Thursday, November 29, 2012

PM : Anwar 'Si Kitul moden' Hina Negara


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan Si Kitul moden dan menghina intelek rakyat Malaysia kerana tanpa rasa malu mengadu kepada negara luar untuk menjadi pemerhati pilihan raya di negara ini.

"Waima, sudah 12 kali pilihan raya umum dijalankan di negara ini.

"Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihan raya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi," sindir Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini.

Anwar sebelum ini meminta bantuan Australia untuk memastikan pilihan raya umum di negara ini berjalan secara bebas dan adil.

Bagaimanapun permintaannya itu ditolak Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr yang berkata, Australia tidak boleh dan tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia.

Anwar juga dilapor memberitahu Carr beliua punya bukti tentang penipuan pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi pilihan raya itu.

Tindakan itu bingkas dibidas Najib yang mengatakan "kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit."

"Misalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur.

"Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihan raya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPR lah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa," kata Najib.

Najib juga dalam ucapan lebih satu jam itu turut melabel Anwar yang pernah bertindak sebagai Menteri Kewangan ketika dalam kerajaan sebagai "sesumpah politik" dan bukan lah pengurus ekonomi yang cekap.

"Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Dana Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu.

"Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan," kata Najib.

Orang seperti selayaknya dipanggil sebagai lidahnya bercabang, ujar beliau.

"Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel.

"Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen... dah... dia menyokong pulak...heran..heran...," tambah Najib.-SH

No comments: