Thursday, May 17, 2012

Muhyiddin: Umno Sedia Muzakarah Dengan Pas


Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun agak terkejut dengan pelawaan Pas itu, beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia dan makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz bahawa parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno dan juga bersetuju untuk muzakarah itu diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata parti itu sedia menerima pelawaan itu kerana perkara tersebut telah disuarakan Umno sejak sekian lama atas kesedaran pentingnya umat Islam disatukan, yang kini berpecah kepada beberapa kelompok kerana berbezan ideologi.

"Jadi kalau ada dan hasrat itu adalah ikhlas, lahir daripada niat yang ikhlas, yang tujuannya ialah untuk kebaikan, kita tiada masalah," katanya.

Berhubung pendedahan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa bekas partinya cuba merasuah sebanyak RM50,000 selepas beliau meletak jawatan, Muhyiddin berkata, pendedahan itu mengesahkan lagi pandangan banyak pihak yang mengatakan DAP sebenarnya tidak demokratik adalah benar.

Katanya, apa yang dilakukan parti itu terhadap seorang pemimpin yang cukup berprinsip seperti Tunku Aziz juga menyerlahkan sifat dan sikap sebenar DAP, iaitu berlagak, sombong dan tidak boleh ditegur.

"Saya juga pernah mengatakan demikian semasa saya melawat Pulau Pinag dulu bahawa Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri biasa bersikap sombong dan angkuh tetapi itu mungkin tidak dilihat penting sangat tetapi apabila seorang tokoh seperti Tunku Aziz menerima padah yang sama barulah kita ketahui sikap sebenar DAP.

"Jadi, sama ada dia (Guan Eng) buat tawaran RM50,000 itu, pendedahan Tunku Aziz itu tentu membolehkan kita membuat penilaian mengenai DAP sebenarnya, bukan Guan Eng sahaja," katanya.

Tunku Aziz dalam temu bualnya dengan sebuah akhbar semalam, dilaporkan berkata Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Johari Khir menghubunginya dan menawarkan wang tunai RM50,000 selain jawatan sebagai felo kanan di Institut Penang, sebuah badan pemikir milik kerajaan negeri supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya.

"Apakah dia fikir saya jenis orang yang begitu? Saya menganggap tawaran ini sebagai cubaan untuk merasuah, saya fikir ia biadab dan saya tidak akan bekerja lagi dengan lelaki ini," katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata masyarakat, khususnya orang Melayu yang menyokong parti itu harus melihat semula sokongan mereka kerana apa yang berlaku jelas menunjukkan DAP yang kononnya mengamalkan prinsip demokrasi bukanlah sebuah parti untuk orang Melayu.

"Bagi saya ini suatu isyarat yang penting untuk rakyat Malaysia. Sebab itu sahaja cara-cara yang dilakukan oleh pemimpin DAP biasanya tidak serasi serta sebulu dan langsung tidak menghormati orang lain," katanya. - Bernama

No comments: