Monday, October 22, 2012

Mahkamah Tolak Permohonan Mat Sabu Ketepi Pertuduhan



Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin menolak permohonan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu untuk mengetepikan pertuduhan terhadapnya yang membuat tohmahan memburukkan nama baik 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor dekat sini.

Hakim Mohd Amin Firdaus Abdullah yang membuat keputusan itu juga mengarahkan agar perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen terhadap Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, diteruskan.

Bagaimanapun, tarikh baru bagi menyambung perbicaraan kes itu masih belum ditetapkan lagi. Penolakan permohonan itu juga adalah kali kedua selepas Mahkamah yang sama menolak permohonan Mat Sabu, pada Februari lepas,

Mat Sabu, 57, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 – Bernama

No comments: