Monday, January 14, 2013

Perhimpunan Jejaskan Perniagaan - Peniaga


Peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Raja Laut mendakwa kerugian ekoran perhimpunan didukungi pembangkang hari ini menyebabkan ramai warga kota kurang mengunjungi kawasan beli-belah itu.

Malah, ada peniaga mendakwa kekurangan pelanggan hampir 80 peratus berbanding hujung minggu sebelum ini.

(Baca lagi Klik TAJUK ENTRI)


Pekerja sebuah kedai aksesori telefon di Jalan Raja Laut, Omiratna Abas, 19, berkata kedainya tidak dikunjungi pelanggan selepas dibuka pagi tadi.

"Pelanggan kami kurang hingga 80 peratus. Saya lihat kedai makan dan kawasan ini juga lengang sedangkan pada hujung minggu, selalunya pelanggan kami ramai," katanya.

Peniaga Sate Kajang Haji Samsuri di Medan Mara, Romi Yuli, 30, berkata perniagaannya pasti terjejas setiap kali ada perhimpunan seperti itu.

"Walaupun kedai dibuka tetapi kurang pelanggan," katanya yang mengusaha perniagaan itu sejak tiga tahun lepas.

Penjaja makanan, Charles Kato, 26, pula terpaksa sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi mencari pelanggan.

"Saya baru pulang dari Sabah...saya tidak tahu mengenai perhimpunan hari ini. Susah mahu berniaga kerana perhimpunan ini menjejaskan perniagaan saya," katanya.

Tinjauan Bernama di kedua-dua kawasan itu juga mendapati beberapa kedai menutup perniagaan kerana bimbang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang peniaga kain di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahmed Bukhara, 43, berkata premisnya terpaksa ditutup kerana keadaan yang sesak dengan peserta perhimpunan.

"Keadaan ini menyebabkan pelanggan tidak mahu datang. Saya tidak suka kerana sebabkan kami rugi...susah nak berniaga," katanya.

Keadaan di Jalan Petaling, yang sering menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari negara Arab, juga tidak banyak bezanya apabila ramai peniaga mendakwa sukar berniaga kerana perhimpunan itu.

Kebanyakan pelancong telah diingatkan oleh pengusaha hotel supaya tidak ke kawasan itu hari ini.

Sementara itu, beberapa warga kota yang ditemui juga merungut apabila himpunan itu menjejaskan perancangan hujung minggu mereka.

Penjawat awam, Zulfahmi Syafiq, 25, kecewa kerana terpaksa membatalkan hasratnya dan keluarga membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang melampau.

Norizah Hasan, 26, pula terpaksa membatalkan hasratnya mengambil kursus perkahwinan di sebuah premis di kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan selain kesesakan lalu lintas.

Norizah, dari Kampung Baru di sini berkata beliau akan berkahwin pada Mac depan dan telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus itu hari ini dan esok.

Seorang guru, Mohd Kadir Abdullah, 42, pula menyifatkan kesesakan lalu lintas di kawasan Tuanku Abdul Rahman adalah sangat luar biasa ekoran perhimpunan itu.

Dalam pada itu, ramai juga yang meluahkan rasa marah mereka terhadap perhimpunan itu melalui laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing.

Firdaus Ashraf menyifatkan perhimpunan itu sebagai terlalu fanatik kerana mengganggu aktiviti harian warga kota.-Bernama

No comments: