Guan Eng intai bulan PAS tak nampak-nampak
Meskipun pembangkang khususnya DAP hebat mempertikaikan keupayaan kapal selam negara, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akhirnya mengakui aset tersebut amat diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui perkara tersebut selepas merasai sendiri pengalaman menaiki kapal selam KD Tun Razak lebih sejam atas jemputan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Guan Eng pada sidang akhbar selepas itu berkata, kapal selam TLDM boleh menyelam dan kenyataan beliau itu bercanggah dengan dakwaan pembangkang di Dewan Rakyat sebelum ini.
"Sudah tentu kerana ia kapal selam, kita menyelam sehingga paras 30 meter, tentulah kalau cakap dari segi kapal selam, ia boleh selam.
"Tentang perkara lain kita boleh cakap panjang lebar, esok pun tidak habis. Kita juga mempunyai perbezaan pendapat seperti mengenai harga sama ada ia berbaloi atau tidak," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.
Turut sama menaiki kapal selam itu ialah dua Timbalan Guan Eng iaitu Prof. Dr. P. Ramasamy serta Datuk Dr. Mansor Othman.
Parti-parti pembangkang terutama DAP begitu hebat mengkritik pembelian kapal selam negara terutama berhubung kos pembelian sebanyak RM3.68 bilion.
Malah Guan Eng sebelum ini berkeras meminta agar kerajaan menukar kapal selam itu dengan sebuah lagi yang baru atas alasan masalah teknikal yang dihadapi.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam temu bual bersama akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu mendakwa KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam selain mengatakan aset canggih itu sebagai usang dan terpakai.
Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pengorbanan krew kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak patut dipersoalkan oleh mana-mana pihak dan seharusnya dihargai serta disokong semua rakyat.
"Dari segi kapal selam, ia sesuatu yang kita rasa perlu dan sumbangan daripada wira-wira kita perlu disokong semua rakyat," katanya.
Ketibaan ketiga-tiga pemimpin pembangkang menaiki helikopter TLDM, Super Lynx dan Fennec disambut oleh Zahid dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Bagaimanapun, Guan Eng tetap angkuh apabila enggan mengulas walaupun berkali-kali diminta pihak media untuk menyatakan tentang fakta keupayaan kapal selam tersebut.
Persetujuan mengenai perolehan dua kapal selam iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak ditandatangani antara Malaysia dan Perancis pada 2002 dengan harga RM2.5 bilion termasuk pakej pemindahan teknologi dan beberapa penganalisis pertahanan sebelum ini menyifatkan proses dan harga itu adalah adil serta berbaloi. -Utusan