Tuesday, May 15, 2012
Memahami Sikap Politik Khairy
Khairy Jamaluddin ialah Ketua Pemuda Umno yang tidak diberi jawatan kerajaan. Saya membaca tulisan-tulisannya agak banyak. Daripada kandungan tulisannya, saya berpendapat, beliau sesuai untuk menjadi menteri atau timbalan menteri yang menguruskan belia, kebudayaan, atau pelajaran. Namun, itu ukuran dari jauh. Selain itu, perlu juga disebut, tanpa menjadi anggota pentadbiran, beliau tidak pernah terlihat tersinggung atau berkecil hati.
Saya beranggapan, selaku ahli politik Khairy mengutamakan ilmu dan maklumat. Itu penting baginya, berbanding hal-hal lain. Beliau memahami aliran-aliran politik dunia. Ada tanda-tanda beliau mengikuti dan memahami ideologi yang dipegang kuat oleh Hishamuddin Rais, aktivis dan penulis politik senegerinya.
Walaupun Khairy faham, beliau tidak mengamalkan politik jenis Hishamuddin, pertama kerana beliau orang Umno. Lagipun, orang bergiat sezaman dengan Hishamuddin juga sukar berpegang pada sosialisme yang sedemikian rigid. Dari segi ideologi, Khairy berada di antara sosialisme dan kapitalisme. Beliau adalah centrist. Saya berpendapat, selaku ahli politik, memahami sosialisme adalah penting, kapitalisme juga perlu diketahui, tetapi amalannya terpulang pada diri masing-masing.
Ahli-ahli politik Umno yang hebat di Negeri Sembilan ialah Datuk Seri Utama Rais Yatim dan Tan Sri Mohd Isa Samad. Khairy berkemungkinan akan mencapai tahap itu, bersyarat beliau bijak memahami politik masa depan, termasuk juga bersedia untuk akrab dengan orang muda yang berfikiran tidak terduga. Umno akan diterima pada masa depan, bergantung pada keupayaan pemimpin yang seusia dengan Khairy kini. Anggapan bahawa Umno dibenci oleh orang muda adalah silap, kerana orang muda – tidaklah semua – telah melihat pencapaian dan merasai keselesaan berada dalam Malaysia.
Pada masa ini, kekuatan dan gaya pidato Khairy selalu dibandingkan dengan kekuatan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR. Dalam zaman politik yang serba mencabar ini, kesediaan Khairy untuk berdepan dengan Rafizi sudah dapat dianggap cemerlang. Berhadapan dengan pembangkang di atas pentas adalah satu masalah besar. Pihak pembangkang akan mengkritik apa-apa yang telah dibuat oleh kerajaan, manakala pihak kerajaan terpaksa menyebutkan hal-hal tidak dibuat oleh pembangkang. Pembangkang berjanji akan membuat sesuatu, kerajaan pula terpaksa menerima kritikan atas apa-apa kesilapan yang telah dibuatnya. Ertinya, dalam perbahasan politik, pihak yang belum berbuat lebih beruntung. Belum berbuat belum silap.
Dalam keadaan seperti di atas, pihak kerajaan, yang diwakili tokoh muda seperti Khairy, hendaklah tahu menjawab mengikut suara baru. Ertinya, tokoh muda hendaklah tahu melaksanakan rejuvenalisasi parti. Pada masa ini, tampaknya Datuk Seri Najib Razak dalam usaha transformasinya, amat aktif mengakrabi anak muda,. Ini sudah berjalan atas landasannya, dan Khairy boleh membantunya.
Dalam bidang politik Malaysia kini, orang muda kelihatan matang. Dalam Umno ada Khairy, ada Suhaimi Shahdan dan beberapa lagi, manakala dalam PKR ada Rafizi dan Nurul Izzah Anwar. Ketika rakyat melihat konflik hebat antara tokoh-tokoh politik, penyenaraian nama seperti di atas kelihatan ganjil. Namun, dalam realiti politik, baik di dalam mahupun di luar negara, setelah berkonflik selalunya orang memilih kematangan. Keempat-empat tokoh muda yang di atas, dicampur tokoh-tokoh muda dalam MCA, MIC, Pas dan DAP, akhirnya akan bersama-sama memajukan negara.
Khairy ialah tokoh yang tahu menyesuaikan diri dengan pihak bertentangan. Telah tercatat dalam sejarah bahawa beliau menemui Anwar Ibrahim setelah Anwar dibebaskan dari penjara beberapa tahun lalu. Tun Mahathir sering memaparkan rasa tidak senang terhadapnya, tetapi beliau tidak mengambil berat tentang perkara itu.
Mungkin bagus jika Khairy mengetuai Pemuda Umno untuk jangka masa beberapa tahun lagi. Dari jauh beliau kelihatan tidak terlalu akrab dengan pemimpin atasan Umno, tetapi pengalaman dan pengetahuannya dijangka berupaya menjaga Umno pada masa depan. Pemimpin-pemimpin muda Melayu yang saya sebutkan di atas, ditambahi anak-anak muda yang kini berada dalam Pas, mungkin akhirnya menyertai Umno juga, kerana itu pernah berlaku. Ideologi yang bertentangan, dan kritikan serta cemuhan keterlaluan adalah sementara. -SH
Labels:
Khairy Jamaluddin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Khairy sudah merasa glamour zaman Pak Lah, dia juga melalui proses penyesuaian zaman Najib. Berjaya atau tidak orientasi yang dilalui bergantung banyak kepada kemampuan beliau untuk hubungkan generasi baru dengan generasi lama. Khairy lulus kalau dia sudah menjiwai semua ini, dan boleh dilibatkan dalam kerajaan.
Tapi Khairy tak boleh main jahat lagi, bagi orang marah dan meluat. Yang sudah, sudah la.
Post a Comment