Friday, May 17, 2013

Nasharudin Ulang Umno-Pas Perlu Bersatu


Bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa hari ini mengulangi kenyataannya supaya parti-parti mewakili orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu untuk kebaikan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al Quds Malaysia berkata untuk mencapai tujuan itu pemimpin dan anggota Umno dan Pas perlu berani mengenepikan kepentingan masing-masing.

"Kegagalan penyatuan di antara Umno dan Pas berlaku kerana masing-masing tidak mahu meninggalkan kepentingan peribadi dan kuasa yang diperoleh," katanya ketika menjawab soalan daripada peserta Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di sini.

Beliau berkata pemimpin parti politik lebih tertumpu dan berlumba untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya dan pemerintahan negara daripada melihat kesan ke atas perpaduan ummah.

Sebelum itu, Nasharudin dalam ceramahnya bertema 'In Search of Human Security - Islamic Diplomacy and the Way Forward' berkata Nabi Muhammad S.A.W. mampu menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai puak di bawah kepimpinan dan sikap diplomasi beliau yang indah.

"Mereka (terdiri daripada pelbagai kabilah) diikat dalam satu perjanjian yang menjadi Perlembagaan Islam bertulis yang pertama.

"Ini benar-benar menunjukkan bahawa masyarakat yang disatupadukan oleh baginda pada masa itu yang terdiri daripada pelbagai kaum, kesemuanya bersetuju untuk berada di bawah pemerintahan baginda berdasarkan kepada undang-undang syariah Islam," katanya.

Forum sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) dan Cordoba Foundation, United Kingdom, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), dan Institut Diplomatik Qatar.

Forum itu bertujuan bagi memberi pemahaman yang lebih baik di kalangan masyarakat global berhubung perspektif Islam mengenai keamanan dan kesederhanaan bagi menyelesaikan konflik.

Ia juga menekankan pendekatan diplomatik termasuk melalui cara rundingan kekal sebagai cara penting bagi mendapatkan penyelesaian aman selain membina perdamaian dan keamanan. - Bernama

2 comments:

Unknown said...

orang yang suka kepada penyatuan seluruh umat Islam sejagat.. akan berulang2 minta bersatu... inilah orangnya. orang bongkak je yang akan nak meludah....

Anonymous said...

Offfer pada yang telah sedar akan kepentingan perpaduan sahaja, jadi kepada yang tak berminat atau hati mereka telah mati maka tinggalkan sahaja dengan angan-angan dan sifat bodoh mereka ini. Jangan di tunggu tunggu...tiada masa untuk melayan orang sakit mental seperti Mat Sabu, Pok Nik dan lain pencacai yang tegar..