Monday, March 26, 2012

0 Ketua DHPP Pulau Pinang Isytihar Keluar Pakatan Pembangkang


Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Negeri (DHPP), Dr Ooi @ Vellautham hari ini mengisytiharkan dirinya keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan tidak mahu lagi dikaitkan dengan parti pembangkang itu.

Dr Ooi yang juga Ketua Penerangan DHPP Pusat berkata tindakan itu diambil ekoran kenyataan Pas Pusat dalam laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa DHPP Pulau Pinang tidak aktif.

“Lebih 20 tahun saya bersama Pas dan bertungkus-lumus bekerja untuk parti, tetapi usaha saya selama ini tidak dihargai. Jika benarlah DHPP negeri ini tidak aktif, maka sebagai ketua lebih baik saya mengambil sikap bertanggungjawab (letak jawatan),” katanya lapor Bernama di sini, Ahad.

Beliau juga kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang yang mengatakan dirinya mengemis jawatan, susulan tindakannya yang pernah menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Bayan Lepas.

“Saya bersedia berkhidmat untuk rakyat secara percuma. Segala pendapatan yang saya peroleh jika saya menjadi wakil rakyat akan saya salurkan kepada rakyat…saya cabar pakatan pembangkang yang mendakwa mereka kerajaan berkebajikan membuat tawaran sama seperti saya,” katanya.

Katanya keputusan beliau untuk keluar parti turut mendapat sokongan jawatankuasa tertinggi DHPP dan tidak kurang 50 anggota dalam sayap penyokong Pas itu akan mengikut jejak langkahnya dalam tempoh terdekat.

Beliau juga bersedia mempertimbangkan tawaran pihak luar yang bersedia membantunya bertanding sebagai calon bebas di Bayan Lepas.

“Saya bersedia menerima tawaran daripada mana-mana sahaja parti luar yang mahu menyokong saya kecuali Pakatan Rakyat,” katanya.

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates