Wednesday, September 29, 2021

Rusuhan hadapan Tokong, anggota polis diserang!


Polis menafikan sebuah tokong dirobohkan dalam satu insiden rusuhan yang menyaksikan kira-kira 30 individu lelaki dan wanita menyerang mesin jentolak dan anggota polis di Salak Selatan semalam.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian bermula apabila pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur menjalankan operasi untuk membina pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.


Menurutnya, semasa operasi sedang dijalankan, kumpulan individu terbabit membawa kayu dan besi bagi menghalang mesin jentolak dan menyerang anggota polis.




“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.


“Dalam insiden tersebut pihak polis telah menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular rakaman video di media sosial yang mendakwa sebuah tokong Cina dirobohkan.


Rusuhan tersebut berlaku di depan Tokong Wong Low Shen See Chee How di Jalan Sungai Besi bersebelahan SJKC Tai Thung.


“Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.


“Sehubungan dengan itu pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” kata Muhammad Idzam.


Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi ASP Mohamad Sukri Bin Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

No comments: