Friday, July 5, 2013

KBS Lancar Program Gaya Hidup Sihat


Khairy bersama Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh (kiri) ketika melawat peserta Gimnasium Membuatkan Saya Cergas dan Sihat di Putrajaya, semalam. - Foto Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam melancarkan program 'Gimnasium Membuatkan Saya Cergas dan Sihat' bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai gaya hidup sihat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata program itu bagi menggalakkan orang ramai terutama kakitangan KBS, mengenai kepentingan menjaga tahap kecergasan dan mengamalkan gaya hidup sihat pada setiap masa.

Katanya, 200 kakitangan kementerian masing-masing 20 peserta setiap negeri kecuali Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan, berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek perintis yang akan diadakan di Gimnasium 1Malaysia di KBS dan di negeri terpilih selama empat bulan bermula Julai ini.

Wajib jalani UKJK

Beliau berkata, semua peserta diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) terlebih dulu bagi menentukan tahap fizikal masing-masing, sekali gus mengelak sebarang masalah.

“Peserta yang terpilih diwajibkan menjalani latihan berpusat antara tiga hingga empat kali seminggu bagi meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri selain menurunkan berat badan dalam tempoh ditetapkan penganjur.

“Tidak seperti program realiti Biggest Loser yang menumpukan kepada penurunan berat badan semata-mata, program anjuran KBS dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) ini lebih mementingkan kepada kecergasan dan amalan gaya hidup sihat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu, di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata jika program berkenaan membuahkan hasil KBS berharap ia akan menjadi rujukan kepada kakitangan kementerian lain dan orang ramai di seluruh negara.

Katanya, program itu meliputi teori dan praktikal yang modulnya merangkumi ceramah asas kecergasan secara menyeluruh, asas senaman, amalan pemakanan sihat serta merangka program latihan selain latihan fizikal tiga hingga empat kali seminggu yang dipantau pakar.

“Disebabkan teras utama di KBS adalah pembangunan sukan dan orang muda, kita harus dilihat dan menjadi contoh terbaik selari prinsip kepemimpinan melalui teladan serta mesti berada di hadapan dalam isu kecergasan serta penjagaan kesihatan,” katanya.-BH

No comments: