Wednesday, December 19, 2012

Isu Amanat: Haji Hadi Wajah Sebenar Ulama PAS....


Ulama mahupun mufti sepatutnya disegani dan dihormati tetapi tindak  tanduk mereka bergelar ulama dalam PAS semakin mengelirukan. Sudah macam-macam isu berkaitan Islam cuba ditonjolkan parti itu  tetapi akhirnya tunduk pada tekanan DAP tetapi ulama dalam PAS jarang  buka mulut.

Kesudahannya ada yang melihat ulama PAS juga terpaksa ikut parti untuk  jaga hati DAP dan bukannya pertahan kepentingan agama.

Namun, pelik pula ulama PAS sanggup menyelar mufti-mufti yang membuat  teguran ikhlas terhadap pemimpin parti yang kononnya memperjuangkan  Islam.

Apakah teguran untuk kebaikan satu kesalahan pada pendapat ulama PAS  khususnya Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib apabila  mengecam dua mufti yang menggesa Presiden PAS, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang menarik semula amanat pada 1981 yang mendakwa UMNO kafir?

Sepatutnya Harun menerima teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani  Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang  menggesa  Hadi menarik balik amanat yang dikeluarkan lebih tiga dekad
 lalu.

Menurut Harussani, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan,  perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.

Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada UMNO  sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

 Malah, beliau mahu Hadi kembali kepada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

Amanat  Haji Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Ucapan Hadi telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas Pas sekitar tahun itu.

 Malangnya, Harun dengan lantang meminta mufti-mufti agar tidak masuk campur dalam hal berkaitan politik tanah air jika tidak tahu sejarah perkembangan sesebuah parti politik.

 Katanya, Hadi tidak perlu menarik balik kenyataan yang pernah dibuat itu kerana apa yang dikatakan itu berpunca daripada kepimpinan Umno terdahulu.

“Kita akui ucapan itu pernah dibuat dan beliau (Abdul Hadi) tidak perlu tarik balik. Harussani perlu ingat sejarah. Perlu ingat isu debat yang dibatalkan UMNO semasa kepimpinan Mahathir ( Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Kalau mufti tidak tahu sejarah politik, jangan campur tangan. Mufti perlu tutup mulut,” katanya.

 Inilah wajah sebenar ulama dalam PAS.

 Mereka tidak boleh disentuh atau ditegur malah keterlaluan meminta mufti tutup mulut padahal Harussani sudah menjelaskan, isu itu tiada kaitan dengan politik.

 Sewajarnya Harun menilai apa dikatakan dua mufti itu dan kemudian berbincang dengan Hadi sebelum membuat kenyataan meminta mufti jangan campur tangan dan tutup mulut.

 Islam sendiri mengalakkan umatnya bersikap sederhana, saling menghormati dan tegur menegur dan tidak salah jika Harun menasihatkan Hadi meminta maaf atau menarik balik Amanat Haji Hadi.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perbuatan mengkafirkan sesama Islam adalah sama seperti golongan khawarij.

“Maksud amanat tersebut secara langsung dan jelas bahawa PAS menuduh UMNO berpaling dari agama Islam.

“Mereka (Pas) menuduh UMNO kafir kerana membawa ideologi atau fahaman yang boleh menghancurkan umat Islam, sedangkan ia meleset sama sekali,” katanya.

 Apa dikhuatiri selepas ini, panggilan ulama atau ‘ular dalam semak’ kepada ulama PAS berterusan dan sekaligus akan merendahkan martabat ulama-ulama lain.

Kepada Harun dan ulama PAS lain, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. -Agendadaily

1 comment:

Anonymous said...

Salam 1 Malaysia.PAS telah berjaya mempengaruhi masyarakat awam yang politikus² macam mereka yang ada kelulusan agama adalah ulama.Mereka berceramah dengan diselang-seli ayat² Quran & Hadis meyakinkan segolongan masyarakat yang mereka adalah ulama.Bahkan orang UMNO juga ada yang menganggap mereka ini ulama.Hakikat sebenarnya terlalu susah untuk diiktiraf sebagai ulama tapi itulah kejayaan PAS.Ya,kalaupun ulama,hanyalah ulama partisan.Itu perbezaan yang jelas antara Hj Hadi dengan SS Mufti Perak yang mana Hj Hadi bercakap atas kepentingan partinya.Samahatul-Mufti TS Harussani bercakap atas dasar kepentingan umat & negara.Kata² Mufti Wilayah amat tepat & Hj Hadi mesti terima.Cuba imbau sikit Amanat Hj Hadi.Jika dia tak tarik balik bermakna dia juga menjadi kafir[na'uzubiLlah].Kenapa?DAP terang² memperjuangkan sekular.PAS mengkafirkan UMNO kerana isu sekular.Sekarang mereka terang² menyokong sekular.Orang PAS kena fikir elok² sebelum nak sergah orang lain.