Monday, July 1, 2013

Pas boikot PRK Kuala Besut?


Adakah Pas akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng?

Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti.

Menurut Mustafa, parti itu akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

“Pimpinan Pakatan kena berbincang dahulu betul-betul kalau hendak memboikot (PRK DUN Kuala Besut), apa-apa keputusan perlu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor hari ini mencadangkan Pas untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Kuala Besut menyaksikan kekosongan selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Menurut Mustafa, biarpun cadangan untuk memboikot dikemukakan, Pas akan tetap membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

“Bagi Pas, kita akan tetap membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, itu tanggungjawab kita dengan dibantu rakan-rakan parti pakatan," katanya.

-Utusan

Friday, June 28, 2013

Ketua Wanita Umno: Azalina Cabar Shahrizat


Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Menurut akhbar The Star, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang ketika dihubungi, berkata: "Ya, saya berminat untuk bertanding. Saya telah membuat keputusan."

Akhbar itu melaporkan Shahrizat juga mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita yang dimenangi beliau pada tahun 2009 selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat, dengan kerjaya politiknya yang terjejas oleh skandal Pusat Fidlot Nasional atau NFC tahun lalu, berkata keputusan beliau berdasarkan galakan dan sokongan daripada sayap wanita.

Persaingan antara kedua-dua wanita itu mungkin akan diberikan perhatian dalam pemilihan parti berikutan ia melibatkan dua personaliti besar dan berkepentingan.

Shahrizat berada dalam Kabinet selama 11 tahun dan merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum didesak untuk meletak jawatan pada Mac tahun lalu.

Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum dan walaupun masalah melanda beliau, sayap wanita itu terus berdiri di bawah pimpinan beliau seperti yang dibuktikan semasa perhimpunan secara besar-besaran di peringkat akar umbi Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika kemuncak skandal itu.

Ditanya sama ada beliau mempunyai pesaing yang akan bertanding dalam jawatan itu, beliau berkata, beliau akan berbincang dengan penyokong beliau.

Beliau juga berkata, beliau belum lagi bertemu dengan Pengerusi Umno, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Azalina, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen wanita menawarkan dirinya sebagai ejen perubahan untuk Wanita Umno.

Beliau berkata, generasi baru wanita Melayu telah muncul dalam Umno dan mereka boleh membantu membuatkan sayap wanita itu lebih menarik dan relevan dengan landskap politik baru.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil:

Tarikh lahir: 15 Ogos 1953

Pada masa ini merupakan Ketua Wanita Umno, dan merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari 1995 sehingga 2008. Senator dari 2008 sehingga 2012.

Pernah terbabit dalam kontroversi yang melanda ahli keluarganya yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dalam skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Isteri kepada Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan memperoleh tiga anak.

Datuk Seri Azalina Othman Said:

Tarikh lahir: 31 Disember 1963

Merupakan Ketua Puteri Umno dari 2002 sehingga 2004.

Ahli Parlimen Pengerang dari 2004.

Merupakan pemegang tali pinggang hitam taekwondo.

22 Pengganas Lahad Datu Berdepan Hukuman Mati


MO,KOTA KINABALU – Seramai 22 orang termasuk komander kumpulan pengganas Kiram berpangkat ‘Jeneral’, Datu Amirbahar Hushin Kiram berhadapan hukuman mati kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan semasa prosiding sebutan semula bagi merekodkan pengakuan mereka di Mahkamah Tinggi di sini,semalam.

Sebelum ini, mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Tawau serta Mahkamah Tinggi Tawau tetapi tanpa merekodkan pengakuan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 9 Februari dan 19 April lalu di Kampung Tanduo, Ladang Atlas 2, Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu; Kampung Muanad Beluran; Kampung Perigi, Simunul, Bakau, Jalan Lihak-Lihak, Semporna dan Kampung Madai, Kunak.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Datu Amirbahar, Basad H. Manuel, Salib Akhmad Emali, Mohamad Ali Ahmad, Pabblo Alie, Abd. Hadi Mawan, Atik Hussin Abu Bakar, Dani Ismail, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Basil Samiul, Rizman Gulan, Abdul Majil Jubin, Rijmal Salleh, Julham Rashid, Tani Lahad Dahi, Al Wazir Osman@Abdul, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Ismail Yasin dan Binhar Salib Akhmad.

Kesemua mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan antara tarikh dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama iaitu jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup dan denda.

Salib Akhmad turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas baharu dan melindungi kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 9 Februari dan 25 Februari lalu di Ladang Atlas 2, Jalan Ulu Tungku, Lahad Datu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 130E dan Seksyen 130K kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda serta penjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda bagi kesalahan keempat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di hadapan Hakim, P. Ravinthran.

Jumlah kesemua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah hari ini ialah 29 orang termasuk seorang wanita dan seorang lelaki yang berkerusi roda, manakala seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili tidak hadir ke mahkamah kerana sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Mereka dibawa ke mahkamah dengan tiga buah trak dengan kawalan ketat pihak polis, iaitu setiap seorang daripada mereka diiringi anggota Unit Tindakan Khas lengkap bersenjata.

Daripada 29 tertuduh itu, 12 daripadanya dipakaikan jaket strip sebagai langkah keselamatan, malah terdapat juga sebahagian daripada mereka dipakaikan penutup kepala semasa dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Tertuduh wanita, Norhaida Ibnahi dituduh melindungi kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukannya antara 9 Februari dan 22 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Sementara Kadir Uyung dan Lating Tiong dikatakan turut melakukan kesalahan sama pada 4 Mac lalu, pukul 4.30 petang di hadapan Pos Pasukan Gerakan Am Tanjung Labian.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130K kanun sama, tetapi bagi dua lelaki itu hukumannya dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan Norhaida boleh dipenjara seumur hidup dan denda atau penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sementara Kadir dan Lating jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan denda.

Bagi tiga lagi tertuduh, Timhar Hadir, Holland Kalbi dan Lin Mad Salleh, mereka dituduh menganggotai kumpulan pengganas yang dikatakan dilakukan mereka antara 9 Februari dan 4 Mac lalu di Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 12 Julai ini di Mahkamah Tinggi Tawau untuk merekodkan pengakuan tertuduh yang tidak hadir hari ini, Habil dan 15 Julai ini untuk pengurusan kes bagi menentukan lokasi dan tarikh bersesuaian untuk perbicaraan kesemua tertuduh yang akan dijalankan secara bersama. – Utusan

KBS Anjur Program Belia Lebih Segar, Terkini - Khairy


Kementerian Belia dan Sukan menjalankan kajian bagi memperkemas dan menjadikan program belia anjuran kementerian itu lebih segar dan terkini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata antara yang akan diberi tumpuan ialah program berkaitan perkembangan kerohanian dan minda seperti akvititi debat dan perbincangan isu semasa.

"Begitu juga dengan golongan belia yang meminati ceramah agama terutamanya membabitkan golongan ustaz selebriti, jadi kita akan bekerjasama dengan pendakwah berkenaan," katanya pada sidang media selepas melawat Jabatan Belia dan Sukan Selangor di Kompleks Rakan Muda Klang di Sementa dekat Klang.

Khairy berkata kajian yang juga membabitkan penjenamaan semula program belia itu akan berlangsung sehinga 2015 dan pelaksanaan program baharu dijangka bermula secara berperingkat, menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, kajian membabitkan penilaian semula selain menerapkan latihan kepimpinan dan sahsiah dalam kalangan remaja.

"Selain itu, program yang dijalankan bersama persatuan belia akan diteruskan seperti futsal, seni mempertahankan diri, sembang belia dan sembang mahasiswa kerana mendapat sambutan yang amat baik," katanya.

Mengulas aktiviti dan program belia di Selangor, Khairy berkata beberapa program akan diberikan nafas baharu dan tumpuan memandangkan negeri itu mempunyai pasaran besar untuk para belia terutamanya dalam bidang keusahawanan.-Bernama

Thursday, June 27, 2013

Politik Perkauman - DAP Mahu Tutup Pasar Ramadan!


Sikap perkauman DAP semakin terserlah hari ini apabila Ketua Publisiti parti itu, Tony Pua mencadangkan pasar Ramadan juga ditutup kerana didakwanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, jika benar alasan kerajaan negeri bahawa keputusan untuk menutup pasar malam pelancong Jonker Walk di Kota Melaka kerana mahu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang melampau, maka tindakan yang sama perlu diambil ke atas Pasar Ramadan.

"Saya rasakan kalau-kalau satu pasar malam mahupun pasar tani ataupun pasar Ramadan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas, maka semua pasar-pasar, semua pasar tani di Melaka atau mana-mana negeri perlu dibatalkan secara langsung.

"Kenapa tutup saja di Jonker Walk? Saya rasa semua tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri ini adalah tindakan politik yang langsung tidak mengambil kira keperluan rakyat di Malaysia. Ia hanya mengambil kepentingan politik Umno," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau selain itu turut menggesa penutupan Jonker Walk itu dibatalkan dengan serta merta.

Kemelut itu timbul apabila akhbar berbahasa Cina Kwong Wah Daily hari Isnin lalu melaporkan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron sebagai berkata, mesyuarat anggota exco pada 12 Jun lalu memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat.

Bagaimanapun Idris telah menafikan laporan itu. Katanya, keputusan yang diambil pada mesyuarat exco itu adalah untuk membuka semula jalan raya yang ditutup kerana kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada pengguna berhubung kesesakan teruk di sekitar laluan masuk ke bandar raya Melaka berhampiran Jonker Walk setiap hujung minggu.

"Ada pengguna mendakwa untuk sampai ke bandar raya Melaka dari Plaza Tol Ayer Keroh memakan masa sehingga empat jam," katanya.

Perkara itu bertambah kusut apabila sebuah portal mesra pembangkang memetik ADUN Kesidang, Chin Choong Seong bahawa penutupan Jonker Walk adalah 'pembalasan' kepada pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

-AntaraPos

PRK Besut Dijangkakan Pada Bulan Puasa?


Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

Pilihanraya Kecil (PRK) ini juga amat penting kepada Barisan Nasional (BN) yang dapat membentuk kerajaan negeri Terengganu hanya dengan kelebihan dua kerusi.

Pada PRU ke 13 baru-baru ini, BN memperolehi 17 kerusi sementara PAS mendapat 14 dan PKR satu kerusi.

Andai kata BN gagal mempertahan kemenangan pada PRK nanti dan PAS memenanginya, kedudukan kerajaan BN di Terengganu akan tergugat dengan masing-masing BN dan pembangkang mempunyai 16 kerusi.

Justeru itu jika PRU 13 dianggap sesetengah pihak ‘ibu pilihanraya’, PRK Kuala Besut juga sama hebat dan penuh cabaran.

Sekiranya SPR mahu mengadakan PRK selepas Hari Raya Puasa, penamaan calon dijangka 15 Ogos – seminggu selepas Aidil Fitri manakala pengundian pada 25 Ogos.

Namun, ada kemungkinan PRK Kuala Besut diadakan lebih awal iaitu penamaan calon pada 5 Julai dan pengundian ditetapkan 14 Julai.

Ini bermakna kempen PRK berlangsung sebelum dan dalam bulan puasa yang dijangka bermula 10 Julai.

Wednesday, June 26, 2013

PM Bagi Syarat Untuk 'Perdamaian Nasional'... Terima Keputusan PRU13 Dulu


Sidang Dewan Rakyat yang bermula pagi Rabu menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak lipat balik puak pembangkang yang cakap banyak cuba mempersoalkan usaha 'perdamaian nasional' yang dijanjikan kerajaan selepas pilihanraya umum ke 13.

Perdana Menteri tampil sebagai orang pertama jawab dua soalan semasa pada sesi soal jawab ketika sidang bermula jam 10 pagi.Soalan pertama dari Ahli Parlimen BN Mersing,Datuk Dr Latif Ahmad manakala soalan kedua dari Ahli Parlimen DAP Gelang Patah,Lim Kit Siang.

Dalam soalan tambahan dari soalan Kit Siang,Ahli Parlimen PKR Gombak Azmin Ali dan Ahli Parlimen DAP Beruas,Ngeh Ko Ham  serta Karpal Singh DAP Bukit Gelugor mereka cuba menekan beliau mengenai usaha perdamaian nasional.

Azmin misalnya mempertikaikan kenyataanya beliau mengenai 'tsunami cina' dan laporan Utusan Malaysia mengenai 'apa lagi cina mahu' yang didakwa tidak menepati hasrat itu.

Ngeh pula mahu kerajaan benarkan wakil rakyat pembangkang dibenarkan adakan program seperti di sekolah dan lain-lain.Beliau juga mahu tandatangani surat sokongan wakil rakyat pembangkang 'laku'.

Hadir sama dalam dewan masa itu ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri nampak steady saja sejak jawab soalan pertama dari Dr Latif yang ingin tahu apakah kerajaan nak bertindak terhadap mereka yang mengunakan perkataan ' rakyat' dalam membuat berbagai gelagat negatif sejak PRU13.

Mengenai isu perdamaian nasional yang cuba diperlekehkan,Najib menyimpulkan situasinya bahawa pembangkang juga harus berusaha kearah itu dan tidak hanya desak kerajaan jayakannya.

Beliau menegaskan langkah utama kearah itu ialah mereka wajib terima keputusan PRU13 sebagai keputusan yang muktamad.

Katanya ini kerana pilihanraya itu dijalakankan menurut perlembagaan negara,mengikut peraturan pilihanraya dan sekiranya ada apa yang tidak puashati ada saluran untuk petisyen di mahkamah.

Najib jelas merujuk kepada tindak tanduk pembangkang yang terus menerus buat macam-macam hal termasuk perhimpunan haram membantah keputusan PRU13 sedangkan waktu sama mahu perdamaian nasional dicapai.

Beliau juga membangkitkan mengenai 'pelik' sikap mereka dalam membantah keputusan PRU13 kerana masing-masing sudah angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada hari Isnin.

Baginya di satu pihak mereka terima keputusan di kawasan masing-masing dengan angkat sumpah dan di satu pihak lain membantah.

Beliau mengingatkan kalau pembangkang boleh menegur kerajaan maka kerajaan juga boleh menegur pembangkang.

"Kalau kita tegur menegur dan terus berbalah sampai bila pun tak akan capai perdamaian nasional.Kalau nak mulakan proses ini pokoknya terima keputusan PRU13,"katanya.

Perdana Menteri berkata untuk capai perdamaian nasional ,kerajaan ada cadangan untuk tubuh majlis konsultasi nasional mengenai perpaduan.

Katanya tiga perkara penting dijadikan agenda pada majlis itui ialah bagaimana nak tangani polarisasi kaum dalam aspek yang luas,bagaimana nak pupuk keharmonian antara agama dan bagaimana dasar-dasar boleh bersifat inklusif dari segi sosial serta lain.

Beliau menjelaskan kerajaan bersikap terbuka untuk menjemput semua pihak mewakili pelbagai pihak termasuk pembangkang untuk rumuskan yang terbaik untuk negara.

Jawab soalan tambahan dari dari Ahli Parlimen BN Kalabakan,Sabah,Datuk Ghafur Saleh,Perdana Menteri menegaskan kerajaan tetap berpegang kepada undang-undang negara dalam menghadapi tindak tanduk bantahan pembangkang pada keputusan PRU13.

Katanya benarkan perhimpunan aman tetapi mereka hendaklah patuhi Akta Perhimpunan Aman.

Kepada soalan tambahan Ngeh...Najib selamba tibai balik pembangkang tidak perlu timbulkan kes-kes secara spesifik ( untuk dakwa kerajaan tak ada semangat untuk perdamaian nasional).

Katanya jika begitu kerajaan pun boleh bangkitkan banyak perkara mengenai pelbagai gelagat pembangkang seperti ucapan pemimpin pembangkang di luar negara, apa yang disiarkan dalam Youtube dan sebagainya.

"Terima keputusan PRU13 dulu...lepas itu kita boleh bincang",katanya.

Kepada soalan tambahan Azmin,Perdana Menteri patahkannya dengan mempersoalkan tentang beberapa dakwaan seperti 40,000 orang Bangla yang didakwa jadi pengundi hantu.

Katanya sampai hari ini ia tidak dapat dibuktikan.

Jawab soalan tambahan Karpal ..Najib berkata kerajaan tidak takut pada istilah ' Malaysia Spring'.

Sebelum itu menjawab soalan tambahan dari Dr Latif semasa peringkat awal,Perdana Menteri kata kerajaan sedia timbang pendaftaran secara otomatik pengundi.

Namun katanya adalah tidak praktikal kerajaan mengadakan peraturan mewajbkan mengundi semasa pilihanraya.-Agendadaily

Adun BN Kuala Besut Meninggal Dunia


Al-fatihah.... YB Dr A Rahman, Adun BN dari Kuala Besut meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Terengganu, jam 10:18 pagi kerana sakit paru-paru.

Takziah kepada keluarga allahyarham….

Tuesday, June 25, 2013

Cukuplah.... Jangan Diperbodohkan Oleh Anwar Lagi....


Rakyat berhimpun di luar sanggup berjalan buat demonstrasi, tapi pemimpin mereka angkat sumpah juga. Di sini nampak cara mereka mengelirukan rakyat dan cara 'double standard' puak pembangkang.

Semalam di luar bangunan Parlimen, hampir 200 penyokong pembangkang yang terpengaruh dengan hasutan pemimpin mereka dengan membuat demonstrasi membantah supaya pilihan raya diadakan semula.

Pada masa yang sama, mereka juga merayu wakil rakyat mereka (PR) supaya tidak mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Namun semua itu tidak diendahkan.


Sedarlah wahai penyokong PR jangan jadi alat untuk kepentingan politik mereka!

Korang kat luar sedut jerebu, merusuh tak tentu pasal, Anwar Ibrahim duduk dalam air-cond menjamu selera dengan senang hati. Elok lah tu....

Kita ada tugas masing-masing yang perlu kita jalankan untuk masa depan anak-anak dan keluarga kita. Janganlah buang masa kita kerana politik 'cakap tak serupa bikin' seperti ini.

Cukup! Cukup lah.... jangan diperbodohkan oleh Anwar Ibrahim lagi........

Monday, June 24, 2013

Jerebu: Khairy Turun Padang Edar Topeng Muka Kepada Orang Ramai...


Sekitar jam 4:30 petang tadi YB Ketua Pemuda UMNO, Khairy jamaluddin berada di KL Sentral dalam gerak kerja Pemuda UMNO mengagihkan topeng muka secara percuma kepada orang ramai di kala negara sedang dilanda jerebu.


Dibawah adalah petikan dari FB KJ https://www.facebook.com/Khairykj

Terima kasih kepada jentera dan sukarelawan dari Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Sektretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO dan BN Youth Volunteers (BNYV) kerana telah membantu mengedarkan hampir 40 ribu 'face mask' hari ini di beberapa lokasi di Lembah Kelang dan Seremban.

Walaupun tidak dapat bekalkan topeng N95 sebab mengalami kekurangan di pasaran, kami telah mengedar jenis 'face mask' yang dapat dicari pada masa yang singkat yang juga dapat memberi perlindungan kepada orang ramai daripada kesan jerebu.

Saya juga telah mengarahkan Pemuda UMNO di negeri-negeri lain yang dilanda jerebu untuk melaksanakan pengedaran topeng di tempat masing-masing. Saya telah minta Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia untuk berunding dengan pembuat topeng ini supaya dapat diberi lebih banyak lagi secara percuma. Tadi, apabila saya bersama sukarelawan BNYV di KL Sentral, saya melihat ramai lagi yang tidak ada 'face mask' untuk melindungi diri dari kesan buruk jerebu.

Pagi tadi, rombongan Pemuda UMNO yang diketuai Setiausaha Pemuda telah menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Indonesia mengenai masalah jerebu. Antara lain kami telah minta mereka bertindak dengan lebih berkesan menangani masalah ini. Saya rasa amat tidak wajar pihak pemerintah Indonesia hanya menuding jari kepada orang lain. Contoh, mereka menuduh syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat sebagai pemilik kepada ladang-landang yang sedang dibakar. Pertama, tuduhan itu dibuat tanpa bukti. Malah ada syarikat-syarikat kita yang telah menafikan tuduhan tersebut. Kedua, kalau pun betul syarikat Malaysia terlibat, DO SOMETHING ABOUT IT. Jangan cakap sahaja. Mereka melakukan kesalahan di Indonesia.

Kuatkuasakan undang-undang anda! Kami rakyat Malaysia tidak akan simpati dengan syarikat Malaysia sekiranya mereka salah dan pemerintah Indonesia mengambil tindakan terhadapnya. Yang penting kita mahu semangat kejiranan ASEAN diterjemahkan sekarang dalam bentuk kerjasama dan tindakan yang efektif.

Kepada rakyat Malaysia, stay indoors and stay safe.

Kenyataan Media Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Berhubung Isu Jerebu


Berikut adalah Kenyataan Media Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Krisis jerebu yang kini melanda negara bukan sahaja semakin merebak malahan menebal sehingga memaksa Kerajaan mengeluarkan perintah darurat di Muar dan Ledang, Johor ekoran paras Indeks Pencemaran Udara yang terlampau tinggi dan bahaya. Sebagai nadi rakyat, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) amat prihatin tentang situasi ini yang mengancam kehidupan seluruh warga Malaysia.

Sehubungan itu, PPUM akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Indonesia pada hari ini untuk menyarankan Kerajaan Republik Indonesia mengambil langkah segera bagi menangani isu jerebu ini. PPUM berpendapat Kerajaan Republik Indonesia perlu bertindak tegas dalam hal ini, demi semangat kejiranan, toleransi dan kerjasama di antara negara-negara rantau Asia Tenggara. Sepertimana yang kita ketahui, Kerajaan Malaysia telahpun menyatakan kesediaan untuk membantu Kerajaan Republik Indonesia dalam menyelesaikan masalah jerebu ini.

Selain itu, PPUM telah mengorak langkah untuk melaksanakan kempen memakai topeng muka (face mask), bagi memastikan masyarakat dapat menjalankan urusan harian dengan sihat dan selamat. Dalam hal ini, rangkaian PPUM akan mengedar dan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat, terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk dengan fenomena jerebu ini.

PPUM juga akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Istisqa (solat memohon hujan) di Surau Ar-Rahman, Putra World Trade Centre pada 25 Jun 2013 bagi mendoakan keselamatan negara serta rakyat dalam menghadapi masalah jerebu ini. Dalam pada itu, PPUM di setiap Bahagian seluruh negara juga diseru menganjurkan solat sunat berkenaan.

PPUM berdoa dan berharap agar tahap IPU akan menunjukkan tren penurunan dalam masa terdekat ini, agar kita dapat kembali kepada persekitaran yang sihat dan selamat demi kemakmuran bersama.

Saturday, June 22, 2013

Video - Peserta #BlackOut505 Pukul Anggota DBKL


Kejadian berpunca dari kerakusan Angkatan Anak Muda Keadilan (AMK)... dimana Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Rozan Azen Mat Rasip yang bertindak membuat provokasi telah menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.

Rozan menggunakan pembesar suara ((loud hailer) sambil melaungkan perkataan Hidup Rakyat dan Bangkit Rakyat. Sejurus selepas itu, kumpulan tersebut mula meninggikan suara ada di kalangan mereka mula melemparkan botol minuman kepada pegawai tersebut.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, seorang pegawai polis yang kebetulan berada di tempat kejadian telah menarik dua orang pegawai tersebut untuk keluar dari kumpulan tersebut.

Namun ia jelas tidak memuaskan hati para penyokong pakatan pembangkang itu, apabila di sepanjang jalan keluar bajunya ditarik sambil dilemparkan dengan kata-kata kesat dan caci maki. Ketika sampai di tepi padang, seorang penyokong pakatan pembangkang telah bertindak menyerang pegawai tersebut dengan mengetuk kepala dan menendang belakangnya.

Saksikan video dibawah...

http://youtu.be/vs4se7unQE8

Video Khalid Ibrahim Terlelap Ketika Sidang Media


Khalid oh Khalid bangun la oiii.... Apa dah jadi dengan Khalid ni... boleh terlelap pulak masa bercakap pada sidang media yang diadakan di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor semalam. Sesi sidang media Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menimbulkan persoalan kepada wartawan yang menghadiri sesi itu. Harap Khalid dapat kurangkan aktiviti-aktivi melawat rumah urut di Selangor! http://youtu.be/05B6cD0wpMo

Wednesday, June 19, 2013

Blackout 505 - 7 Lokasi Panas Untuk Huru-Harakan KL!


Pembangkang nampaknya terus berdegil dan enggan berkompromi langsung dalam soal hendak buat himpunan Blackout 505 di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Di sebalik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sanggup mencadangkan tiga lokasi lain termasuk Stadium Merdeka sebagai tempat berkumpul, mereka nampaknya sudah set untuk 'langgar'.

Pada Rabu, di internet sudah tersebar tujuh lokasi di sekitar Kuala Lumpur tempat pemimpin pembangkang berkumpul dan berarak ke Padang Merbok pada 22 Jun ini.

Lokasi tersebut adalah Brickfields, Masjid Negara, Jalan Pudu, Jalan Raja Laut, Sogo, Universiti Malaya dan Jalan Pekeliling.

Tanpa mempedulikan amaran pihak berkuasa, jangan berarak, pemimpin-pemimpin pembangkang nampaknya sudah buat macam negara ini tak ada undang-undang dan hendak main redah saja.

Bos mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media hari ini bahkan marah kepada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Bakri Zinin yang menasihati pembangkang supaya tidak melanggar undang-undang.

Anwar cuba perlekeh arahan pegawai tinggi polis tersebut sebagai kenyataan serupa pemimpin UMNO bahagian.

Sebelum ini Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mencadangkan Stadium Merdeka Stadium Titiwangsa, dan Taman Rekreasi Air Panas sebagai tempat diadakan himpunan tersebut.

Ahmad Phesal dalam pertemuan dengan dalam pertemuan pemimpin pembangkang pada 14 Jun lalu, Taman Rekreasi Air Panas dicadangkan atas faktor kawasan tersebut yang lapang yang juga mempunyai kemudahan tempat letak kereta, di samping, berhampiran dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), membolehkan akses terus ke lokasi berkenaan.

"Seperti mana yang dibincangkan, Stadium Merdeka merupakan lokasi paling sesuai, dan DBKL bersedia membantu dari segi penyediaan tapak perniagaan dan kawalan lalu lintas.

"Berdasarkan pengalaman Bersih 3.0 juga, penganjuran dilokasi itu, membuatkan peserta lebih disiplin, dan tidak melibatkan kerosakan harta benda DBKL, melainkan penambahan jumlah sampah yang terpaksa di kutip kontraktor kebersihan,"katanya.

Beliau dalam pada itu menambah, meskipun Stadium Merdeka bukan di bawah seliaan DBKL, pihaknya bersedia memberikan kerjasama dalam urusan permohonan keguaan stadium berkenaan.

"Ketika sesi perbicangan berlangsung, wakil penganjur setuju untuk pertimbangkan dan akan membuat keputusan setelah perbincangan bersama peringkat tertinggi penganjur dibuat. Namun, sehingga kini, DBKL masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada mereka,"katanya sambil menyatakan tidak menetapkan sebarang tempoh akhir untuk pihak penganjur memberikan maklum balas.

Mengulangi pendirian tidak membenarkan penganjuran perhimpunan itu di Padang Merbuk, Ahmad Phesal berkata, selain kelulusan awal yang telah diberikan kepada pihak Majlis Olimpik Malaysia, penganjuran tersebut berisiko merosakkan kemudahan di padang berkenaan yang menjadi lokasi aktiviti sukan.

"Jika kita benarkan, dengan kehadiran berpuluh ribu peserta perhimpunan, dalam tempoh dari jam 11 pagi hingga 6 petang, ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan, dan berdasarkan pengalaman lepas, DBKL terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM100,000 untuk tujuan pembaikian,"katanya.

Rafizi dalam kenyataannya kepada media selepas pertemuan berlangsung bersama Ahmad Phesal 14 Jun lalu, berkata perhimpunan 505 akan tetap dilaksanakan di Padang Merbok setelah menyifatkan alasan yang diberikan DBKL tidak munasabah.

-Agendadaily

Tuesday, June 11, 2013

Anwar Rancang Boikot Taklimat Dewan Rakyat


Sebelum ini mereka beria-ia nak jadi wakil rakyat. Bila bertanding dan dipilih rakyat, mereka pula tak mahu ke Dewan Rakyat.

Layakkah mereka bergelar wakil rakyat jika semua dibuat hanya menyusahkan rakyat dan timbulkan perasaan meluat?

Itulah karenah wakil rakyat atau ahli Parlimen pembangkang yang rancang nak boikot taklimat Parlimen pada Selasa dan pulau persidangan yang bermula dua minggu lagi .

Baguslah, kalau ke semua 89 ahli parlimen DAP, PKR dan PAS betul-betul nak boikot majlis yang dikira penting sebelum Dewan Rakyat bermula 24 Jun ini.

Namun, semua itu gempak saja kerana ada antara ahli parlimen pembangkang sudah jawab jemputan pihak Parlimen untuk hadir pada taklimat tersebut.

Mereka ini sebahagian besar adalah yang pertama kali bergelar wakil rakyat. Kalau tidak hadir pagi Selasa, mereka sendiri yang rugi kerana majlis itu bukan setakat taklimat sebaliknya hendak buat kad identiti untuk akses, isi semua borang yang berkaitan untuk urusan gaji, surat menyurat dan lain-lain.

Ini sebagai persediaan sebelum persidangan penuh nanti dan memudahkan urusan wakil rakyat itu sendiri sepanjang bergelar ahli parlimen.

Sumber Parlimen memberitahu Agendadaily, sehingga pagi Isnin, hanya 78 daripada 222 ahli parlimen sudah memberi jawapan akan hadir.

Ada antara mereka ahli parlimen pembangkang penggal pertama, kata sumber tersebut.

Bagi ahli parlimen penggal lalu yang kekal, mereka mungkin tidak hadir kerana maklumat peribadi bagi urusan gaji dan surat menyurat sudah dalam rekod pentadbiran Parlimen.

Mungkin sebab itulah Datuk Seri Anwar dan geng-gengnya rancang nak boikot majlis tersebut kerana maklumat peribadi beliau dan ahli
parlimen lain sudah ada.

Jadi Anwar sudah tahu semua perkara ini dan beliau mungkin tak perlu hadir esok.

Ikut ceritanya, Anwar yang terus kempunan jadi Perdana Menteri selepas PRU 13, bukan saja rancang boikot majlis taklimat tetapi persidangan yang akan bermula 24 Jun nanti.

Khabarnya, bukan sekadar untuk memulaukan persidangan, Anwar juga dikatakan tidak menghantar soalan-soalan seperti kebiasaan.

Namun, sekutunya dari DAP dan PAS buat keputusan sebaliknya untuk hadir ke sesi pertama Parlimen penggal baru ini.

Difahamkan, taklimat esok membabitkan Setiausaha Dewan dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam pilihan raya umum lalu, DAP memperoleh 38 kerusi, PKR 30 dan PAS sebanyak 21 kerusi.

Ekoran keputusan itu, pembangkang terus meroyan dan bikin macam-macam gempak termasuk tuduh SPR menipu, mengadakan perhimpunan 505,mengemukakan 25 petisyen, jumlah yang cukup untuk mereka bentuk kerajaan dengan majoriti mudah (89+25=114) dan terbaru bercadang memulau sidang Parlimen.-Agendadaily

Buang karen je pilih diaorang ni jadi Ahli Parlimen!!!