Friday, May 17, 2013

1 Khalid Bantah Azmin Jadi Exco, Pengumuman Batal


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan menolak desakan ahli-ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya timbalan presiden parti Azmin Ali dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri Selangor, menurut sumber-sumber parti itu.

Kemelut itu memaksa Khalid membatalkan pengumuman senarai exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung hari ini.

ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar memberitahu Antarapos bahawa Khalid hanya dijangka mengumumkan exco kerajaan negeri minggu depan.

Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengesahkan Khalid hanya akan membuat pengumuman minggu depan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Menurut sumber-sumber parti, pada satu mesyuarat malam tadi, ramai di kalangan ahli MPP mahu Azmin di lantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri, sesuai dengan bakti dan kedudukkannya dalam parti.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah oleh Khalid “yang mahu mengekalkan wakil-wakil PKR yang sedia ada kerana merasakan mereka berjaya menjalankan kerja dengan baik,” kata sumber itu.

Selain menjadi Timbalan Presiden PKR, Azmin adalah juga pengarah pilihan raya parti itu dan telah memimpin PKR Selangor sejak tiga tahun lalu.

“Ahli-ahli MPP bersetuju bahawa Azmin telah memainkan sumbangan amat besar memastikan PKR memenangi 30 kerusi Parlimen selain mengekalkan Selangor dengan majoriti dua pertiga,’ kata sumber itu.

“Beliau juga berundur secara baik untuk memberi laluan kepada Khalid menjadi MB demi menjaga perpaduan dan kestabilan parti. Justeru ahli MPP berpendapat Azmin patut di lantik menjadi Exco kanan,” kata sumber itu.

Ditanya mengenai pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat itu, sumber itu berkata Ketua Umum PKR itu mengambil sikap tidak mahu terheret dalam perbahasan itu.

“Beliau menyerahkan kepada presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail) untuk membuat keputusan. Presiden pula tidak dapat mengambil keputusan yang jelas dan perkara itu tergantung macam itu sahaja,” tambah sumber itu.

Menurut beliau, Azizah bagaimanapun “membayangkan” beliau turut bersependapat dengan Khalid untuk meminggirkan Azmin daripada Exco kerajaan negeri.

Sumber itu berkata penolakkan Azmin oleh Khalid dan Wan Azizah untuk jawatan itu mengejutkan ahli MPP yang yakin parti itu akan memberikan pengiktirafan sesuai kepada Azmin.

Lebih mengejutkan adalah apabila mesyuarat itu dimaklumkan bahawa Khalid akan mengekalkan semua pegawai kanan di pejabatnya termasuk Setiausaha Politik Faekah Husin dan Setiausaha akhbarnya Arfa'eza Aziz.

Adalah difahamkan MPP parti sebelum ini menegaskan dua pegawai itu di pindahkan berikutan rungutan Khalid terlalu bergantung kepada mereka untuk membuat keputusan yang membabitkan kepentingan PKR.

Azmin sendiri sebelum ini, menekankan bahawa Menteri Besar Selangor tidak boleh merelakan dirinya dicucuk hidung oleh mana-mana pihak dalam menggalas tanggungjawabnya.

Selain Xavier, tiga Exco kerajaan negeri daripada PKR adalah Elizabeth Wong, Yaakob Sapari dan Rodziah Ismail.

Pada pilihan raya umum lalu, PKR memenangi 14 kerusi DUN berbanding 15 masing-masing oleh PAS dan DAP.

1 comments:

mat tarbus said...

azmin.. kalau tak setuju.. jom buat perhimpunan.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates