Thursday, September 30, 2021

Anak Azmi Caliph Buskers meninggal dunia - “Tunggu kami di syurga ya”


Baru sahaja menimang cahaya mata sulung berusia tiga hari, anak vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat yang diberi nama Afnan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta, Kuala Lumpur.

Isnin lalu, penyanyi Caliph Buskers, Azmi Saat dan isteri, Nazira Muhammad merai penuh kesyukuran kehadiran cahaya mata lelaki Khairul Afnan.


Kegembiraan tidak mampu dibendung mereka kerana pasangan itu menunggu selama sedekad untuk menimang cahaya mata sulung.


Namun, sejam lalu, Azmi mengumumkan, bayi yang lahir dengan berat 3.3 kilogram itu sudah dijemput oleh Yang Maha Esa.




Berita duka itu dikongsikan Azmi menerusi Instagramnya sebentar tadi.


“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” tulisnya.


Terdahulu, Azmi sempat memuat naik perkembangan anak sulungnya itu yang tidak sihat beberapa hari selepas dilahirkan.


Menerusi perkongsian itu, Azmi memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan anaknya yang lahir selepas 10 tahun penantian.


“Mohon tolong doakan Afnan. Afnan tak sihat, kami sedang diuji.


“Mungkin ada diantara kalian yang Allah makbulkan doanya.


“Tolong doakan moga Afnan Sihat dan Allah berikan yang terbaik buat kami,” ujarnya.


Sementara itu, perkongsian Azmi dihujani doa dan kata-kata semangat netizen termasuk rakan artis yang terkesan dengan berita duka tersebut.


Antara yang mendoakan adalah Wany Hasrita yang menitipkan ucapan takziah di ruangan komen.


“Innalillahiwainnailahirojiun. Salam takziah abang. Baby Afnan tunggu di syurga,” tulisnya.

No comments: