Saturday, October 5, 2013

Pemuda perlu bekerja keras di Sungai Limau


Pergerakan Pemuda UMNO diminta bekerja keras untuk membantu Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan memberi tumpuan kepada kira-kira 11,000 pengundi muda pada pilihan raya kecil (PRK), 4 November ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, rekod Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu menyaksikan BN kurang mendapat sokongan pengundi muda di kerusi berkenaan meskipun sokongan secara keseluruhan golongan itu di negeri ini adalah baik.

"'Jadi kita kena kerja kuat. Jentera Pemuda mesti memberi tumpuan kepada pengundi muda ini. Angka 11,000 pengundi muda di kawasan itu bukan jumlah besar tetapi tidak kecil," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan pentadbiran persatuan belia di sini hari ini.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan kerusi tersebut selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili BN.

Ini merupakan PRK kedua selepas PRU-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO akan menggunakan pendekatan terbaik untuk mendekati dan menarik sokongan pengundi muda di DUN Sungai Limau kepada BN.

Kata beliau, pendekatan itu mesti bersesuaian dengan keadaan setempat dengan mengadakan program yang boleh meliputi secara keseluruhan kehendak golongan tersebut seperti program keilmuan, keagamaan dan sukan. - Utusan

No comments: