Thursday, April 9, 2009

Enam senator baru angkat sumpah petang ini.





Menjelang pengumuman senarai kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini, enam orang - yang dipercayai turut disenaraikan - akan mengangkat sumpah sebagai senator petang ini.

Mereka ialah Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Pemuda Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, bekas timbalan menteri kewangan, Datuk Awang Adek Husin, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dewan Negara telah mengeluarkan notis mengenai upacara mengangkat sumpah senator baru itu petang ini.

Selepas gagal mempertahankan Parlimen Lembah Pantai dalam pilihanraya umum lalu, Shahrizat telah dilantik sebagai penasihat kepada perdana menteri dalam hal ehwal wanita.

Dalam pemilihan baru ini, beliau menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyandang jawatan ketua Wanita Umno.

Awang Adek adalah bekas penolong gabenor Bank Negara. Beliau mula bergiat serius dalam politik apabila dipilih sebagai timbalan Ketua Umno bahagian Bachok pada 2001.

Beliau turut diamanahkan memegang jawatan bendahari Umno Kelantan pada 2003 dan turut dilantik sebagai ketua penaja Umno Bachok.

Awang Adek memenangi kerusi Parlimen Bachok dalam pilihanraya umum 2004 dan dilantik sebagai timbalan menteri kewangan. Bagaimanapun, beliau tewas dalam pilihanraya umum 2008.

Manakala Chew merupakan timbalan menteri di kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, yang pernah diterajui oleh Shahrizat.

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pula merupakan seorang ahli perniagaan dan pemimpin Umno dari Wilayah Persekutuan.

Manakala Jamil Khir pula merupakan pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu difahamkan, dalam satu perkembangan yang berkaitan, peruntukan kuota empat menteri untuk MCA dikekalkan, walaupun sebelum ini, timbul kebimbangan yang jumlahnya akan dikurangkan.

No comments: