Showing posts with label Lahad Datu. Show all posts
Showing posts with label Lahad Datu. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

Cubaan Desperado PKR Untuk Kaitkan Penceroboh Sulu Dengan UMNO...


Kalau terdesak sangat tak perlulah begini.Rafizi Ramli,Pengarah Stratejik PKR bersusah payah hendak buktikan konon pencerobohan gerombolan bersenjata Sulu ada kaitan dengan UMNO.

Beliau mengadakan sidang akhbar di ibupejabat PKR dengan membawa keluar salinan dokumen untuk tunjuk ketua penceroboh, Azzimuddie Kiram pernah menjadi Pegawai Pentadbir Muda (ADO), di Pejabat Daerah Kudat pada tahun 1975.

Salinan dokumen berkenaan adalah senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah seperti yang disimpan di Jabatan Arkib Negara Sabah.

Dokumen itu catat Azzimudie dilahirkan pada 24 September 1941.

Sebenarkan spekulasi mengenai Azzimudie kemungkinan pernah jadi ADO di Kudat sudah dilaporkan oleh media tempatan kebelakangan ini.

Namun cara Rafizi nak buat gempak terus dakwa macam kerajaan hendak menyembunyikan fakta ini.

Para wartwan yang hadir sidang akhbar itu sendiri garu kepala memikirkan bagaimana isu seorang yang dikatakan pernah jadi ADO di Kudat 38 tahun lampau hendak dikaitkan dengan UMNO.

Malah waktu itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri belum aktif dalam politik.

Najib baru bertanding kerusi parlimen Pekan pada tahun 1976 ekoran kematian Allahyarham Tun Abdul razak.

Juga UMNO hanya masuk ke Sabah sebagai sebuah parti pada awal 1990han.

Lebih melucukan bila ditanya kenapa cuba kait penceroboh dengan UMNO,Rafizi jawab sebab kebanyakan orang Sabah keturunan Sulu dan Bajau adalah ahli UMNO.

Apa lojiknya Rafizi cakap begitu.Bunyi macam desperado sangat hendak kaitkan UMNO.

Mungkin hendak counter isu gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang sembang dengan Nur Misuari yang cetuskan pelbagai tandatanya kebelakangan ini.

-AgendaDaily

Wednesday, March 20, 2013

8 Suspek Rakyat Filipina Didakwa Lancar Perang Terhadap Yang di-Pertuan Agong


Lahad Datu - Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas tuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua lelaki itu yang berusia lingkungan 17 hinggga 66 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan Seksyen 121 kanun yang sama kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya daripada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mohd. Dusuki memberitahu pemberita, kes itu diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Yang turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kawasan sekitar ibu pejabat polis tersebut dikawal ketat oleh anggota keselamatan bersenjata.

-Bernama

Pasukan Keselamatan Temui 1 Mayat Pengganas


Lahad Datu - Pasukan keselamatan menemui satu lagi mayat pengganas Kiram yang dipercayai mati ketika operasi penggeledahan di kawasan perumahan Kampung Tanjung Batu pada 6 Mac lalu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd. Zin berkata, mayat pengganas itu akan dibawa keluar hari ini tetapi bergantung pada keadaan sekeliling.

-Utusan

Disebalik Cerita Anwar Sibuk Nak Memuji Dan Pengganas Sulu Lebih Kejam Dari Komunis


Entah apa mimpi Anwar... Tiba-tiba saja selepas 15 hari Operasi Daulat dilaksanakan bagi membanteras kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah yang turut mengorbankan anggota keselamatan, Anwar Ibrahim akhirnya memuji langkah yang dilakukan pasukan keselamatan.

Ketua Pembangkang berkata pada mesyuarat khas pakatan pembangkang hari ini turut menyatakan sokongan terhadap langkah yang diambil oleh pasukan keselamatan.

Emmm..... Selama ni Anwar dan rakan sekutunya buat apa? tidur ke? Dah puas kutuk-kutuk baru nak sedar... Sudah la... Tindakan Anwar ini merupakan penyebabkan rakyat akan menolak puak pembangkang di PRU13.

Usahlah kita sebagai rakyat Malaysia mengikut perangai pemimpin puak pembangkang yang sering kali menghina dan memperlekehkan jasa anggota keselamatan kita.

Di bawah laporan dari Sinar Harian yang memetik pengganas bersenjata selatan Filipina lebih kejam daripada komunis yang pernah menyerang negara kita.

Kalau masih ada lagi puak pembangkang yang hendak menghina dan memperlekehkan jasa anggota keselamatan kita, aku tak tahu lah apa nak cakap....


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, dengan riak wajah yang sentiasa tenang menyifatkan pengganas bersenjata selatan Filipina lebih kejam daripada komunis yang pernah menyerang negara.

Melihat tindakan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan terhadap anggota dan pegawai polis semasa operasi mengesan mereka di Kampung Simunul, Semporna 2 Mac lalu, beliau tidak dapat menggambarkan betapa kejamnya pengganas itu.

Sungguhpun begitu kami yakin semangat anak buahnya langsung tidak pernah pudar untuk memastikan pengganas berkenaan gugur dari setiap inci permukaan bumi Malaysia.

Beliau yang pernah terlibat dengan operasi membanteras komunis di Raub, Pahang yakin pasukan keselamatan akan menumpaskan pengganas walaupun tidak menetapkan tempoh masa tertentu.

“Cuba lihat apa dilakukan oleh mereka ini, lebih kejam daripada komunis!” Nada suaranya teras menyatakan kepada kami dalam pertemuan di Felda Residen Sahabat, semalam.

Difahamkan, anggota keselamatan yang maut di Kampung Simunul, Semporna 2 Mac lalu dibunuh kejam.

Mereka yang terkorban adalah Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud di Kampung Tanduo.

Manakala di Semporna adalah Superintendan Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Micheal Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd

Azis Sarikon, Sarjan Salam Togiran dan Koperal Azrul Tukiran.

Dua lagi adalah Koperal Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Sg Nyamuk dan Koperal Ahmad Farhan Roslan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu - Cenderawasih.

Beliau berkata, gugurnya 10 wira negara dalam Op Daulat langsung tidak mematahkan semangat anak-anak buahnya dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami yakin dapat menyelesaikannya kerana kawasan pengganas telah dikepung pasukan keselamatan," katanya.

Sebelum ini, Hamza juga menegaskan, pihak berkuasa tidak sekali-kali mempercayai apa yang ditawarkan Azzumudie Kiram, katanya, “Sejak hari pertama kami tidak mempercayainya.”

Tuesday, March 19, 2013

Lahad Datu : Empat Pertempuran Berlaku Semalam


Lahad Datu - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu di sini semalam.

Tiada kecederaan dilapor dalam empat pertempuran antara 8.05 pagi hingga 5 petang itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, pasukan keselamatan turut menahan tiga lagi individu di Sandakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas, menjadikan jumlah tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini 107 orang.

“Segala laporan siasatan siap dan kesemua mereka akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi FELDA Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Hamza berkata, operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kawasan kubu pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini dan pihaknya percaya bilangan pengganas yang tinggal, kurang daripada 50 orang.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, pasukan keselamatan turut menggunakan 12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak dalam pelbagai bentuk muka bumi.

“Kami yakin dengan tahap mobiliti, daya perlindungan dan kemampuan kereta perisai kami dalam melancarkan Operasi Daulat,” katanya.

Krisis pencerobohan pengganas dari Sulu sejak 12 Februari lalu mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan manakala seorang anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika menyertai konvoi Operasi Daulat.

Seramai 62 pengganas ditembak mati dan 241 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi dan pelbagai kesalahan lain.

-Bernama

Monday, March 18, 2013

12 Kereta Perisai Berantai Tiba Di Lahad Datu


Seperti mana yang dijanjikan sebelum ini, Angkatan Tentera Di Raja Malaysia (ATM) hari ini membawa masuk kereta perisai berantai untuk mempertingkatkan kawalan dan kekuatan gempuran di sekitar kawasan Lahad Datu, Sabah.

Menurut Bernama, sebanyak 12 kereta perisai berantai sudah tiba di Felda Sahabat 16 bagi memperkukuhkan lagi Op Daulat di sana.

Sebelum ini, pasukan keselamatan menyatakan akan menambah aset dan anggota untuk menggempur pengganas yang menceroboh negera di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Februari lalu.


Menurut Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, langkah itu diambil untuk menguatkan pertahanan dan kawalan serta bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut dan di darat.

Selain itu, mereka turut menjanjikan akan membawa beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia yang akan dibuat secara peringkat-berperingkat.

Helikopter tentera darat telah pun tiba beberapa hari lalu.

“Pertambahan ini untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk menewaskan musuh,” katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas operasi Felda Sahabat 16, baru-baru ini.

Sunday, March 17, 2013

PM Lawat Keluarga Allahyarham Koperal Azrul

Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor beramah mesra bersama Sa'adiah Md Amin (kanan), ibu kepada Allahyarham Koperal Mohd. Azrul Tukiran ketika menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Rantau Panjang, Klang hari ini. Turut kelihatan bapa Allahyarham, Tukiran Ahmad (dua, kiri).

Koperal Azrul dalam kenangan...
Al-fatihah...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarah keluarga Koperal Mohd Azrul Tukiran, yang terkorban dalam insiden tembak-menembak di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lepas, di Kampung Rantau Panjang di sini.

Najib, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 sumbangan Yayasan Kelana Ehsan kepada keluarga Allahyarham.

Beliau dan isteri kemudian menghadiri Perhimpunan Barisan Nasional (BN) Pilihan Rakyat di Padang SMK Meru, kira-kira 25 kilometer dari kampung itu.

Sementara itu, bapa Mohd Azrul, Tukiran Ahamad berkata Perdana Menteri menasihatkan mereka sekeluarga supaya bersabar kerana perkara yang berlaku tidak diduga dan memberi jaminan akan memberikan segala bantuan yang dijanjikan.

Tukiran, yang melahirkan rasa terharu dan terima kasihnya atas kesudian Perdana Menteri berkunjung ke rumah mereka, turut berkata Najib juga bertanya berkaitan arwah dalam kunjunan singkat itu.

Sementara itu, ibu Mohd Azrul, Sa’diah Md Amin berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan menghalang jika ada anak dan cucunya yang berhasrat menyertai pasukan keselamatan.

Ini adalah kali kedua ibu bapa Mohd Azrul bertemu Perdana Menteri, pertama kali semasa menyambut ketibaan jenazah Allahyarham di Pangakalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada 4 Mac lepas.

Mohd Azrul dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau adalah antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap sekumpulan pengganas bersenjata di perkampungan air itu pada 8 malam 2 Mac lepas.

Sementara itu, penduduk kampung menamakan jalan masuk ke rumah keluarga Allahyarham sebagai ‘Jalan Wira Negara Koperal Azrul’.

Saturday, March 16, 2013

Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Diraja Siasat Pencerobohan Lahad Datu...


Kerajaan diminta mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, apabila suruhanjaya tersebut dibentuk, komposisinya perlu melibatkan semua pihak yang terdiri daripada golongan yang mempunyai integriti termasuk wakil daripada parti pembangkang, profesional dan pihak keselamatan.

"Dan penyiasatan yang dibuat oleh suruhanjaya ini mestilah dibuat secara terbuka seperti inkues di mahkamah kerana kita tidak mahu politikkan isu ini.

"Kita hanya hendak mencari kebenaran. Kalau ada dakwaan (mengenai) golongan ini, golongan itu terlibat, itu dakwaan. Bagi pandangan kita, yang penting adalah mendapatkan kebenaran berasaskan fakta dan maklumat yang boleh diterima oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Gerakan Rakyat Menolak Pengkhianat di hadapan Masjid Negara di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Turut hadir Mursyidul Am Gerakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Presiden GAPS Hamidzun Hamid.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas penubuhan Suruhanjaya Diraja, kerajaan boleh menyusulinya dengan kertas putih untuk memperincikan lagi dari segi hal-hal yang berkaitan dengan teknikal.

Ini kerana katanya, timbul persoalan apabila segelintir pihak bahawa kumpulan Sulu menceroboh Lahad Datu tetapi kerajaan mengambil masa tiga minggu untuk bertindak.

"Ada pihak mengatakan kononnya kerajaan lemah lambat bertindak. Jika kerajaan bertindak cepat, berlaku sesuatu yang tidak diingini, ada pihak antarabangsa atau pihak lain yang mengambil kesempatan akan menuduh kita zalim.

"Kita kena lihat senario secara fakta, maka sebab itu susulan kertas putih adalah penting bagi rakyat memahami," katanya.

Beliau menambah, timbul pelbagai persepsi mengenai insiden Lahad Datu maka ia perlu dijawab oleh pihak keselamatan dan mana-mana pihak supaya isu berkenaan tidak sepatutnya dipolitikkan atau disensasikan.

"Terserah kepada pihak yang dicadangkan (dalam Suruhanjaya Diraja) untuk menentukannya. Cuma kita mesti melakukan penerangan dan kesedaran untuk rakyat seluruh negara mengenai betapa pentingnya kita dengan pihak keselamatan dan kerajaan menjaga kedaulatan negara, serta menyeru rakyat untuk bersatu," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, mengenai dakwaan dalang di sebalik insiden Lahad Datu, terdapat plot-plot individu yang mempunyai kaitan dengan ketua pemberontak Filipina, Nur Misuari.

"Tetapi ia hanya sekadar plot-plot macam itu sahaja maka tiada yang konklusif. Tetapi yang tiada konklusif itu timbulkan persoalan maka kita perlu mendesak Suruhanjaya adakan kertas putih untuk menghilangkan sebarang keraguan yang pastinya akan timbul.

"Jika di luar daripada Suruhanjaya dan kertas putih, saya yakin pelbagai tohmahan dan tuduhan akan terus berlaku dan menimbulkan masalah," katanya sambil menambah bahawa gerakan yang menolak pengkhianat negara itu melibatkan lebih kurang 30 NGO dari seluruh negara.

Sebelumnya, ratusan orang awam berkumpul di hadapan Masjid Negara selepas selesai solat Jumaat bagi menggesa semua rakyat bersatu untuk mempertahankan kedaulatan negara berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Menurut Dr Hasan Ali setiap rakyat tanpa mengira bangsa perlu menjalinkan hubungan bersama dalam memberikan sokongan dalam usaha menjaga keamanan negara.

"Berilah sokongan tidak berbelah bahagi kepada anggota keselamatan yang memperjuang negara.

"Bagi pihak Jati yang memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu, kami tidak reda dengan apa yang berlaku...tidak reda dengan tindakan kumpulan pencerobohan yang mahu menjajah Sabah," katanya.

Mengenai dakwaan wujudnya dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu, beliau menggesa agar 'penyuntik kuman' yang menggugat kedaulatan negara dihapuskan dengan segera.

"Kita nyahkan individu-individu yang menyuntik kuman-kuman keganasan,pertempuran sesama sendiri dan membawa kepada perpecahan umat Islam.

"Jika ada pencuri masuk ke rumah kita, kita halau...tapi ada kumpulan yang menceroboh masuk ke negara kita. Mari kita sama-sama tentukan mereka dapat balasan sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru Datuk Zulkifli Nordin turut menyeru rakyat Malaysia supaya menjadikan peristiwa di Lahad Datu sebagai satu pengajaran dan bersama membangkitkan solidariti dalam mempertahankan negara.

"Kita sedang berdepan dengan keadaan yang mengancam kedaulatan negara ekoran pencerobohan di Lahad Datu. Jadikan peristiwa itu sebagai satu pengajaran kepada kita," ujar beliau.

-Agendadaily

Agbimuddin Kiram Sudah Lari Ke Filipina


Pihak berkuasa keselamatan negara yakin telah melumpuhkan kumpulan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, dengan ketua kumpulan itu dipercayai melarikan diri ke Filipina.

Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Semalam seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.

Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.

Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Op Daulat.

Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.

"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.

Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara yang sesuai.

Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.

Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka akan dihadapkan di mahkamah negara itu.

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.

Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis pencerobohan militan Sulu itu.

Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala sembilan anggota pasukan keselamatan cedera. - Bernama

Thursday, March 14, 2013

Lahad Datu: Polis Tahan Seorang Lelaki Bersenjata Pedang Samurai Dan Parang


Pasukan keselamatan telah mempertingkatkan lagi tahap kawalan keselamatan dengan memperbanyakan lagi sekatan-sekatan jalan raya. Pada jam 10.50 pagi tadi, semasa sekatan jalan raya di Tanjung Labian, pihak keselamatan telah menahan seorang lelaki bermotosikal. Hasil pemeriksaan, pihak keselamatan menjumpai satu bungkusan yang mengandungi 2 bilah pedang samurai dan 3 bilah parang. Lelaki tersebut telah ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Kawasan operasi masih dikepung oleh pihak keselamatan dan dinasihatkan kepada orang ramai serta pengamal media agar tidak memasuki kawasan operasi sehingga kawasan tersebut diistiharkan selamat.

Pihak Forensik PDRM sedang bekerjasama dengan pihak hospital untuk mengenal pasti identiti sebenar kesemua mayat penceroboh.

Sumber Facebook PDRM

Budaya Balas Dendam Mungkin Tragedi Berdarah Lahad Datu Berulang Lagi...


Budaya membalas dendam yang terpupuk dalam diri masyarakat di selatan Filipina sejak ratusan tahun dahulu memungkinkan tragedi berdarah di Lahad Datu berulang kembali pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau berkata pihak keselamatan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan negara dan inisiatif Kawasan Keselamatan Khas (ESSCOM) sepanjang kira-kira 1,400km di pantai timur Sabah merupakan antara langkah terbaik mengelakkan tragedi berdarah itu berulang kembali.

"Saya meletakkan keyakinan penuh kepada pasukan tentera dan polis kita dalam memastikan tragedi ini tidak berulang kembali, namun kebimbangan itu tetap ada kerana budaya membalas dendam ada dalam diri mereka (masyarakat itu).

"Budaya ini melibatkan keturunan juga masa ratusan tahun. Umpamanya bapa saya bergaduh dengan bapa seorang individu, kalau saya tak dapat balas dendam, cucu saya akan balas dendam kepada cucu individu itu," katanya kepada Bernama.

Anggota keselamatan Malaysia sehingga kini menembak mati 56 pengganas. Tragedi itu juga mengorbankan 10 anggota keselamatan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata budaya membalas dendam itu sehingga kini masih berlaku di selatan Filipina seperti pembakaran rumah berlaku setiap bulan dan tidak mustahil tragedi berdarah di Lahad Datu itu menyebabkan pengganas Sulu bertindak membalas dendam kepada Malaysia pada masa hadapan.

"Kalau itu berlaku di kalangan mereka tidak mustahil berlaku di negara kita. Bagaimana jaminan (tragedi itu tidak berulang) dapat dilakukan sedangkan mereka punyai budaya balas dendam.

Kerana itu pentingnya kita wujudkan ESSCOM bagi memastikan ini tidak berlaku," katanya.

Ditanya tentang rasional Malaysia bekerjasama dengan Filipina bagi mengambil tindakan ketenteraan di selatan Filipina bagi menghapuskan ancaman itu secara terus di puncanya, beliau berkata tindakan ketenteraan bukan penyelesaian kepada masalah itu.

"Pertama kalau kita masuk ke Filipina ke kawasan mereka, kita tidak hormati kedaulatan Filipina, begitu juga sebaliknya dengan kita di Malaysia. Jadi kedaulatan kedua-dua negara ini perlu dihormati.

"Kedua kita berbalik kepada budaya membalas dendam itu sendiri. Jika kita minta kerajaan Filipina bersama kita bersihkan kawasan itu, oleh kerana budaya dendam itu sentiasa ada, masalah tidak dapat diselesaikan dengan tindakan ketenteraan," katanya.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Filipina kerana sentiasa bekerjasama erat dengan Malaysia dalam menyelesaikan tragedi itu serta memastikannya tidak berulang kembali seperti usaha menyekat pengganas Sulu daripada memasuki Malaysia.

Terdapat cadangan di kalangan rakyat Malaysia supaya pemimpin pengganas itu Jamalul Kiram diekstradisi ke Malaysia bagi didakwa di mahkamah negara ini, dan mengulas cadangan itu beliau berkata atas nama kebersamaan negara Asean, Malaysia boleh meminta Filipina untuk berbuat demikian.

"Kita pernah hantar Nur Misuari (pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) ke Filipina atas semangat Asean. Oleh demikian kalau Jamalul Kiram boleh ditahan dan diambil tindakan itulah sebaiknya.

"Jamalul Kiram rakyat Filipina tetapi jenayah dilakukan di Malaysia, jadi atas nama kebersamaan sebagai negara Asean kita boleh meminta Filipina bawa beliau bagi didakwa di Malaysia. Namun itu bukan atas kuasa Kementerian Pertahanan, Jabatan Peguam Negara kendalikan," katanya.

Beliau berkata ada kewajaran terdapat cadangan daripada Pergerakan Pemuda Umno bagi mendakwa Jamalul Kiram dan pengikutnya mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Mungkin akta dan seksyen itu sesuai tetapi kita serahkan kepada Peguam Negara akta mana paling sesuai digunakan. Apapun saya tegaskan pengganas yang kita tahan di Malaysia itu akan diambil tindakan perundangan sewajarnya.

"Kesalahan mereka itu dilakukan di negara kita jadi tindakan mahkamah dan perundangan mesti dilakukan di negara kita. Ia akan tertakluk kepada undang-undang di sini, kita menggangap mereka adalah penceroboh," kata Ahmad Zahid.

Sehingga kini 156 orang ditahan kerana berada di zon merah operasi manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan.

Beliau turut ditanya tentang golongan tegar pembangkang yang hanya mempercayai fitnah dan tohmahan dilempar pemimpin pembangkang dan langsung tidak mempercayai maklumat disalurkan kerajaan tentang insiden itu.

Ahmad Zahid menegaskan masalah yang dihadapi di Lahad Datu sekarang bukan masalah politik sebaliknya masalah keselamatan negara dan seharusnya isu pertahanan negara tidak dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.

"Ini merupakan hasil proses mentaksubkan pengikut yang hebat dilakukan pembangkang, budaya kebencian disemai di kalangan penyokong tegar mereka. Apa sahaja dibuat oleh kerajaan satu pun tidak positif.

"Saya harap mereka hormati profesionalisme Polis Diraja malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kalau mereka kata ATM atau PDRM tak sekuat mana, silakan ke Lahad Datu lihat sendiri. Saya bawa jika benar mereka ada semangat patriotik. Sehingga sekarang tiada seorang pun (ingin ke Lahad Datu)," katanya.

Klip Video Tali Barut Bersama Komander Musa Didedahkan


Sebelum ini kami menyiarkan dua keping gambar memperlihatkan Jeneral Musa, orang nombor dua pengganas di Lahad Datu bersama seorang tali barut wagra tempatan.

Berikut adalah klip memperlihatkan secara lengkap pertemuan lelaki itu dengan Musa.

Dikatakan lelaki tersebut adalah antara mereka yang bertemu Jeneral Musa sewaktu pasukan pengganas mula-mula mendarat di Kampung Tanduo, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu.

Namun tidak diketahui nasibnya sehingga sekarang, sama ada telah terbunuh atau masih lagi bersembunyi di sekitar kampung tersebut.

Untuk melihat klip video tersebut sila klik di sini...

Wednesday, March 13, 2013

Agbimuddin Kiram Dipercayai Masih Bersembunyi di Tanjung Batu


Lahad Datu: Agbimuddin Kiram yang mengetuai pengganas Sulu dipercayai masih bersembunyi bersama anak buahnya di sekitar Tanjung Batu dan beberapa kampung sekitar FELDA Sahabat 18, dekat sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata Agbimuddin dipercayai berusaha melepasi kepungan pasukan keselamatan tetapi diyakini tidak akan mampu berbuat demikian berikutan kepungan ketat di darat dan laut oleh pasukan keselamatan. Beliau berkata demikian pada sidang media, di FELDA Sahabat 16, sebentar tadi

Ratusan Penduduk Kampung Tunggu Ketibaan Jenazah Ahmad Hurairah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan bacaan doa ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, Rabu. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tiga, kanan) dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (dua, kiri). -foto Bernama


Pasir Mas - Ratusan penduduk kampung termasuk saudara-mara mula berkumpul di rumah Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail, 24, di Bayu Lalang di sini pagi ini.

Mereka menunggu ketibaan jenazah Allahyarham yang gugur dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang, hari ini.

Foto Utusan

Jenazah dua anggota tentera gugur di Lahad Datu tiba di Pangkalan TUDM Subang

Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Pesawat C-130 milik TUDM yang membawa jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, mendarat sejurus sebelum 8 pagi.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Ahmad Farhan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah.

Najib dan Ahmad Zahid memasuki pesawat dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu. Allahyarham Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Feb.

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada 10.45 pagi semalam yang turut menyaksikan seorang lagi perajurit cedera dan dua musuh terbunuh.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati.

Lahad Datu: Foto Jeneral Musa Dan Talibarut Ditemui Dalam Telefon Bimbit Pengganas



Berikut adalah laporan dari wartawan Mynewshub.my yang membuat liputan dari Lahad Datu...

KAMI baru memperoleh dua keping gambar yang dipercayai wajah sebenar pemimpin kanan pengganas militan Sulu, ‘Jeneral’ Musa dan sekeping gambar salah seorang tali barut yang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Untuk pengetahuan anda, pasukan keselamatan telah mengeluarkan 23 mayat pengganas setakat ini di kawasan Kampung Tanjung Batu, salah sebuah kampung yang menyaksikan pertempuran sengit antara pasukan pengganas dan pasukan keselamatan.

Satu daripada 23 mayat itu telah disahkan Ketua Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib sebagai ‘Jeneral’ Musa yang mati dalam pertempuran di kampung berkenaan.


Sekeping gambar lagi yang kami peroleh adalah wajah salah seorang tali barut yang dikatakan pernah bekerja membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.

Dikatakan lelaki tersebut adalah antara mereka yang bertemu ‘Jeneral’ Musa sewaktu pasukan pengganas mula-mula mendarat di Kampung Tanduo, tidak jauh dari Kampung Tanjung Batu.

Namun tidak diketahui nasibnya sehingga sekarang, sama ada telah terbunuh atau masih lagi bersembunyi di sekitar kampung tersebut.

Hari kelapan Operasi Daulat semalam menyaksikan dua orang lagi anggota tentera terkorban, seorang dalam pertempuran dan seorang lagi terbunuh apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.

Nota: Dua keping gambar di atas dipercayai sewaktu ‘Jeneral’ Musa memaikan beret kepada tali barut berkenaan ketika hari-hari awal ketibaan komander pengganas itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Selepas 48 Jam Tenang, Pasukan Keselamatan Kembali Bertempur


Selepas lebih 48 jam tenang tanpa sebarang pertempuran, bumi Lahad Datu yang menjadi lokasi pencerobohan kumpulan militan bersenjata Sulu kembali menumpahkan darah hari ini.

Operasi membanteras, menggeledah dan pembersihan militan yang memasuki hari kelapan hari ini (semalam) menyaksikan seorang anggota keselamatan terkorban, kematian pertama dialami pasukan tentera sejak Operasi Daulat dilancar Selasa lalu.

Kejadian di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu itu terjadi selepas pasukan keselamatan yang sedang melakukan operasi pembersihan bertembung dengan sekumpulan musuh yang bertindak melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

“Dalam pertempuran itu dua musuh berjaya dibunuh, malangnya seorang anggota kita turut gugur dan seorang lagi cedera,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dalam sidang media pada 8 malam.

Hari kelapan Operasi Daulat juga menyaksikan seorang lagi anggota tentera terkorban apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad Datu-Cenderawasih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 anggota keselamatan maut sejak tragedi pencerobohan 12 Feb lepas.

Di sebalik rasa hiba, ada juga berita menggembirakan diterima selepas tragedi pendaratan pengganas di Kampung Tanduo yang genap sebulan hari ini – kampung tersebut diisytiharkan bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas militan.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang mengumumkan perkara itu berkata operasi pembersihan pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Labian.

Sehingga sidang akhbar itu, polis mengesahkan 56 orang kumpulan militan ditembak mati dengan 24 mayat berjaya dikeluarkan, manakala 97 orang ditahan disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas dan 196 orang lagi ditahan kerana memasuki kawasan larangan.

Sementara itu pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna yang ditahan bakal berdepan tindakan undang-undang selepas polis membuka dua kertas siasatan berhubung pencerobohan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bentuk tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas itu akan ditentukan selepas dibincangkan bersama Peguam Negara.

Dalam pada itu, nasib penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas turut diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan apabila mengumumkan tiga bantuan khas bagi Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.

Bantuan meliputi pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat ke kawasan tragedi itu hari ini.

Kesemua bantuan itu hanya akan diberi kepada penduduk yang memiliki kad pengenalan dan dokumen kelahiran yang sah sebagai warganegara ini.

“Bagi kesemua bantuan itu, penduduk perlu mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung, pemimpin setempat dan pihak berkuasa bagi menentukan mereka merupakan penduduk yang terjejas dalam Operasi Daulat,” kata Muhyiddin.

Selain dua anggota tentera yang terkorban hari ini, krisis pencerobohan itu turut meragut nyawa lapan anggota polis yang terbabit dalam serangan hendap pengganas, iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna sehari selepas itu.

-Bernama

Tuesday, March 12, 2013

Dua Tentera Terbunuh Dalam Pertempuran Dan Kemalangan


Seorang anggota tentera meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lahad Datu hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata kejadian berlaku apabila lori tentera yang dipandu oleh mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan dari Lahad Datu ke bandar Cenderawasih.

“Anggota tentera tersebut mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu,” kata Hamza.

Dalam perkembangan yang lain, Hamza mengesahkan dua pengganas ditembak mati dalam pertempuran pagi tadi yang turut mengorbankan seorang anggota tentera.

“Dalam pertempuran itu, kita percaya tiga pengganas telah ditembak namun, hanya dua mayat yang ditemui ditempat kejadian manakala seorang lagi dipercayai mengalami kecederaan dan berjaya melarikan diri dari kawasan tersebut,” kata Hamza.

Anggota tentera berumur 24 tahun itu maut setelah mengalami cedera parah akibat ditembak pengganas di pipi.

Dalam operasi ‘mopping-out’ dan penggeledahan di Sungai Nyamuk di Tanjung Batu itu, pasukan keselamatan bertempur sebanyak dua kali antara jam 9 pagi dan 1.50 petang.

“Usaha untuk membawa keluar mayat-mayat pengganas terpaksa dihentikan seketika apabila pertempuran itu berlaku dan sehingga kini hanya 24 dari 56 mayat pengganas yang ditembak mati berjaya dibawa keluar dari kawasan operasi,” beliau berkata.

Lahad Datu: Pengganas Bersembunyi Di Sungai Nyamuk


Lahad Datu - Seorang anggota pasukan tentera terkorban dan tiga penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu di sini hari ini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan itu berlaku pada 10.45 pagi. "Seorang anggota keselamatan gugur," katanya.

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas itu pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Sehingga kini sembilan anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan itu manakala 57 penceroboh militan ditembak mati.

Zulkifeli berkata Kampung Tanduo kini telah bersih sepenuhnya daripada ancaman penceroboh militan dan operasi pasukan keselamatan kini diperluas ke Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu.

-Bernama

Lahad Datu: Seorang Anggota Tentera Terbunuh


Lahad Datu: Seorang anggota tentera terkorban manakala tiga pengganas sulu ditembak mati dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di sini, kira-kira pukul 10.45 pagi Selasa.

Perkara itu disahkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika sidang media pada petang Selasa.

Hingga kini jumlah anggota keselamatan yang terkorban dalam Op Daulat ialah sembilan orang.

Sebelum ini seramai lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac. -Mstar

15 Pengganas Sulu Ditembak Di Kg. Tanduo 1 Mac Lalu


Lahad Datu - Pasukan keselamatan percaya 15 anggota penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanduo 1 Mac lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata sehubungan itu polis akan memeriksa semula kawasan kubur yang ditemui di kampung itu pada 6 Mac, yang turut menyaksikan polis menemui 12 mayat penceroboh.

"Sebelum ini kami jumpa sembilan mayat di dalam sebuah kubur dan berdasarkan maklumat baru itu, kami percaya terdapat kubur lain di kawasan itu," katanya pada sidang akhbar pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak akan mengeluarkan mayat-mayat di dalam kubur itu kerana ia telah mereput.

Sementara itu, Hamza berkata pasukan keselamatan mengeluarkan satu lagi mayat dari Kampung Tanjung Batu semalam, menjadikan 23 jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan setakat ini.

"Saya juga sahkan satu daripada 23 mayat itu ialah seorang jeneral dikenali sebagai Musa yang mati dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu," katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Tumpuan Operasi Daulat yang masuk hari kelapan hari ini ialah Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat untuk membanteras kumpulan pengganas militan yang berkubu di Kampung Tanduo sejak 12 Feb lepas.

Sejak insiden pencerobohan pengganas itu, lima anggota polis cedera manakala lapan lagi terkorban iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac.

-Bernama