Thursday, December 20, 2012

0 Bekas Ketua Keselamatan PAS, Kesal Pernah Kafirkan UMNO


Jertih: “Saya kesal dan rasa bersalah yang teramat sangat kepada masyarakat Islam, khususnya ahli UMNO di negeri ini kerana pernah menuduh mereka kafir,” kata bekas Ketua Keselamatan PAS Besut, Raja Omar Raja Ayob (gambar), 53.

Beliau yang berasal dari Kampung Air Terjun di sini dan pernah menjadi penceramah PAS satu ketika dulu, mengakui terpaksa mengkafirkan UMNO kerana menerima arahan supaya mematuhi amanat Datuk Seri Hadi Awang.
Katanya, pada era 1980-an ketika amanat itu dikeluarkan PAS, beliau menjelajah seluruh Terengganu menyampaikan ceramah kepada orang ramai mengikut apa yang terkandung dalam amanat berkenaan.

Raja Omar berkata, ketika itu beliau begitu yakin dan percaya dengan amanat berkenaan serta sanggup mengkafirkan orang UMNO disebabkan taksub dan patuh dengan arahan Hadi yang ketika itu pesuruhjaya PAS negeri.

Bagaimanapun, Raja Omar yang kini menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Besut berkata, beliau menyesali perbuatannya selepas sedar kesilapan dan menyertai UMNO pada 2004 ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris melancarkan gerakan ‘Selamat Tinggal PAS.’

Amalan bertentangan

“Saya benar-benar rasa bersalah dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam, terutama ahli dan penyokong UMNO. Banyak amalan bertentangan dengan Islam dijadikan modal pemimpin PAS menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.
“Kerana percaya dengan amanat itu, masyarakat Islam negeri ini terutama penyokong tegar PAS sanggup mengadakan solat Jumaat berasingan, tidak makan sembelihan orang UMNO dan menyediakan tanah perkuburan berasingan dengan orang UMNO.

“Malah, ada yang terpaksa bernikah dua kali kerana mendakwa tidak percaya dengan imam daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dituduh kafir. Ini amat menyedihkan dan merugikan umat Islam kerana amanat Hadi menyebabkan perpecahan dan kepercayaan songsang,” katanya.

Raja Omar berkata, di daerah Besut sehingga kini masih wujud lapan tempat yang sebahagian besarnya markas PAS dijadikan pusat solat Jumaat berasingan, walaupun masjid yang dibina kerajaan terletak berhampiran.

Gesa Hadi mohon maaf

Katanya, sudah tiba masanya Hadi tampil memohon maaf kepada seluruh umat Islam terutama penyokong UMNO disebabkan kesilapan yang dilakukannya.

“Apa yang diucapkan pemimpin PAS itu sekarang berbalik kepada mereka sendiri. Dulu mereka kata UMNO kafir kerana bekerjasama dengan bukan Islam, sekarang mereka juga jadi kafir kerana menjadikan DAP sebagai rakan kongsi,” katanya.

Raja Omar berkata, pada setiap ceramah anjuran UMNO ketika ini, beliau terpaksa memperbetulkan amanat itu dan meminta maaf kerana pernah mengkafirkan orang UMNO. -BH

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates