Monday, May 21, 2012

Kehadiran Pemimpin Umno Di Rumah Timbalan Presiden PAS Nasharudin, Bukan Kerana Muzakarah…


Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis perkahwinan anak sulong bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa di Club House, Bandar Bukit Mahkota, Bangi petang Ahad mencuri perhatian ramai.

Beliau tiba jam 3.30 petang dan beredar setengah jam kemudian.

Apapun kehadiran Muhyiddin pada majlis perkahwinan antara Nusaibah Nasharudin dengan pasangannya Mohd Nazri Hussain.itu tidak ada kena mengena dengan kehangatan isu cadangan muzakarah PAS-UMNO kebelakangan ini.

Seorang pegawai Timbalan Perdana Menteri memberitahu keputusan untuk hadir sudah lama dibuat selepas menerima undangan berkenaan.

Muhyiddin ditemani Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang turut beramah mesra dengan hadirin yang teruja melihat kedatangan beliau.

Menarik untuk dicatatkan, lagu-lagu popular nyanyian penyanyi Indonesia Broery Marantika seperti "Biar bulan bicara" dipasang oleh pengacara majlis sepanjang Muhyiddin dan tetamu-tetamu VIP lain berada di situ.

 

Selain Muhyiddin dan Abu Zahar Ujang, turut kelihatan adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz , Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, bekas Naib Conselor UiTM Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Pengarah Urusan Syabas Tan Sri Rozali Ismail, Presiden JATI Datuk Dr Hasan Ali.

Namun ketika itu tidak terdapat pemimpin utama PAS dalam dewan yang dikhaskan untuk tetamu VIP sepanjang Muhyiddin berada di situ.


Agendadaily difahamkan beberapa orang di antara mereka sudah datang awal, dan yang paling hampir hendak bertembung dengan Muhyiddin pun hanyalah Exco PAS Selangor Iskandar Abdul Samad.

Beliau bersama keluarga beredar beberapa minit sebelum Muhyiddin sampai.

Ramai pemberita tertanya-tanya samada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir, ada yang kata Hadi Awang hadir awal sebab namanya berada dalam buku kedatangan yang disediakan.

Bagaimanapun, kemudian dimaklumkan Hadi Awang Presiden PAS tidak datang sebaliknya , Hadi Awang yang datang itu adalah Hadi Awang Kehcik, Ketua Pengarah PLKN.

Sementara itu Nasharudin yang ditemui wartawan kemudian berkata UMNO dan PAS sebagai dua parti politik utama orangMelayu/Islam di Malaysia perlu segera duduk semeja berundingan isu-isu yang membabitkan kepentingan ummah.

Beliau yang dikenali dengan imej pro perpaduan itu berkata,muzakarah antara dua parti tersebut perlu disegerakan tanpa perlu ditangguh-tangguhkan lagi.

"Muzakarah ini sudah beberapa kali tertangguh, kini diperkatakan semua selepas Tok Guru Nik Aziz cakap, seperti semua tahu, saya menyokong usaha ke arah itu, dan berharap dilakukan segera,"kata Ahli Majlis Syura PAS Pusat..

Ahli Parlimen PAS kawasan Bachok, Kelantan itu mengakui syarat-syarat yang diberikan oleh Murysidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat termasuk UMNO perlu menukar dasar perjuangan parti sebagai BERAT dan sukar diterima.

Kata Nasharudin, pemimpin kedua-dua utama parti perlu berlapang dada bagi mencari jalan duduk semeja.

"Demi masa depan negara perlu politiking antara duaparti Melayu/Islam terbesar ini dikurangkan,"katanya.

Nasharuddin pernah dihentam teruk oleh Nik Aziz satu ketika dulu kerana didakwa membawa idea kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS.

Isu berkenaan dikatakan antara sebab beliau tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS kepada Mat Sabtu semasa Muktamar PAS yang lalu. - Helmi Hanafi

1 comment:

Anonymous said...

seronoknya tgk orang melayu/islam bersatu..semuga Allah pelihara umat melayu islam diMalaysia