Saturday, May 11, 2013

Azmin U-TURN Sokong Khalid Jadi MB


Ini satu kejutan...semalam Jumaat bunyinya macam guruh seolah tiada maaf bagimu...tiba-tiba petang Sabtu ,Azmin Ali sudah U-Turn.Timbalan Presiden PKR itu kata beliau sokong Tan Sri Khalid Ibrahim terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam tweet terbarunya sekitar jam 4 petang Azmin tulis : 'Kita harus menyokong Khalid untuk kekal. Fokus saya kini adalah menjadi Ahli Parlimen yang efektif.'

Setakat ini tidak dapat dipastikan apa yang membuat Ketua PKR Selangor itu tiba-tiba hulur salam persahabatan balik kepada Khalid.Dalam sidang akhbarnya di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya Jumaat Azmin secara terbuka kritik cara pentabiran Khalid sebagai Menteri Besar.

Sumber-sumber PKR menilai langkah mengejut ini mungkin kerana Azmin dapati beliau tidak dapat sokongan langsung untuk bangkang Khalid dilantik sebagai Menteri Besar.

DAP dan PAS solid di belakang Khalid.Begitu juga kebanyakan pemimpin utama PKR.

Dalam pada itu reaksi dan komen dalam blog,facebook dan twitter pro pakatan jelas tidak begitu menyebelahinya.

Kebanyakan komen-komen belasah Azmin sakan dan menuduhnya sebagai pengacau dan menjatuhkan imej pakatan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng beritahu wartawan pagi Sabtu beliau berharap isu jawatan Menteri Besar Selangor dapat diselesaikan segera.

Beliau bimbang kemelut itu boleh hakis kepercayaan kepada pakatan.

-Agendadaily

Keadaan Terkini Ustaz Azizan Razak Selepas Pembedahan


Beginilah keadaan Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas membuat pembedahan di Hospital Pulau Pinang.

Keadaan Azizan pada masa ini adalah stabil, jantung dan tekanan darahnya berfungsi dengan baik.

Ustaz Azizan telah sedarkan diri tetapi diletakkan dalam keadaan koma bagi memastikannya tenang.

Sesungguhnya takdir dari allah adalah ketentuan yang ada hikmahnya.... Marilah kita berdoa agar Ustaz Azizan cepat sembuh...

Raja Nong Chik Mahu Saman Nurul Izzah


Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bercadang untuk menyaman Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar kerana menyebar fitnah dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Kita dalam kajian untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang dilemparkan kepada saya dan keluarga sepanjang kempen PRU-13 berlangsung.

"Saya kalah kerana pembunuhan karektor terhadap saya dan keluarga yang disebarkan termasuk melalui media sosial," kata beliau.

Raja Nong Chik berkata, tindakan undang-undang terhadap Nurul Izzah yang memenangi kerusi P.121 pada PRU-13 itu bagi mempertahankan maruah beliau dan keluarganya.

"Sepanjang kempen saya tidak menyentuh satu ayat pun mengenai peribadi Nurul Izzah dan ayahnya (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Inilah cara berkempen yang kurang sihat menyebabkan rakyat melakukan pemilihan berdasarkan andaian yang tidak benar," kata Raja Nong Chik.

Dakwa Raja Nong Chik, antara fitnah yang disebarkan Nurul Izzah termasuk kononnya beliau terlibat dengan pemilikan tanah di Bukit Kiara.

"Tiap-tiap kali berkempen, Nurul Izzah dan bapanya turut menimbulkan isu anak saya mendapat projek, sedangkan ia berlaku sebelum saya menjadi menteri. Ini pembunuhan karektor terhadap saya," jelasnya.

Raja Nong Chik berkata, beliau banyak menerima undi daripada penduduk yang tinggal di Lembah Pantai yang mengetahui rekod kerjanya.

"Lebih kurang 31,000 pengundi luar yang balik mengundi memilih pembangkang kerana mereka terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya dan keluarga," kata Raja Nong Chik.

Dalam sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat BN Lembah Pantai di sini hari ini, beliau juga menegaskan tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam kerajaan.

Walaupun kalah dalam PRU-13 lalu Raja Nong Chik berkata, beliau akan meneruskan khidmat kepada masyarakat melalui UMNO dan BN.