Friday, February 24, 2012

1 Mahfuz Boikot Mesyuarat Azizan!


Pas Kedah bergolak lagi...

Kepimpinan Kerajaan Pas Kedah sekali lagi berhadapan dengan krisis apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 28 Februari ini.

Empat Exco yang dikaitkan ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Dr. Ismail Salleh, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan seorang lagi Exco yang tidak didedahkan identitinya.

Krisis terbaru itu dijangka meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam dilema memandangkan tindakan berkenaan dikaitkan dengan usaha memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

Sejak September tahun lalu, Azizan menghadapi pelbagai tekanan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas alasan beliau tidak mempunyai keupayaan mentadbir Kedah dan menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, satu sumber mendedahkan sekurang-kurangnya empat anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang daripadanya dilaporkan sudah sah menghantar surat peletakan jawatan kepada Azizan.

Sumber itu mendakwa, kesemua mereka bertindak demikian sebagai bantahan kepada gaya pentadbiran Azizan yang dikatakan tidak efisien.

Krisis terbaru politik Kedah itu bermula apabila tersebar khabar angin terdapat tiga Exco negeri berkenaan telah menghantar surat kepada Azizan menyatakan mereka tidak mahu dilantik semula ke jawatan tersebut dan salinannya dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sumber memberitahu, langkah yang dibuat oleh mereka bertujuan memberi tekanan kepada Azizan supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Azizan tidak dilantik semula ke jawatan tersebut jika pakatan pembangkang terus memerintah Kedah.

Sementara itu, Exco yang terlibat ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mengesahkan atau menafikan sama ada mereka akan menghadiri majlis pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.

Dua daripada empat Exco yang dikatakan terlibat seolah-olah berdolak-dalik dalam memberikan pengesahan.

Phahrolrazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan tetapi jika perlu, satu sidang akhbar berhubung perkara tersebut akan diadakannya dalam tempoh terdekat.

"Bagi buah masak cukup dahulu, baru boleh buat kenyataan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.

Sementara itu, Dr. Ismail juga enggan membuat sebarang kenyataan dengan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah menghantar surat tidak mahu dilantik semula sebagai Exco, Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri itu berkata: "Tanya MB (Menteri Besar), beliau tahulah kot. Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak mahu kata apa-apa lagi."

Dr. Hamdan yang memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan negeri pula gagal dihubungi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Azizan selaku Menteri Besar berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana Exco kerana ia proses biasa dalam pentadbiran.

"Hak negeri untuk pilih siapa yang layak. Lantik orang baru atau gugur juga perkara biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena malam tadi.

Justeru, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak sewajarnya mempercayai khabar angin kerana ia bukan sumber rasmi.

Kerajaan Negeri Kedah melakukan rombakan barisan Exconya setahun sekali.

1 comments:

Anonymous said...

Hadi cakap tu salah, kuasa melantik atau menggugur bukan pada tangan Azizan, kuasa itu mutlah milik Al Alamah Sahibus Samaah As Sheikh Dato Seri Sivaji Anu War Berahi Al Juburi !!!

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates