Monday, April 20, 2020

Samseng Jalanan Hadap Empat Pertuduhan







Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini atas empat pertuduhan termasuk mencederakan seorang anggota polis menggunakan cota dan membawa senjata tanpa kebenaran di Kampung Atas Pinggir, Isnin minggu lalu.



Tertuduh, Mohd Zamri Mustafa, 45, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi dan tertuduh diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati membawa senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran iaitu sebatang cota besi di Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu jam 12.30 tengah hari 13 April lalu.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

Bagi pertuduhan kedua di lokasi dan tarikh sama, tertuduh didapati sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Ridwan Mohd Rosli, 36, menggunakan cota besi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyn 324 Kanun Keseksaan.

Sementara, pertuduhan ketiga dan keempat pada tarikh dan lokasi sama jam antara 12 hingga 12.30 tengah hari, tertuduh didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine dan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kecederaan pemandu kereta, Mohd Ridwan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibayar jamin dan menetapkan 17 Mei tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu satu video tular di laman sosial memaparkan, seorang lelaki 45 tahun berang kereta yang dipandu dipotong, bertindak luar kawalan apabila dengan melanggar dan menghimpit kenderaan jenis Perodua Kancil sehingga terbabas ke dalam parit.

Malah, suspek turut memukul mangsa yang juga pemandu Perodua Kancil, menggunakan besi.

No comments: