Sunday, May 13, 2012

BN Menerima Sokongan Majoriti Rakyat – Kajian UMCEDEL


Sejumlah 49 peratus rakyat di negara ini dijangka memilih untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang berbanding 21 peratus yang memilih Pakatan Rakyat.

Sementara 30 peratus lagi masih belum menetapkan sokongan dan merupakan pengundi atas pagar yang selalunya akan membuat keputusan pada saat akhir.

Begitulah hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Kajian itu melibatkan 2,282 responden dan dilakukan secara bersemuka dengan etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Ia dijalankan di antara tarikh 31 Mac hingga 15 April lalu, dengan satu margin ralat kira-kira 2.1% .

Sebanyak 55 peratus yang ditemuramah merupakan responden lelaki manakala selebihnya adalah wanita.

Hasil kajian ini menunjukkan Pakatan Rakyat masih perlu menempuh perjalanan yang ‘sangat jauh’ sebelum mereka dapat menawan Putrajaya seperti mana yang diidamkan.

Ia juga menunjukkan pengundi atas pagar akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang.

Selain itu, pelbagai dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya telah berjaya menarik sokongan yang cukup luas dengan dua pertiga daripada responden menyatakan sokongan terhadap pemerintah.

Dalam kajian itu, responden juga ditanya sama ada pelbagai program yang diperkenalkan oleh Najib akan menambahkan sokongan mereka terhadap BN atau sebaliknya.

Untuk itu, 68 peratus daripada responden menyatakan sokongan mereka dengan program Kedai Rakyat 1Malaysia manakala 74 peratus lagi bersetuju dengan program Klinik 1Malaysia.

Keputusan kajian tersebut sekali gus menunjukan betapa sukarnya Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang memandangkan penerimaan baik pengundi terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu.

Dalam perkembangan yang sama, kajian itu mendapati majoriti masyarakat Cina dan India dijangka mengundi untuk Pakatan Rakyat di Selangor manakala sokongan orang Melayu di negeri itu terbahagi sama rata di antara Pakatan dan BN.

Seramai 60 peratus responden di kalangan orang India dan 49 peratus responden Cina berkata mereka akan menyokong Pakatan Rakyat di negeri berkenaan, berbanding hanya 20 peratus (India) dan 16 peratus (Cina) yang memihak BN.

Bagaimanapun, kedua-dua parti mempunyai sokongan yang sama banyak di kalangan orang Melayu, dengan BN mempunyai kelebihan sebanyak 34 peratus berbanding dengan Pakatan iaitu 33 peratus.

Manakala di Perak, Pakatan Rakyat bakal berhadapan dengan ‘pertempuran besar’ untuk menawan semula negeri yang dimenangi mereka pada tahun 2008, sebelum BN merampas kembali pada tahun 2009 itu.

BN mendapat sokongan majoriti setiap kaum, terutamanya dengan sokongan paling tinggi daripada orang India iaitu 67 peratus.

Berbeza pula dengan Pakatan yang hanya mampu meraih 5 peratus daripada sokongan orang India.

BN juga mempunyai kelebihan dengan 36 peratus pengundi Melayu dan 35 peratus pengundi Cina menyokong mereka berbanding Pakatan yang hanya mempunyai 30 peratus sokongan bagi kedua-dua kaum.

Begitupun, 34 peratus pengundi Melayu dan 35 peratus pengundi Cina masih tidak dapat membuat keputusan.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa Pakatan masih mempunyai peluang untuk menguasai semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Kaji selidik itu juga mendapati yang Pakatan akan mengekalkan sokongan di Kelantan, dengan 44 peratus daripada responden memihak kepada mereka berbanding dengan 27 peratus yang memilih BN.

Di Kedah, Pakatan memperolehi sokongan majoriti daripada responden Cina dan Melayu, manakala BN jauh lebih popular di kalangan orang India.

Kaji selidik itu telah dijalankan ke atas 2,282 responden yang dipilih secara rawak menurut kadar perpecahan kaum di negara ini.

Hasil kajian itu boleh dilihat sendiri di sini.

http://umcedel.um.edu.my/images/umcedel/doc/PRU13-WEB.pdf

No comments: