MUMBAI 29 Nov. - Pasukan komando India hari ini berjaya menumpaskan kumpulan militan yang menawan hotel Taj Mahal Palace, di sini, selepas berlaku pertempuran sengit dengan kumpulan berkenaan.
Pertempuran itu berakhir pada kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) selepas baki tiga anggota militan itu terbunuh di dalam hotel itu, kira-kira 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan dan melakukan serangan di sembilan lokasi strategik lain di bandar raya ini sejak hari Rabu.
Pasukan komando berjaya menyelamatkan seramai 610 orang dari dua hotel mewah dan sebuah pusat Yahudi di Mumbai, yang ditawan militan.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, M.L. Kumawat berkata, pasukan elit itu berjaya membawa keluar 300 orang dari Hotel Taj Mahal.
Sementara itu, 250 orang diselamatkan di Hotel Triden Oberoi dan 12 keluarga terdiri daripada 60 orang dibawa keluar dari pusat Yahudi.
Semalam dua anggota kumpulan militan itu terbunuh di dalam hotel itu.
Setakat ini, 12 anggota militan terbunuh dalam misi menyelamat itu, manakala di pihak pasukan keselamatan India, 2 anggota komando terbunuh dalam serbuan yang dimulakan semalam.
Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu sejak petang Rabu.
Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.
"Kami tidak boleh lagi mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam (hotel) dan penembak tepat kami sedang melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.
"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata Ketua Pengarah Pengawal Keselamatan Keangsaan (NSG), JK Dutt kepada media selepas tamat operasi itu, hari ini.
Beliau berkata, komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.
Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.
Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir serbuan, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya.
Hotel itu mengalami kerosakan teruk.
Seramai 195 orang terkorban dalam serangan oleh kumpulan militan di Mumbai pada petang Rabu lalu termasuk 22 warga asing, manakala hampir 295 yang lain cedera.
- Agensi