Tuesday, December 13, 2011
PBTM Sg. Balang Serah Memorandum Kepada Mat Sabu
Kemarahan bekas pasukan keselamatan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu masih belum reda apabila Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Sungai Balang menyerahkan memorandum bantahan terhadap pemimpin Pas itu semasa ceramahnya di Parit Bugis di sini malam tadi.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Ketua PBTM cawangan itu, Mejar (B) Othman Ma'an dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Parlimen Bakri, Mohd. Radzi Amin kepada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu pada pukul 9.45 malam sebelum pemimpin Pas itu menyampaikan ceramahnya.
Sebelum itu, seramai kira-kira 20 ahli PBTM bersama Gerakan Belia 4B berarak sejauh kira-kira 50 meter dengan membawa sepanduk menyatakan kekesalan mereka terhadap kenyataan Mat Sabu yang memperlekehkan pengorbanan pasukan keselamatan negara pada peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.
Othman berkata, pihaknya menyerahkan memorandum berkenaan untuk berhadapan dengan pemimpin Pas itu sendiri bagi menyatakan rasa marah dan kesal mereka terhadap kenyataan beliau itu.
"Kenyataan yang dibuat Mat Sabu telah mengguris perasan kami khususnya golongan veteran tentera dan anggota keselamatan yang berjuang bermati-matian menentang pengganas komunis demi mempertahankan tanah air yang kami cintai.
"Kami bukan minta disanjung tetapi dengan pengorbanan itulah hasilnya sekarang negara mencapai kemerdekaan dan rakyat boleh hidup aman dan damai termasuk juga Mat Sabu," katanya di sini.
Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu menimbulkan kontroversi apabila menganggap pengganas komunis sebagai hero sebenar dan bukannya 25 anggota keselamatan dan keluarga mereka yang dibunuh dalam tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong.
Program ceramah Mat Sabu malam tadi berlangsung dengan aman. Turut hadir menyampaikan ceramah ialah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng serta Ketua Cabang Keadilan Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard.
-Utusan
Berita terdahulu : Mat Sabu Komunis Kena Maki Di Muar !
Labels:
Mat Sabu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment