Monday, June 3, 2013

Annuar Musa Sokong Tindakan Khairy Jamaluddin


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa nyata menyokong tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang membuat kenyataan berbaur kritikan terhadap Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) baru-baru ini.

Menurut Annuar, sebagai bekas Timbalan Presiden FAM dan kini menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy mempunyai kewibawaan untuk memberi pandangan mengenai isu bola sepak Malaysia.

“Saya percaya komen beliau berasaskan maklum balas yang diterima daripada semua pihak, dan saya juga yakin komen yang dibuat oleh Khairy adalah pandangan secara ikhlas tanpa ditujukan kepada mana-mana individu secara spesifik.

“Ini kerana, sebagai menteri beliau akan terus diminta memberi komen mengenai isu berprofil tinggi berkaitan portfolio yang diamanahkan kepada beliau,” kata Annuar menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika mengulas reaksi Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang terkilan dengan teguran Khairy.

Jelas baginda, keputusan mengadakan semula aksi separuh akhir kedua Piala FA, Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil dibuat mengikut peraturan.

Tambah Annuar, “kita tidak semestinya betul semua dan teguran tidak semestinya salah, kita ingin melihat menteri yang berani dan tegas dan Khairy sudah pasti siap siaga untuk itu.

“Namun saya juga yakin FAM telah bertindak ikut peraturan, cuma sekarang yang mungkin boleh dipertikaikan ialah ‘kebijaksanaan dan kewajaran’ sesuatu keputusan itu dibuat seperti mana di suarakan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) sebelum ini,” jelas Annuar.

Sebelum ini, Khairy membidas FAM dan PBNP dengan menyifatkan kedua-dua persatuan itu tidak profesional.

FAM dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukkan 60,000 tiket kepada PBNP dan 20,000 tiket PBNJ untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang diadakan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas dibatalkan di Stadium Darul makmur, Kuantan gara-gara kekecohan penonton.

-Sinar Harian

No comments: