Saturday, May 4, 2013

#PRU13 Timbalan Ketua Wanita PKR Batu Keluar Parti


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Batu menerima tamparan hebat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini apabila Timbalan Ketua Wanitanya, G. Sara Lili bersama 120 ahli parti itu bertindak keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu diumumkan beliau pada majlis bersama rakyat di Dewan Komuniti Bandar Baru Sentul di sini malam tadi, yang turut dihadiri calon BN Parlimen itu, Prof. Madya Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Serentak dengan itu beliau menyerahkan borang keahlian parti Gerakan kepada Dominic sambil mendapat tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penduduk yang hadir.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Sara berkata, mereka kecewa dengan sikap Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dan Naib Presidennya, Tian Chua yang tidak pernah turun padang menyelesaikan masalah penduduk setempat.

"Tindakan keluar PKR diambil sebulat suara oleh saya ahli-ahli PKR Parlimen Batu sebagai bantahan secara terbuka kepada Tian Chua. Kami berjanji akan memberi sokongan padu kepada calon BN yang sentiasa menjaga nasib orang India di kawasan Parlimen Batu

"Kami menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada kerajaan BN," katanya.

Sara berkata, Tian Chua yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu itu tidak pernah turun padang untuk berkhidmat atau berjumpa para pengundi India di kawasan itu.

Katanya, janji-janji untuk menyelesaikan isu kebajikan masyarakat India sejak pilihan raya umum 2008 tidak pernah ditunaikan sehingga hari ini. - UTUSAN ONLINE

1 comment:

Anonymous said...

Habiiiiis....ahli PKR...! Tinggal anak beranak and geng sahaja lagi. Jom UNDI BN.