Tuesday, July 20, 2010

Lim Guan Eng Melampau, hina penjawat awam kerajaan persekutuan

Sebelum ini, Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus hanya bersabar dan mengambil sikap berdiam diri walaupun dituduh dengan pelbagai kenyataan yang menghina peribadinya oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Namun penjawat awam itu akhirnya bersuara hari ini kerana tidak mahu lagi menjadi kambing hitam kerajaan negeri.

Menurutnya, kenyataan Guan Eng bahawa beliau tidak kompeten, tidak profesional, pengecut dan patut diberhentikan ekoran isu curi pasir di tapak projek Politeknik Balik Pulau, adalah amat biadab.

Sambil menyifatkan kata-kata kesat seumpama itu tidak sepatutnya dilemparkan seorang yang berjawatan Ketua Menteri, Nik Ali memberitahu, ia merupakan kali ketiga Setiausaha Agung DAP itu membuat kenyataan biadab dan melampau kepadanya.

"Sebelum ini, Guan Eng kata saya lidah biawak, pegawai tidak kompeten, 'little Napoleon' dan sebagainya. Apakah niat sebenarnya saya tak tahu, tapi yang kita nampak beliau 'bekerja kuat' untuk mengeluarkan saya dari negeri ini.

"Ia seperti menghina peribadi serta kerjaya saya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, agensi yang memelihara kepentingan Kerajaan Persekutuan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.

"Ingin ditegaskan di sini, Guan Eng tidak mempunyai 'locus-standy' untuk menilai saya sebagai pegawai yang tidak kompeten dan sebagainya," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang akhbar isu curi pasir di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim; ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dan ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Guan Eng semalam menggesa Nik Ali segera meletakkan jawatan kerana mendakwa beliau cuba melarikan diri dan menuding jari kepada orang lain berhubung isu curi pasir tanah milik Kerajaan Persekutuan di Balik Pulau.

Perang dingin antara kedua-dua individu itu tercetus apabila Guan Eng mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa majlis pelancaran projek Keretapi Bukit Bendera diikuti dengan isu perobohan pintu gerbang Taman Botani dan terbaru, isu curi pasir.

Nik Ali menjelaskan, isu curi pasir tidak ada kena mengena dengan bidang tugas dan tanggungjawab SDO, sebaliknya ia bidang kuasa pihak berkuasa negeri, Pejabat Tanah dan Daerah dan ditangani bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Daerah mempunyai kuasa penguatkuasaan, memantau dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan kegiatan itu sama ada di tanah persendirian, syarikat, kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Begitu juga dalam isu perobohan gerbang di Taman Botani, beliau dakwa saya membazirkan wang kerajaan sedangkan keputusan dibuat Jemaah Menteri berasaskan prinsip rakyat didahulukan dengan mengambil kira pendapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam.

"Justeru, saya ingin mengingatkan Guan Eng supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bersifat serangan peribadi dengan menyiasat fakta berhubung struktur, peranan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum membuat kenyataan liar," ujarnya.- Utusan


Pejuang Bangsa: Guan Eng serang penjawat awam kerajaan persekutuan !!

Datuk Seri Reezal Merican - UMNO Juga Ada Maruah, Jangan DiHina!

Oleh: KU AZMAN KU ABAS.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta pemimpin Pas agar menyelami dengan mendalam ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar jangan terus menghina UMNO dalam ucapan-ucapan mereka.

Menurut beliau, sebagai pemimpin yang mewar-warkan perjuangan Islam sebagai landasan, ingatan itu tidak akan dipandang ringan sebaliknya menjadi batas dan landasan untuk pemipin Pas di semua peringkat.

“Datuk Seri Najib menunjukkan sifat merendah diri dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya walau pun UMNO sabahan hari dihina dan dikutuk dengan pelbagai cercaan sejak tercetusnya perpaduan UMNO dengan Pas.

“Bagi saya, Datuk Seri Najib boleh kata balas dengan pelbagai ungkapan namun beliau mengambil sikap seperti yang dituntut di dalam Islam. Niat saya bukan nak membodek tetapi melihatnya secara ikhlas. Lagi pun kalau pemimpin Pas benar-benar menghayati tuntutan perjuangan Islam, mereka sebenarnya lebih memahami teguran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengingatkan Pas supaya jangan terus menghina UMNO dalam ucapan-ucapan mereka.

Katanya kalau hendak berbincang janganlah mengutuk antara satu sama lain dan pendirian UMNO untuk menjayakan rundingan perpaduan antara orang Melayu tidak pernah berubah.

Reezal yang juga Ketua Pemuda Kepala Batas seterusnya menegaskan, pemimpin Pas tidak sewajarnya beremosi berhubung soal perpaduan antara UMNO dan Pas.

Ini kerana katanya tindakan tersebut hanya akan mengeruhkan keadaan dan tidak memberikan sebarang faedah kepada soal perpaduan Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Bagi saya dalam soal perpaduan ini, tinggalkanlah “historical baggage” dan pandang ke hadapan. Tidak ada maknanya kita mengimbau kisah dulu-dulu yang tidak memberi sedikit pun manfaat kepada orang Melayu dan umat Islam hari ini.

“Pandanglah ke depan dan janganlah menghina UMNO melampau-lampau. Kita pun ada hati dan perasaan. Apa yang dituntut di dalam Islam adalah persaudaraan. Itu yang patut diutamakan.

“Tidak bolehkan kita mencatat satu sejarah bersama hari ini yang mana pemimpin Islam bersatu di dalam satu matlamat iaitu perpaduan Islam dan orang Melayu. Sesungguhnya itulah yang dituntut dan kita akan terus dikenang sampai bila-bila,” katanya. – MediaUMNO

Monday, July 19, 2010

Khairy Jamaluddin - Melayu kekal kuasa jika kembali perjuangan asal


Orang Melayu masih mempunyai masa depan dalam mengekalkan kuasa sekiranya mereka kembali kepada prinsip perjuangan asal iaitu untuk bangsa, agama dan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa selagi UMNO berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu.

Katanya, perpaduan dan perjuangan di kalangan orang Melayu mesti dengan prinsip perjuangan asal pemimpin terdahulu.

"Perpaduan tanpa perjuangan yang mulia oleh orang Melayu tidak akan mendatangkan hasil yang baik.

"Malah perpaduan orang Melayu sejak akhir-akhir ini membuktikan kita akan terus berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti," katanya.

Semalam, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan mengenai orang Melayu akan hilang kuasa pada PRU-13 jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Harussani berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan, orang Melayu mesti mengamalkan sikap bersatu-padu tanpa melihat kepentingan mana-mana parti untuk mengekalkan kuasa.

"Kalau hendak terus berkuasa dan mengangkat bangsa, isu perpaduan antara UMNO atau Pas bukan merupakan isu pokok tetapi melihat keikhlasan perjuangan orang Melayu itu sendiri untuk terus berkuasa di negara ini.

"Isu perpaduan antara UMNO dan Pas dialu-alukan tetapi ia mesti mengambil kira mengenai isu yang memberi kesan kepada orang Melayu untuk terus berkuasa di negara ini," katanya.

Rakyat bosan khayal dan terbang di alam fantasi.... PKR Ranting Jalan Permatang Tinggi Bubar!!

Oleh: Bro Jinggo

Rakyat yang bersikap celik akal sudah tahu bagaimana cara Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpolitik. Malahan rakyat sebenarnya sudah bosan akibat khayal dan terbang di alam fantasi awang-awangan indah yang sekadar memperolehi janji-janji kosong.

PKR Ranting Permatang Tinggi dibubarkan selepas kesemua 56 angotanya bertindak keluar parti itu dan menyertai Umno pada Ahad. Ini membuktikan PKR semakin di tolak rakyat.

Timbalan Ketuanya Ismail Md Ali berkata keputusan itu dibuat mereka selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR.

"Kami juga sudah bosan dengan janji-janji manis PKR kerana sehingga hari ini iaitu selepas dua tahun memenangi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk tiada satu (janji) ditunaikan," katanya.

Beliau sebelum itu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Ketua Bahagian Bukit Mertajam Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Ismail juga mendakwa Anggota DUN tersebut Tan Hock Leong tidak pernah turun padang bertemu penduduk sejak memenangi kerusi itu.

Sementara itu, Musa berkata tiga lagi ranting PKR di Bukit Mertajam telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk menyertai Umno.

Ia membabitkan kira-kira 300 anggota PKR, katanya yang enggan memberitahu ranting yang terlibat.

Menyokong PKR sama juga seperti menyokong DAP!! JOM PKR = JOM Pakat Keluar Ramai2....

IKYS - Rugi atau nak cari untung PINTAS?

Petikan dari : tendangterajang.blogspot.com

IKYS sepatutnya untung dalam tempoh 2 tahun? Mana punya punahsihat ekonomi yang bagi cadangan bingai macam aku? Atau hanya ingin menjual aset Yayasan Selangor bernilai lebih RM20 juta tanpa memikirkan tanggungjawab sosial dan aset masa depan negeri?

Sebagai salah seorang bapa saudara kepada salah seorang pelajar IKYS, aku merasa terkilan dengan keputusan kerajaan Selangor.

Untuk pengetahuan anda semua, Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) telah ditubuhkan pada tahun 2000 dengan menyewa bekas Bangunan Balai Polis Kuala Selangor. Selepas itu IKYS berpindah di kampus sementara di Kuala Selangor (kampus tersebut diambil-alih oleh Kolej Antarabangsa INPENS) sebelum berpindah ke kampus tetap di Bagan Terap, Sg. Besar, Sabak Bernam pada tahun 2009.

Tahukah anda bahawa kelayakan minima untuk memasuki IKYS ialah seperti berikut:

1. Tahu membaca
2. Tahu menulis dan
3. Tahu mengira

Berbanding dengan INPENS yang memerlukan kelayakan minima SPM/SPVM, IKYS menerima anak anda walaupun mereka TIDAK PERNAH BERSEKOLAH sebelum ini.

Anih? Inilah kehebatan IKYS yang ditubuhkan untuk membantu pelajar-pelajar tercicir bukan sahaja untuk anak Selangor tetapi dibuka kepada pelajar-pelajar negeri lain (walaupun rakyat Selangor diberikan keutamaan) tanpa mengira fahaman politik.

Selain daripada menawarkan pinjaman pembelajaran, IKYS juga menawarkan kursus pendawaian elektrik tahap kompeten yang diiktirafkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (sila rujuk laman sesawang STM di sini) bermakna pelajar-pelajar tersebut berpeluang memperolehi Sijil PW2, PW4 dan Sijil Chargeman yang diiktirafkan yang membolehkan mereka meneruskan pengajian ketahap diploma dan ijazah.

Bayangkan seorang yang tidak pernah bersekolah masih berpeluang menjadi seorang Jurutera Elektrik!

Keujudan IKYS juga mampu mengurangkan kadar jenayah remaja. Tanggungjawab tenaga pengajar IKYS terlalu berat. Bayangkan sendiri jenis remaja yang belajar di sana sekiranya mereka diambil dari golongan yang berhenti sekolah, lari sekolah, dibuang sekolah dan sebagainya. Pendidikan moral yang khusus diberikan tekanan supaya apabila mereka tamat belajar akan menjadi rakyat yang berguna.

Bukankah ini satu aset kepada kerajaan negeri khususnya dan negara amnya?

Apakah kita ingin menambah peruntukan membina lebih banyak sekolah pemulihan budak-budak nakal seperti Henry Gurney's Boys School di Melaka? Sedangkan sekolah-sekolah tersebut langsung tidak memberikan keuntungan kewangan malah lebih banyak memerlukan peruntukan kerajaan?

Menyerapkan operasi IKYS ke dalam INPENS juga bermakna mengecilkan peluang pendidikan. Kampus yang dibina sebenarnya untuk menambah peluang pendidikan supaya IKYS akan terus berkembang bukannya terus menguncup.

Apabila kita membicarakan tentang untung-rugi di dalam sesuatu operasi, kita perlu melihat secara menyeluruh operasi tersebut. Walaupun IKYS ditubuhkan sejak tahun 2000 tetapi penempatan pelajar di kampus tetap baru bermula dari tahun 2009 yakni baru berusia 2 tahun. Pelaburan RM20 juta bukan dibuat berdasarkan pulangan modal dan keuntungan dalam tempoh itu tetapi untuk jangka panjang. Ianya juga merupakan tanggungjawab sosial yang digerakan oleh kerajaan sebelum ini untuk membantu rakyat mencapai kemajuan dan menikmati kemakmuran negeri secara rakyat yang bermaruah bukannya sebagai peminta sedekah dengan elaun bulanan atau subsidi.

Ambil contoh KTMB yang beroperasi di Kelantan. Walaupun KTMB mengalami kerugian di sana namun KTMB masih terus beroperasi untuk kemudahaan rakyat.

* Pelajar-pelajar masih boleh berulang-alik ke sekolah kerana mereka merupakan aset masa depan negara.
* Guru-guru masih boleh menjalankan tugas mereka mendidik anak bangsa
* Penduduk-penduduk masih boleh membawa hasil pertanian mereka untuk dipasarkan
* Pekerja-pekerja masih boleh berulang-alik memberikan sumbangan tenaga
* Penceramah-penceramah dan pendengar ceramah juga masih boleh menggunakannya untuk meluaskan minda masyarakat

Sekiranya keuntungan diambilkira, KTMB sepatutnya telah lama menamatkan perkhidmatan di kawasan-kawasan pendalaman.

Apa yang aku nampak di sini bukannya masaalah kerugian yang dihadapi oleh IKYS tetapi kurang pelajar kerana masih belum terkenal. Walaupun kebanyakan pelajar datang dari golongan miskin tetapi mereka bukannya belajar di sana secara percuma tetapi dibantu dengan pinjaman bersyarat. Anak saudara aku sendiri memerlukan lebih RM13,000.00 dalam bentuk pinjaman untuk dua tahun di sana.

Apakah mungkin dengan menyingkirkan pelajar-pelajar tersebut memberi peluang untuk kerajaan negeri meraih keuntungan melalui penjualan aset IKYS yang bernilai lebih daripada RM20 juta tersebut? Sekiranya ini adalah tujuan sebenar kerajaan negeri, maka aku menganggap ianya adalah satu jenayah terancang dan dihalalkan. Prasarana IKYS walaupun terpencil tetapi lebih merupakan seperti satu taman perumahan kos rendah dengan kemudahan seperti berikut:

* Dewan
* Taman Selera
* Surau
* Blog Kedai
* Blog Bengkel/industri kecil
* Rumah berkembar tiga bilik (kos rendah)
* Taman permainan
* Kolam ikan
* Kawasan berpagar dengan Menara Tangki Air sendiri

Bayangkanlah nilainya kalau dijual dipasaran terbuka (atau kepada mereka-mereka yang tertentu sahaja?)

Sepatutnya kerajaan negeri membantu membina lebih banyak lagi cawangan IKYS di seluruh negeri Selangor terutama di kawasan-kawasan terpencil untuk kemudahan rakyat jelata. Sekiranya kerajaan negeri yang ada sekarang berusaha untuk memajukan IKYS maka kredibiliti pentadbiran kerajaan sedia ada akan lebih terserlah dalam membangunkan modal insan di Negeri Selangor.

Oleh itu, aku mengharapkan semua rakyat khususnya di negeri Selangor dan Malaysia amnya menyokong perjuangan pelajar-pelajar IKYS kerana perjuangan tersebut bukan sahaja untuk masa depan meraka tetapi untuk generasi akan datang. Anak saudara aku telah menamatkan latihan praktikalnya dan akan meninggalkan IKYS tidak lama lagi tetapi beliau telah berjanj akan membantu memberikan gambar-gambar prasarana IKYS tidak lama lagi. InsyaAllah, aku akan muatnaik gambar-gambar tersebut apabila aku memperolehinya secepat mungkin.

Kepada bloggers, dapatlah kiranya terus memperjuangkan IKYS di blog-blog anda terutama yang pandai menyediakan grafik untuk diletakkan diblog-blog.

Klik Disini untuk maklumat lebih lanjut