Wednesday, December 23, 2009

Kembalikan Asas Perjuangan




MELIHAT kepada situasi politik ketika ini, tidak kiralah apa sahaja bentuk spekulasi, manipulasi dan provokasi yang dibuat ke atas parti, perlu diingat bahawa landasan yang paling kukuh adalah kembali kepada asas dan perjuangan UMNO iaitu sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Dengan berpegang kepada asas perjungan parti tersebut, tentunya ahli-ahli UMNO tidak akan sanggup mengorbankan masa depan parti yang secara langsung adalah masa hadapan kepada generasi akan datang di samping menjadikan sejarah lampau sebagai tauladan yang tidak mungkin berulang.

Nilailah kembali perjuangan golongan dan individu yang kecewa dengan parti tidak kiralah sama ada kerana gagal mendapat sokongan ahli atau kerana tidak mendapat jawatan yang diimpikan hinggakan sanggup melihat kepada perpecahan daripada membuat beberapa pembaharuan demi masa hadapan.

Dalam hal ini, tidak kiralah apa yang terjadi sekalipun, perjuangan dan parti janganlah diketepikan lantaran kepentingan diri sendiri ekoran ketidakpuasan hati yang dirasa hinggakan sanggup mengambil tindakan keluar dari parti dan menubuhkan parti lain yang menentang UMNO.

Bersandarkan kepada rentetan sejarah dalam setiap perkembangan yang lalu dan juga perjuangan para pemimpin yang terputus di tengah jalan ekoran masalah-masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan; sesungguhnya yang mengenepikan UMNO adalah individu itu sendiri.

Dalam pelbagai hal dan krisis yang telah menimpa UMNO, tidak kiralah sama ada tewas dalam percubaan mendapatkan kuasa dalam satu-satu persaingan misalnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atau ditolak ekoran keterlibatan dalam penyalahgunaan kuasa adalah sesuatu yang amat rumit.

Lihat sahaja apa tindakan Haji Ahmad Fuad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sendiri apabila gagal menempatkan diri dari menjawat jawatan nombor satu dalam parti hinggakan sanggup menubuhkan parti lain ekoran rasa tidak puas hati.

Dalam konsep perjuangan, mengapa mesti membuat keputusan yang hanya akan memusnahkan bangsa dan negara sendiri sedangkan sebelum ini, mereka bersama-sama dalam UMNO, merancang, membangun dan mencapai pelbagai kecemerlangan tetapi hanya kerana kecewa ekoran gagal mendapat kuasa lantas mereka cuba pula memusnahkan apa yang telah dicapai.

Umumnya, individu sedemikian memang tidak layak menjadi pemimpin apatah lagi untuk menjadi ketua kepada parti keramat yang menjadi pusaka warisan dari pemimpin terdahulu dan terus sebagai wadah kepada generasi akan datang.

Kerana gagal mendapat kuasa, mereka berasa marah dan kecewa lantas bertindak meninggalkan UMNO dan perjuangannya sedangkan selama ini mereka sendiri sering menyatakan bahawa hanya UMNO yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

Lebih teruk lagi, individu sedemikian sanggup pula memburuk-burukkan UMNO dengan pelbagai cerita, bermacam fitnah dan kecaman kepada UMNO hinggakan sanggup ada pula di kalangan rakyat yang terpedaya dengan apa yang dinyatakan.

Sesungguhnya di sinilah punca perpecahan paling besar dalam UMNO malah lihat sahaja bagaimana kesannya apabila Semangat 46 yang tertubuh ekoran rasa kecewa Tengku Razaleigh lantaran tewas bertanding jawatan Presiden kepada Tun Dr. Mahathir.

Natijahnya bukan hanya kepada pemimpin atasan tersebut malah rakyat turut menerima akibat dan tambah malang, buat pertama kalinya UMNO diseret ke mahkamah.

Kesan secara tidak langsung juga, kelemahan UMNO ekoran kekecewaan yang lahir di kalangan sesetengah individu ini telah menyumbang kepada pihak pembangkang termasuklah PAS. Apatah lagi apabila adanya ahli UMNO sendiri berpaling tadah lantas memberikan laluan mudah kepada PAS untuk beroleh kemenangan di Kelantan.

Kemudiannya, parti yang turut lahir ekoran rasa kecewa setelah gagal memegang tampuk pentadbiran dan jawatan nombor satu dalam parti ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal meraih impiannya pada tahun 1998.

Sehingga kini, Anwar tetap kekal dengan impiannya dan masih terus memasang angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri biarpun dengan memperalatkan rakyat, menggadai bangsa dan menjual agama sendiri.

Malahan, kesan daripada perpecahan tersebut tetap di rasa sehingga ke hari ini walaupun pemimpin telah silih berganti, UMNO telah pulih kembali tetapi perpaduan telah tercalar dan masih belum disatukan sepenuhnya.

Sewajarnya, sebelum membuat sebarang keputusan… fikirkanlah bahawa apa sahaja yang mahu dilakukan, sama ada yang baik atau buruk, kalah atau menang, jadikanlah asas perjuangan parti sebagai landasan dalam kehidupan.

Ingatlah juga, jika benar ada kesongsangan atau kesilapan dalam UMNO, sewajarnya perbetulkanlah melalui permuafakatan dan persaudaraan tanpa perlu adanya pecah belah, fitnah memfitnah dan caci maki yang hanya akan memburukkan keadaan.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; ke bukit sama di daki ke lurah sama dituruni; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah; itulah realitinya.

Jelaslah bahawa bersandarkan kepada apa yang berlaku, hanya UMNO yang benar-benar lahir atas prinsip perjuangan untuk agama, bangsa dan negara!

Hidup UMNO!

Sumber: umno-online.com

1 comment:

Anonymous said...

HidupMelayu

Teruskan dengan perjuangan mu..

Wang pun kena cari juga..

www.bio-asli.com/daftar.asp?id=moyubi01