Tuesday, December 29, 2020

Dua Kumpulan Samseng Merusuh Berebut Kawasan !


15 ditahan bergaduh berebut kawasan


Ampang Jaya: Polis menahan 15 lelaki kerana terbabit dalam pergaduhan dipercayai berebut kawasan di sebuah restoran di Pandan Indah semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada jam 10.30 malam apabila sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan.


"Semua lelaki terbabit dipercayai terbabit dalam pergaduhan. Polis terus membuat tangkapan 15 lelaki yang berusia lingkungan 17 hingga 35 tahun.


"Semua individu yang ditahan adalah warga tempatan, empat daripadanya mempunyai rekod lampau kes curi dan merusuh serta seorang lagi suspek juga pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dua kumpulan itu terbabit dalam pergaduhan yang bermula di kawasan Lembah Jaya dan terus membawa ke sebuah restoran di Pandan Indah.


"Punca kejadian dipercayai perebutan kawasan. Usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas masih dijalankan.


"Terdapat lima suspek mengalami kecederaan di kepala dan luka di badan. Mereka mendapat rawatan pesakit luar manakala seorang lagi suspek ditahan wad di Hospital Ampang untuk rawatan lanjut," katanya.


Katanya, kumpulan terbabit menggunakan kayu dan topi keledar ketika pergaduhan.


"Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," katanya.

No comments: