Tuesday, December 29, 2020

Daging Kartel Haram: NGO BUAT LAPORAN P0L1S | Daging Import Diragui Stat...


Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung isu kartel penyeludupan serta pengedaran daging import diragui status halalnya, hari ini.


Presiden Persatuan Pengimport Daging Halal Muslim Malaysia Datuk Dr Mohd Noor Ali Akbar berkata, beliau bersama NGO lain menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas, menjawab keraguan orang ramai berhubung isu berkenaan.


“Bagaimana pengendalian kemasukan daging ini perlu diteliti serta disemak semula, kerana orang ramai perlu mengetahuinya secara jelas. Pekara ini memerlukan penjelasan menyeluruh kerana ia membabitkan kepentingan orang ramai.


“Kami selaku pengimport daging setuju supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan, bagi menyiasat sama ada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sudah memadai atau perlu ditambah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini. 


Sementara itu, Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia Abdul Rani Kulup menggesa pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa lain bekerjasama memastikan kilang dipercayai berlindung di sebalik kegiatan penyeludupan serta pengedaran daging import diragui statusnya itu, ditutup.


Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

No comments: