik sahaja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas mungkin keluar pakatan pembangkang sekiranya merugikan Islam.

Pas tidak akan mampu menyelesaikan isu tersebut yang telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan dalam masa sama ia memerlukan undi penyokong DAP pada pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup program Perkhemahan Bersama Bersatu Zon Selatan di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam, Pas seharusnya menghalang serta menegur Pengerusi DAP Karpal Singh daripada mencampuri hal ehwal islam.

Kenyataan Presiden Pas Mahu Keluar Pakatan Sekadar Pancing Undi Melayu-Islam


Kenyataan Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang bahawa PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat sekiranya didapati gabungan itu merugikan Islam dan Melayu boleh dianggap sebagai satu kenyataan bahawa PAS seolah-olah baru sedar dari tidur nyenyak yang panjang.

Pertamanya, saya melihat kenyataan itu tidak lebih daripada usaha terdesak untuk menenangkan hati ahli dan penyokong PAS yang sebahagiannya mula bangkit dan mengambil tindakan drastik meninggalkan parti yang mereka telah mereka bersama-sama untuk mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu.

Kedua, kenyataan itu juga sebagai melunakkan komponen parti dalam Pakatan yang di asak bertubi-tubi oleh ahli dan penyokong PAS dalam berbagai isu. Sehingga kini pimpinan tertinggi parti-parti tersebut tidak mampu memberikan jawapan terhadap beberapa isu besar yang timbul seperti isu Kalimah Allah.

Ketiga, kenyataan tersebut mungkin didorong oleh kumpulan parasit yang kini tersepit dan mereka memerlukan tali hayat untuk menjadi terus relevan mewakili PAS dalam PRU ke 13 yang akan datang.

Keempat, kenyataan tersebut dilihat seolah-olah untuk mengesah dan menyokong tuntutan pimpinan ulama seperti Timbalan Mursyidul Am dan Ketua Dewan Ulama yang mengambil pendirian yang tegas dan dicisive terhadap beberapa isu diakhir-akhir ini.

Kelima, kenyataan tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk melunakkan pekerja jentera pilihanraya PAS supaya memberikan khidmat yang terbaik kepada semua parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke 13 yang akan diumum pada bila-bila masa sahaja.

Dan keenam, kenyataan tersebut boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk memancing semula undi pengundi-pengundi Melayu Islam yang telah mula berpaling daripada PAS di kawasan-kawasan majoriti Melayu Islam di mana PAS dijangka meletakkan calon.

Bagi saya kenyataan Presiden PAS itu tidak mempunyai kekuatan disebabkan telah terbukti sejak PAS menyertai Pakatan Rakyat , idealisme perjuangan PAS hampir diketepikan sepenuhnya atas keinginan yang melonjak untuk ke Putrajaya.

Hampir dalam semua isu baik yang kecil dan terpencil hinggalah yang besar melibatkan aqidah dan syariah, PAS di dapati tidak mempunyai kekuatan langsung untuk mempertahankan prinsip perjuangan asal parti tersebut iaitu mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu.

Kita tidak perlu mengulang dan mendetailkan satu persatu isu-isu tersebut. Yang jelasnya pimpinan PAS perlu menununjukkan kepada ahli dan penyokong PAS isu yang mana yang melibatkan PAS dalam mana parti tersebut mampu berdiri tegak mempertahankan asas-asas perjuangan parti Islam itu. Pun begitu masih ada pimpinan PAS yang cuba meyakinkan ahli dan penyokong parti bahawa negara Islam dan hudud akan terus dilaksanakan setelah Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.

Seandainya soal kecil seperti penggunting rambut wanita di Kota Bharu, soal papan iklan dan pusat-pusat hiburan beroperasi dalam bulan Ramadhan di Kedah pun tidak dapat dipertahankan, mana mungkin PAS mampu dan dapat melaksanakan agenda Negara Islam dan hudud di Putrajaya nanti.

Saya ingin melontarkan beberapa soalan yang menyentuh berbagai isu seperti di bawah :

a. Apakah kenyataan Karpal Singh bahawa langkah mayatnya dahulu jika PAS berhajat untuk melaksanakan Negara Islam dan hudud itu menguntungkan Islam?;
b. Adakah persetujuan Pakatan Rakyat untuk membolehkan kalimah Allah diguna oleh bukan Islam khususnya penganut Kristian yang jelas tujuan tersiratnya adalah untuk menyebarkan fahaman Kristian di kalangan orang Melayu menguntungkan Islam?;
c. Adakah Buku Jingga yang tidak langsung memberi peruntukan kepada Islam dan hudud yang menjadi “kitab” rujukan utama komponen Parti Pakatan Rakyat menguntungkan Islam?;
d. Adakah amaran dan ugutan pimpinan tertinggi DAP untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai (en-block) sekiranya PAS melaksanakan hudud menguntungkan Islam?;
e. Adakah usaha membawa fahaman Pluralisme Agama dan Islam Liberal serta percubaan untuk mengiktiraf LBGT menguntungkan Islam?

Perlu juga dibangkitkan di sini mengenai pemecatan saya dan YB Ust Nasharudin Mat Isa . Saya dipecat bukan atas sebab saya terlibat dengan mana-mana kegiatan yang bertentangan dengan syariat. Saya dipecat antara lain disebabkan tindakan saya untuk mencegah arak, judi, rumah urut dan percubaan mengkristiankan orang-orang Melayu Islam di negeri Selangor. Kesemuanya dilakukan atas sifat saya sebagai Exco Hal Ehwal Islam yang memang portfolio tersebut menghendaki saya memainkan peranan itu. Adakah tindakan saya itu merugikan Islam?

Mengenai Ust Nasharudin pula adakah usaha beliau untuk menjalin ukhuwwah dan mahabbah antara pimpinan umat Islam dan juga diperingkat antarabangsa yang melibatkan para pemikir Islam dan di kalangan mereka yang tertindas seperti di Palestin itu merugikan Islam?

Sebenarnya hati kecil saya cenderung untuk menerima kenyataan Ust Hadi itu lantaran saya mengenali beliau secara dekat buat sekian lamanya. Tetapi kenyataan itu tidak mudah untuk ditelan akibat daripada tindakan PAS menangani isu-isu Islam yang ramai berpendapat PAS sudah sama sekali kehilangan daya juang dan semangat jihad.

Ada pihak yang mengatakan PAS seolah-olah seperti sudah dirasuk makhluk halus dan kelihatan terpukau dengan mainan politik Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan ramai lagi. Sebab itu dikatakan di awal tadi bahawa pimpinan PAS seolah-olah tidur lena buat sekian lamanya. Tiba-tiba tersentak bangun membuat kenyataan seperti yang dibuat oleh Presiden PAS itu.

Akhirnya, atas nama kejujuran dan keikhlasan serta atas nama semangat perjuangan Islam yang ditiupkan kepada ahli dalam usrah, tamrin, rehlah, munaqashah, ijtima’, PAS perlu melakukan sesuatu yang decisive dengan meninggalkan Pakatan Rakyat sekarang juga. Gesaaan-gesaan ke arah ini sudah terdengar sekian lamanya khususnya dikalangan pimpinan ulama di dalam PAS.

Kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Presiden PAS itu bagi sesetengah pihak dianggap sebagai anti klimaks. Klimaks sebenarnya ialah tinggalkan Pakatan. Hanya selepas itu rakyat dapat melihat jantannya pimpinan PAS. Rakyat juga dapat melihat tindakan decisive PAS itu nanti menatijahkan betapa haru birunya DAP dan PKR dalam menghadapi PRU ke 13 terutama dalam menggarap sokongan pengundi Melayu Islam.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
17 Februari 2013

Hadi Kepanasan PAS Sedia Keluar Pakatan Haram Jika Kerjasama Rugi


Nampaknya Hadi sudah tak tahan dengan desakan yang diberikan oleh rakan sekutunya DAP dan PKR....

Dalam ucapan yang mengejutkan ramai, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu akan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kerjasama antara PKR dan DAP merugikan Islam.

Penegasan tersebut dibuat di hadapan hampir 10,000 hadirin yang hadir dalam Program Pas Ganti Umno ketujuh (PGU 7.0) di Kampung Banggol Peradong, Kuala Nerus, petang semalam.

“PAS beri jaminan kerjasama PAS dengan DAP dan PKR selagi dapat pertahankan Islam, tetapi sekiranya kerjasama tersebut merugikan Islam, PAS akan keluar dari pakatan rakyat! Tidak ragu-ragu lagi,” katanya dalam ucapan hampir sejam itu.

Kampung Banggol Peradong adalah lokasi dimana beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang kemudiannya di kenali sebagai 'Amanat Haji Hadi' pada tahun 1981.

Bagaimanapun Hadi tidak pulak mengulas mengenai isu Kalimah Allah yang disifatkan berbagai pihak merugikan umat Islam di negara ini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, beliau menjelaskan, sehingga kini perkara terbabit tidak berbangkit dan beliau yakin kerjasama dalam PR tidak memberi apa-apa kesan kepada kaum Melayu dan agama Islam.

Mengulas lanjut katanya, kerjasama politik atau diistilahkan Pas sebagai tahalluf siyasi yang dibuat dengan PKR dan DAP masih lagi memperkasa Melayu dan Islam.

PRU 13: Rafidah Aziz Tidak Pertahan Kerusi Kuala Kangsar


Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) akan datang.

Rafidah berkata beliau mahu memberi laluan kepada calon lebih muda untuk mempertahankan kerusi itu yang disandangnya di atas tiket Barisan Nasional (BN) selama tujuh penggal berturut-turut.

Rafidah yang sudah menjangkau usia 70 tahun berkata faktor usia mempengaruhi keputusannya namun menegaskan beliau tetap akan membantu jentera Umno dan BN pada pilihan raya umum nanti.

"Cukuplah sampai di sini untuk aktif pegang jawatan. Tapi (untuk berhenti berjuang) dalam politik, (tak boleh sebab) dah jadi darah daging...Macam mana nak dikikis...Insya-Allah perjuangan politik akan ada pada saya dan dalam bidang yang saya terlibat, boleh bantu, tiada masalah tanpa pegang jawatan,” kata Rafidah.

"Kalau tiada jawatan, kita buat setakat kita sajalah...Kalau orang jemput kita ceramah, atau aktiviti apa-apa, kalau jemput saya, kita sama-sama buat.

"Jadi saya sokong untuk memperkuatkan, Insya-Allah...sokongan saya mungkin kecil, tapi kecil-kecil bila ramai, (jadi) besar," ujar beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Rafidah memperoleh 10,735 undi, menewaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Dr Khairuddin Abu Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Rafidah yang kini menjadi Pengerusi AirAsia X dan adalah antara tokoh yang paling lama berkhidmat dalam kabinet Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Mengintai PM Dilubuk Dong Zong...


Berbagai spekulasi timbul sejak muncul khabar Datuk Seri Najib Tun Razak terima undangan untuk hadir pada majlis Tahun baru Cina anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di pusatnya di Kajang pagi Ahad.

Ini termasuk kebimbangan mungkin ada cubaan untuk memalukan Perdana Menteri di situ.

Semua orang tahu sejarah Dong Zong yang anti-kerajaan dan mengemukakan pelbagai tuntutan untuk pendidikan Cina.

Jangan lupa Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong pernah dihalau semasa satu demo anjuran Dong Zong tidak lama dulu.

Namun Najib steady saja semasa beliau berada selama 40 minit di majlis itu.

Beliau tiba sekitar 9.45 pagi.

Untuk rekod beliau memecah tradisi sebagai Perdana Menteri pertama dalam tempoh 58 tahun menghadiri program anjuran Dong Zong.

Mengikut laporan media pembangkang dalam surat undangannya Dong Zong antara lain senaraikan tiga tuntutan yakni pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC), pembinaan lebih banyak sekolah Cina dan kaji semula cadangan Dasar Pendidikan Nasional.

Najib beramah mesra dengan pimpinan Dong Zong dan para tetamu lebih 2,000 orang semasa kehadirannya di situ.


Sementara itu, dalam teks ucapan Pengerusi Dong Zong Dr Yap Sin Tian, yang tidak dibacakan sebaliknya diedarkan kepada pihak media oleh kakitangan yang bertugas, beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Najib yang menyifatkan kehadiran PM ke majlis Dong Zong sebagai 'ice-breaking journey".

"Kami amat menghargai keikhlasan Perdana Menteri dan (kunjungan ini) merupakan satu peristiwa yang bermakna dan istimewa. Ia mencerminkan interaksi antara PM dan pertubuhan pendidikan aliran bahasa Cina,"ujar beliau.

Hadir sama waktu itu ialah Presidan MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon.

Namun Perdana Menteri tidak menyampaikan sebarang ucapan di majlis itu.


Beliau hanya menyertai acara menulis kaligrafi Cina yang membawa makna 'Selamat Tahun Baru' bersama-sama Presiden MCA, Gerakan dan Pengerusi Dong Zong. Selain mengaul makanan tradisi Cina loashang di pentas utama.

Najib kemudiannya duduk di meja yang disediakan dan menikmati persembahan hiburan selama 20 minit sebelum meninggalkan majlis untuk menghadiri satu lagi majlis sambutan Tahun Baru Cina di Bukit Bintang Kuala Lumpur.

Difahamkan ada kalangan aktivis Dong Zong yang berharap beliau berucap dan mengumumkan sesuatu yang besar semasa majlis itu.

Tiada insiden tidak diingini sepanjang beliau berada di majlis itu.

Kira-kira 20 minit selepas Najib meninggalkan majlis, orang kuat DAP Lim Kit Siang tiba

Tidak lama selepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai bersama rombongannya termasuk Naib Presiden PAS Mahfuz Omar.

- Helmi Hanafi

PRU 13 : Majlis Syura Mahu PR Ubah Perlembagaan


Majlis Syura Ulama PAS mahu Perlembagaan Malaysia diubah supaya berpaksi kepada Islam sepenuhnya jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, kata setiausaha badan tertinggi parti itu, Datuk Nik Mohd Zawawi Salleh.

“Jadi sekarang ini, kita nak balik (kepada agama) supaya negara kita beramal dengan Islam secara keseluruhan, dan amalan Islam ini sama sekali tidak bercanggah dengan orang bukan Islam," kata beliau kepada Antarapos.

"(Perlembagaan) .. sebut Islam sebagai agama rasmi, bukan Islam (sebagai) perlembagaan negara. Dia ada beza. Kalau diletakkan Islam dalam perlembagaan negara, maka Islam akan diamalkan secara total.

"Tapi kalau sekadar Islam sebagai agama rasmi, kita lihat sebagaimana hari ini... sembahyang, puasa pun tak ada undang-undang," dakwa beliau.

"Jadi ini (perlembagaan dan undang-undang) adalah satu perkara yang perlu kena buat perubahan,” kata beliau.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menafikan parti itu berhasrat untuk meminda perlembagaan, tetapi hanya mahu memperkasakan Islam di negara ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru daripada Nik Mohd membayangkan perselisihan yang semakin ketara di antara Majlis Syura dan Hadi susulan isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Nik Mohd mendakwa banyak daripada gejala sosial dan kemungkaran di negara ini berpunca daripada Perlembagaan Persekutuan yang tidak memberikan keutamaan kepada Islam.

"Apa yang berlaku dalam negara kita ini, (ialah) sekadar sembahyang itu pun tak ada undang-undang, ada masjid (tapi) semua itu kulit sahaja,” kata beliau.

"Macam mana dengan undang-undang negara? Macam mana dengan undang-undang rasuah? Undang-undang penyalahgunaan macam-macam, tidak ada di mahkamah syariah,” ujar beliau.

Nik Mohd yang juga Ketua Penerangan Ulama PAS Terengganu, mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menjurus kepada pelaksanaan Islam itu sendiri di dalam perlembagaan negara.

"Tidak ada undang-undang Islam yang menyentuh dasar ekonomi Islam, yang menyentuh dasar pendidikan Islam, keselamatan dalam negara, hubungan diplomatik, cara perdagangan banyak lagi dalam Islam yang ada," kata beliau.

Menurut beliau, dengan meletakkan Islam sebagai asas Perlembagaan Negara, Pakatan Rakyat akan dilihat sebagai berusaha mencapai keselarian dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP sebelum ini menolak sebarang perubahan kepada kepada Perlembagaan susulan desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kedua-dua parti itu juga dilihat enggan mendokong pendirian Majlis Syura yang melarang penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan God dalam Bible Bahasa Melayu.

Sebaliknya dua parti itu mendokong pendirian umum Hadi bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah itu asalkan tidak menghina Islam.

Setakat ini Hadi belum membawa ketetapan Majlis Syura itu untuk dipertimbangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat.