Monday, June 11, 2012

Akhirnya PAS Berjaya Hancurkan Lubuk Emas - Kulim Hi-Tech Park


Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebuah taman teknologi tinggi yang diilhamkan dari Silicon Valley di Amerika dahulunya merupakan projek kebanggaan Negeri Kedah. Ia adalah satu-satunya projek di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang berjaya.

Diuruskan oleh Kulim Technology Park Corporation (KTPC), projek ini telah menerima beberapa anugerah hartanah peringkat antarabangsa sekali gus meletakkannya di antara kawasan pelaburan paling berprestij dalam peta pelaburan dunia.

Tapi, ini semua cerita lama iaitu sebelum pihak pengurusan KTPC dan negeri bertukar tangan kepada PAS. Zaman kegemilangan KHTP telah berakhir selepas PRU 2008, dan KHTP kini tidak ubah bagai sebuah syarikat hartanah yang hanya menunggu masa untuk dikuburkan.

Pihak pengurusan KHTP yang baru iaitu yang diketuai oleh Haji Muhammad Sobri Osman, Presiden KTPC, langsung tidak mampu membawa pelaburan baru. Di bawah telunjuk Annuar Safar, Naib Presiden Ind. Dev. & Research, Haji Sobri mengiakan apa saja cadangan dan keputusan beliau.

Annuar Safar ialah salah seorang dari 3 pengurusan atasan yang kekal sejak dari zaman Barisan Nasional menerajui Kedah. Dan sejak dari zaman BN lagi, Annuar Safar telah diketahui sebagai penyokong Pakatan Rakyat malah semua pekerja tahu bahawa beliau pernah menyalahgunakan peralatan pejabat untuk membantu parti Keadilan dalam pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000.

Sejarah Annuar Safar juga menunjukkan yang beliau pernah diminta surat tunjuk sebab oleh Lembaga Pengarah KTPC akibat terdapat bukti jelas yang beliau terlibat dalam salahlaku rasuah. Sebelum menyertai KTPC, Annuar Safar juga pernah diminta meletak jawatan dari sebuah GLC atas alasan salahlaku rasuah juga.

Di kalangan pekerja, Annuar Safar terkenal dengan sikap dengki khianat dan dendam terhadap sesiapa saja yang lebih tinggi pangkat darinya atau orang bawahan yang dilihat mampu mencabarnya. Beliau yang ditugaskan mengurus Techno Center, pada ketika itu, memenuhi pejabatnya dengan wanita-wanita muda dan sering menambah bilangan pekerja walaupun tiada keperluan untuk syarikat berbuat demikian. Segala teguran dan kritikan dari pihak atasan akan disimpan sebagai dendam, tanpa berbuat apa-apa.

Apabila PAS mengambil alih negeri Kedah, KTPC juga diambil alih oleh PAS. Ini menyebabkan ramai orang-orang lama yang berpengalaman meninggalkan KTPC kerana tidak sesuai bekerja dalam suasana politik dan tidak professional.

Setiap keputusan dibuat dalam konteks politik terutama apabila ia melibatkan pekerja. Pengurusan baru juga mengambil tindakan ‘membuang’ pekerja secara halus atau tidak langsung jika dikenalpasti sebagai penyokong BN. Hampir kesemua tindakan ini diambil oleh Haji Sobri kerana menerima bulat-bulat segala nasihat Annuar Safar, yang pastinya berniat untuk membalas dendam.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Haji Sobri adalah seorang Ahli Jawatankuasa PAS Kedah dan ura-ura menyatakan yang beliau akan bertanding di kawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani dalam PRU 13 nanti. Mungkin juga kerana terlalu sibuk berpolitiklah maka beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pegawai-pegawai pengurusan atasan untuk mengendali KTPC. Namun, khabar juga jelas kedengaran yang beliau sebenarnya tidak cukup pengalaman dan pengetahuan untuk mengendalikan syarikat korporat bertaraf dunia seperti KTPC. Membawa sikap biasa seorang ‘lebai PAS’, Haji Sobri juga dikatakan jenis yang suka melalut berbual mengenai wanita di dalam mesyuarat-mesyuarat yang diterajuinya serta tidak gemar berbincang perihal kerja yang dianggapnya terlalu berat untuk dicernakan.

Di sinilah terletaknya persoalan besar mengenai KHTP iaitu, apakah wajar seorang Presiden syarikat milik kerajaan negeri di bawah naungan Pusat bergerak aktif dalam politik yang menentang kerajaan pusat?

Haji Sobri ini juga kelihatan di Himpunan Hijau PAS pada 1 Jun lalu memberi sokongan penuh untuk menjatuhkan kerajaan. Amatlah janggal apabila seorang peneraju syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk pelaburan langsung asing, menentang kerajaan pusat sedangkan beliau perlu bekerjasama erat dengan pusat.

Tanpa bantuan, kerjasama dan sokongan pusat, usaha menarik pelaburan adalah hampir mustahil.

Untuk pengetahuan, pengurusan KTPC terdahulu menghadkan program promosi pelaburan keluar negara paling kerap hanyalah 3 atau 4 kali setahun. Ini kerana setiap program promosi pelaburan ke luar negara memakan belanja ratusan ribu ringgit dengan hanya membawa 4 – 5 orang delegasi dari KTPC dan kerajaan negeri.

Oleh itu, adalah lebih praktikal jika program promosi ini diadakan bersama kerajaan pusat agar setiap prosedur, tawaran atau perbincangan khas mengenai cukai dan sebagainya boleh dilakukan terus antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dengan pihak kerajaan pelabur terbabit tanpa membuang masa. Pastinya, satu-satu pelaburan yang besar memerlukan komitmen bukan sahaja antara syarikat pelaburan dengan KTPC tetapi juga Duta dan Menteri, malah mungkin Perdana Menteri.

Dengan sikap Haji Sobri yang menentang pusat, bagaimana rakyat Kedah mampu mengharapkan beliau untuk membawa masuk pelaburan baru?

Di tambah dengan kemunculan pesaing-pesaing lain di luar dan dalam negara, terutamanya Senai Hi-Tech Park yang diterajui oleh Dato’ Ahmad Shukri Tajuddin iaitu bekas CEO KTPC yang ‘ditendang’ oleh PAS, bagaimana KHTP mampu terus hidup? Senai Hi-Tech Park dikatakan giat mendapat pelaburan baru walaupun jumlah kekerapan pegawai-pegawainya keluar negara tidak mampu menyaingi kekerapan pegawai-pegawai KTPC - iaitu berkali-kali setiap bulan. Bayangkan, jika program promosi pelaburan 3-4 kali setahun juga memakan jumlah ratusan ribu ringgit setahun, berapa agaknya yang dileburkan oleh pihak KTPC untuk keluar negara berkali-kali sebulan?

Sudahlah kerajaan PAS Kedah langsung tidak mampu menjana wang untuk negeri, kini, pengurusan KTPC pula meleburkan wang sebanyak jutaan ringgit setahun untuk promosi KHTP tanpa membawa sebarang hasil. Pelaburan sedia ada pula ada yang sudah berkira-kira untuk keluar dari KHTP atas berbagai-bagai alasan seperti rombakan pengurusan serta ketidaktentuan ekonomi dunia.

Nampaknya, selagi PAS Kedah tidak mampu memisahkan politik dengan pengurusan negeri dan syarikat-syarikat milik negeri, selagi itulah satu projek pun tidak akan mampu membawa hasil kepada negeri, malah projek yang telah berjaya seperti KHTP juga akan turut hancur sekali.

Apakah nasi telah menjadi bubur bagi KHTP? Apakah masih ada harapan yang ia akan dipulihkan selagi pengurusan KTPC dan negeri tidak bertukar tangan kembali?

Apapun, buat masa ini kita ucapkan setinggi tahniah kepada Haji Sobri, Azizan dan PAS secara keseluruhannya, kerana berjaya dengan cemerlang sekali dalam menjahanamkan KHTP.

3 comments:

Anonymous said...

kita wajib bertanggungjawab diatas sebarang komen yang dibuat dimahkamah Allah...

Anonymous said...

patut la PM baru ni pi lawat KHTP

Anonymous said...

Aku ingt tuan blog ni blog sewel ke apa.Cuba le jd manusia yg berakal.Pegangan politik dia apa sangkut paut dgn kerja dia.Lg satu tok sah dok merepek tk tentu hala.Bkn org lain tak tau tentang Kulim Hi Tech.Prnah ke ko tnya kenapa Exxon-Mobil,Sanyo Electric dn bnyk lg syarikat multi nasional keluar dr Malaysia.