Saturday, November 19, 2011
50,000 Serbu Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional #BNYJF
Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2011 yang bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung penuh meriah apabila diserbu hampir 50,000 pencari pekerjaan.
Pengarah karnival, Mohd. Yassin Mohd. Ismail berkata, sejak karnival itu diadakan di enam lokasi lain sebelum ini, sebanyak 22,000 jawatan kosong diisi oleh pengunjung.
“Kami mengharapkan sebanyak 20,000 jawatan lagi akan diisi sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” katanya di sini hari ini.
Karnival Kerjaya itu turut dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau merasmikannya sambil diiringi oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan pengerusi program itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Mohd. Yassin berkata, pihaknya menjangkakan seramai 600,000 pengunjung terdiri daripada siswazah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) datang ke karnival berkenaan.
“Kami mengharapkan mereka yang sedang mencari pekerjaan mengambil kesempatan ini sekali gus mengurangkan jumlah pengangguran,’’ katanya.
Lebih 300 syarikat menyertai karnival itu yang menawarkan 30,000 peluang pekerjaan.
Syarikat yang menyertai karnival itu ialah Proton, Airod, Maybank, CIMB, Bank Islam, syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat multinasional dan sektor korporat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati golongan belia berpuas hati dengan penganjuran karnival tersebut.
Seorang graduan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Nurain Jamaluddin, 21, dia datang ke karnival itu kerana mahu mencuba nasib mencari peluang pekerjaan dalam bidang kejururawatan.
“Karnival ini satu usaha bijak oleh Pemuda BN kerana ia memberi peluang kepada golongan remaja untuk mencari pekerjaan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Fahmi Subir, 22, yang kini bekerja dalam bidang perkapalan berkunjung ke karnival tersebut untuk mencari peluang pekerjaan yang lain.
“Saya ingin mencari kerja dalam bidang kejuruteraan elektrikal kerana lebih meminati bidang tersebut,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Khairy bekata, seorang daripada tujuh pengunjung berjaya mendapatkan pekerjaan melalui permohonan di karnival tersebut.
Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan kejayaan penganjuran enam karnival yang telah terbukti membantu generasi muda mendapatkan pekerjaan.
Tahniah Pemuda, Syabas KJ
Labels:
BNYJF,
Khairy Jamaluddin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment