Friday, May 11, 2012

Isu Air Selangor Serius


Selangor kini mengalami masalah air yang genting disebabkan kadar rizab air di negeri ini kini hanya tinggal 2.4 peratus berbanding kadar yang sepatutnya serta dikhuatiri berpanjangan sekiranya Kerajaan Negeri masih enggan melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keadaan itu menyebabkan pelabur luar tidak dapat menjalankan aktiviti perindustrian di negeri ini.

“Masalah air adalah masalah yang perlu dipandang serius. Ianya akan menjejaskan semua semua urusan seperti usahawan mikro, kecil dan sederhana, apatah lagi urusan syarikat-syarikat besar yang akan meninggalkan impak yang lebih besar.

“Apabila kerajaan negeri tidak menyimpan air dalam kadar yang ditetapkan, ia akan membantutkan urusan dan pembangunan kilang-kilang. Untuk mengelak perkara itu, mereka sepatutnya meneruskan Projek Langat 2 bagi mengatasi masalah air ini,” katanya ketika merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana – Jom Niaga dan Skim Pengkomersialan Inovatif Patuh Syariah di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Najib berkata, isu bekalan air di negeri ini sangat serius hingga menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion, dan mampu menjana 12,000 peluang pekerjaan serta sejumlah projek perumahan, tidak dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri perlu menerima hakikat bahawa negeri ini sedang menghadapi isu krisis air.

“Soal sekarang ini ialah Loji Rawatan Air Langat 2 perlu dibuat dulu, Apa guna penstrukturan semula dilakukan jika sudah tiada air?.

“Masalah sekarang ini air. Air yang kita beli dari Pahang akan disalurkan ke Selangor dan akan memasuki Loji Rawatan Air Langat 2. Jika loji yang sepatutnya dibina pada 2010 itu masih belum siap, bagaimana hendak mendapat bekalan air,” katanya. -SH

Thursday, May 10, 2012

BERSIH 3.0: Marina Terperangkap Dalam Mainan Pembangkang



Ada juga sebenarnya beberapa kerat penyokong & peserta BERSIH 3.0 yang non-partisan masih memegang erat kepercayaan bahawa BERSIH hanyalah sebuah NGO yang berniat baik sebagaimana digambarkan melalui 8 tuntutannya yang kelihatan tulus dan murni.

Bab kata orang, mudah terpesona melihat kulit buku dan tajuknya hingga terlupa peri penting isinya perlu dihalusi dahulu sebelum mengotakan niat untuk membeli buku tersebut.

Marina Mahathir adalah antara peserta BERSIH 3.0 yang tergolong dalam kumpulan tersebut, terpengaruh dengan tuntutan yang dilihat bagus dan menarik kemudiannya terjebak untuk mempertahankan segala tindak tanduk BERSIH atas nama kebebasan bersuara, keadilan dan hak asasi manusia.

Menulis dalam blognya pada 08 Mei, Marina meluahkan pendapatnya mempertahankan BERSIH 3.0 sebagai agenda rakyat yang langsung tiada kaitan dengan kebangkitan di negara Arab khususnya yang berlaku di Mesir, Yemen, Libya dan Syria.

Katanya lagi, tiada alasan untuk dibimbangi tentang kemungkinan BERSIH 3.0 bertukar menjadi kacau bilau seperti yang terjadi di negara-negara Arab tersebut.

Itu kata Marina yang kita ketahui kerap bergiat aktif bersama pelbagai NGO, berfikiran sedikit liberal & terbuka tapi naif soal sepak teranjang dunia politik sekalipun ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohammad adalah tokoh politik terkenal tanahair.

Sebenarnya ternampak jelas, Marina samaada lurus bendul atau sebenarnya sudah terjerat dalam mainan politik pembangkang hingga terpaksa mencari dalil dan hujah untuk menghalalkan penglibatan dalam kerusuhan yang tercetus gara-gara BERSIH 3.0

Hakikatnya apa yang berlaku 28 April lalu hanyalah lanjutan kepada cubaan pembangkang yang mahu meng'tahrir'kan Dataran Merdeka sebagaimana diterjemahkan melalui perarakan anti-PTPTN yang diadakan pada 14 April 2012 yang kemudian meleret menjadi perkhemahan siang malam di sana selama beberapa hari.

BERSIH 3.0 temanya 'Duduk dan Bantah' manakala penegasan oleh Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk S. Ambiga sehari sebelum perhimpunan berlangsung ialah mereka hanya akan duduk dan bantah di kawasan yang sehampir mungkin dengan Dataran Merdeka tanpa melanggar atau mengalih pengadang jalan yang didirikan oleh pihak polis dan DBKL.

Jika BERSIH 3.0 berniat tulus ikhlas untuk mengadakan perhimpunan aman tentu saja sebaik arahan oleh Ambiga yang mahu peserta bersurai maka semuanya berakhir begitu saja tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Namun apa yang berlaku ialah perhimpunan diteruskan dan berlakunya serbuan peserta ke arah Dataran Merdeka selepas Anwar dan Azmin berbalas isyarat yang kemudiannya diikuti dengan tindakbalas pihak berkuasa untuk menyuraikan serbuan tersebut.

Malah ucapan Azmin Ali kira-kira sejam sebelum keributan berlaku jelas membayangkan hasrat pembangkang yang mahu mengepung dan menawan Dataran Merdeka - satu bukti nyata mereka mahu menjadikan Dataran Merdeka sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

Begitu juga ucapan Anwar Ibrahim sebelum masuknya waktu solat Zohor yang mahu peserta BERSIH 3.0 menuju masuk ke Dataran Merdeka - bukankah itu terbukti membelakangi arahan mahkamah yang memerintahkan supaya tiada perhimpunan di adakan di kawasan tersebut.

Arahan mahkamah akhirnya dicabuli, undang-undang dilanggar dan harta benda awam dijahanamkan dan anggota polis dicederakan - realitinya perhimpunan aman yang kononnya memperjuangkan ketelusan dan keadilan sebagaimana digambarkan selama ini oleh BERSIH dan pembangkang, sebetulnya hanyalah tong kosong yang dipukul bertalu-talu bunyi kuat tapi isinya zero tiada manfaat.

Peguam Malaysia Bacul... Hancik La...!


Buat kesekian kalinya, Majlis Peguam menyerlahkan siapa sebenarnya mereka, iaitu salah satu dari beberapa badan atau pertubuhan yang merupakan rangkaian dari parti pembangkang.

Badan atau pertubuhan rangkaian dari parti pembangkang boleh dilihat dalam berbagai bentuk, antaranya BERSIH, Kumpulan Hijau dan bermacam-macam lagi yang memakai nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tidak musthail, jika diteliti, ahli-ahli kesemua kumpulan ini hampir semuanya adalah orang yang sama dan juga mempunyai modus operandi yang sama iaitu cuba membuat huru-hara melalui demonstrasi atau provokasi.

Inilah yang terjadi dalam BERSIH 3.0 di mana BERSIH membuat demonstrasi sementara Majlis Peguam membuat provokasi.

Sebagai peguam, ahli-ahli mereka pastinya cukup bijak memutarbelit dan memanipulasi fakta. Dan inilah yang mereka lakukan selama ini demi untuk mencapai matlamat ‘merombak’ Malaysia mengikut acuan yang mereka inginkan. ‘Bentuk’ Malaysia yang mereka inginkan boleh dilihat dalam isu-isu yang diperjuangkan mereka. Antaranya, hak LGBT dan juga hak untuk murtad, yang mana dianggap mereka sebagai hak asasi dan keadilan bagi manusia sejagat.

Bagaimanapun, bagi mencapai matlamat ini di Malaysia, agama Islam, Melayu dan Raja-raja menjadi penghalang utama dan kerana itu perlu dihapuskan, sama ada melalui pilihanraya yang mana peluang mereka adalah agak tipis, atau melalui jalanraya, atau apa saja.

Maka tidak hairanlah Majlis Peguam menjadi rangkaian pembangkang kerana pembangkang, iaitu DAP dan PKR juga berpegang kepada matlamat yang sama. PAS walaubagaimanapun, tidak faham dan tidak tahu apa-apa dan hanya menurut saja asalkan ada peluang untuk ke Putrajaya.

Apabila BERSIH 3.0 gagal, dan menjadi senjata makan tuan kepada pembangkang, maka Majlis Peguam pantas membela sekutu mereka bagi memastikan matlamat untuk memburukkan Malaysia tercapai. Dengan itu, mereka telah bertindak menutup mata dan telinga tentang hakikat bahawa BERSIH 3.0 telah melanggar undang-undang sejak dari mula lagi apabila tidak menunaikan janji untuk ‘Duduk dan Bantah’ dengan aman.

BERSIH 3.0 juga melanggar undang-undang dengan mengingkari arahan polis untuk bersurai.

Dan kemuncaknya BERSIH 3.0 telah melanggar perintah mahkamah bahawa Dataran Merdeka adalah haram bagi mereka.

Undang-undang dan mahkamah adalah dua perkara yang seharusnya diangkat bagaikan ‘berdaulat’ bagi para peguam. Malah, dalam perbicaraan, sekiranya pihak pendakwa memperolehi bukti secara tidak sah, walaupun bukti tersebut jelas merujuk kepada pesalah, peguam akan berhujah agar pesalah wajib dibebaskan dari tuduhan. Begitulah tingginya kedudukan undang-undang dan mahkamah bagi para peguam sehinggakan ia mengatasi keadilan itu sendiri.

Namun, dalam isu BERSIH 3.0, Majlis Peguam telah berhujah dengan tidak berdasarkan undang-undang mahupun keadilan, tetapi emosi dan sentimen politik semata-mata.

Ini terbukti apabila Majlis Peguam bersikap bacul dengan memanipulasi laporan daripada 78 sukarelawan yang memerhatikan BERSIH 3.0 dari enam penjuru.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh seorang peguam, Ranjit Singh Dhillon melalui rakaman video youtube mempersoalkan kenyataan bercanggah oleh Pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee serta tindakannya menyembunyikan perkara sebenar tentang bagaimana keganasan tercetus dalam BERSIH 3.0. Menurut laporan tersebut, perusuh telah terlebih dahulu mengganas sebelum polis bertindak balas.

Kata Ranjit, "Undang-undang adalah sesuatu yang khusus. Kita sepatutnya berkhidmat untuk rakyat. Laporkan apa yang sebenarnya berlaku dan serahkan kepada rakyat untuk menilai,"

Kita bernasib baik, masih ada peguam yang waras dan professional seperti Ranjit dalam negara ini. Jika tidak, bagaimana negara boleh berfungsi dengan baik apabila peguam-peguam asyik membela pesalah tanpa langsung mengambil kira kebenaran, keadilan, undang-undang mahupun perintah mahkamah.

Tidak tahulah sama ada Majlis Peguam masih mempunyai sedikit maruah untuk merasa malu apabila sikap berat sebelah dan tidak adil mereka terdedah. Kita harap Majlis Peguam dapat belajar sesuatu dari pendedahan ini iaitu hak asasi manusia itu tetap tertakluk kepada undang-undang. Justeru, walau apapun kecenderungan politik, prinsip hidup atau kepercayaan agama, setiap seorang rakyat termasuk juga para peguam, adalah wajib akur kepada undang-undang.

Bukankah ini perkara paling asas dalam bidang guaman?

Ambiga Mengamuk Ahli Ikhlas Jual Burger Depan Rumahnya


Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk S Ambiga menganggap tindakan sekumpulan peniaga yang mengadakan protes dengan membuka gerai burger di hadapan rumahnya petang ini sebagai perbuatan tidak matang.

Sekumpulan peniaga sekitar bandar Kuala Lumpur itu 'menerjah' rumah Ambiga di Bukit Damansara dengan membuka gerai burger tersebut mulai jam 2 petang dan beredar kira-kira sejam kemudiannya.

Dikenali sebagai Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), kumpulan peniaga itu mahu menuntut gantirugi yang didakwa dialami mereka sewaktu himpunan BERSIH 28 April lalu.

IKHLAS adalah kumpulan peniaga yang berdemo di hadapan Kompleks Pertama di ibu negara pada 5 Mei lalu bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Ambiga.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata, gerai burger tersebut juga didirikan sebagai tanda membela nasib peniaga kecil di Jalan Tunku Abdul Rahman yang kerugian akibat perhimpunan BERSIH 3.0 28 April lalu, dan memberi masa selama dua minggu untuk respons Ambiga.

Selepas masak, mereka 'menghadiahkan' satu burger kepada Ambiga yang diterima oleh seorang wakilnya.

Mereka juga turut mengedarkan burger itu kepada mereka yang berada di situ termasuk, termasuk petugas media.


Turut kelihatan bersama Ambiga ialah anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Maria Chin Abdullah dan setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan.

Pada satu ketika, keadaan menjadi agak tegang sedikit apabila salah seorang wanita yang berada bersama Ambiga, meluahkan rasa tidak puashatinya dengan perbuatan kumpulan seramai 10 orang itu membuka gerai burger di situ.

Berikutan itu berlaku sedikit perang mulut antara mereka, tetapi keadaan itu dapat ditenang oleh rakan-rakan lain wanita tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di depan rumahnya, Ambiga berkata perbuatan tersebut telah mengganggu ketenteraman peribadi dan kawasan kejiranannya.

Malah, Ambiga turut kesal dengan tindakan mereka yang dilihat seolah-olah tidak mencerminkan keperibadian rakyat Malaysia.

"Tindakan ini adalah perbuatan yang tidak matang. Adakah patut duduk di luar rumah orang seperti ini?

"Sesiapa sahaja boleh membuat tuntutan tetapi bukan dengan cara datang ke rumah saya seperti ini.

"Perkara begini tidak pernah lagi terjadi di Malaysia kecuali pada (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dan saya," katanya kepada media.-MK

Sejak bila Ambiga pandai berkata-kata pasal ketenteraman orang awam dan budaya rakyat Malaysia? cer cita... cer cita...

Power Siot! 'Protes burger' Depan Rumah Ambiga


Sekumpulan peniaga sekitar bandar Kuala Lumpur menerjah' rumah Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara dengan membuka gerai burger.


Dikenali sebagai Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), kumpulan peniaga itu mahu menuntut gantirugi yang didakwa dialami mereka sewaktu himpunan Bersih 28 April lalu.

"Kita mahu tuntut kerugian dan mahu dia jawab. Siapa lagi yang mahu bayar ganti rugi kepada peniaga yang miskin ini?" kata presidennya Mohd Ridzuan Abdullah.

Ikhlas adalah kumpulan peniaga yang sama yang berdemo di hadapan Kompleks Pertama 5 Mei lalu menuntut Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Ambiga.

Hahaha! Caya la der..... Jom Protes Bantah Duduk Depan Rumah Ambiga!!

4 Lagi Perusuh Bersih 3.0 Ditahan


Polis menahan empat lagi peserta perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) disokong pembangkang, yang gambar mereka disiarkan di dalam media menjadikan jumlah keseluruhan 16 yang ditahan sehingga awal pagi ini.

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz ketika dihubungi Bernama berkata empat peserta yang ditahan masing-masing berusia antara 20 dan 50 tahun.

"Keempat-empat mereka ditahan di lokasi berasingan antaranya di Pulau Pinang, Seremban, dan Batu Pahat," katanya.

Beliau berkata keempat-empat peserta perhimpunan itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit dalam insiden kekacauan pada 28 April lepas.

Sebelum ini, media melaporkan daripada 141 gambar yang disiarkan dalam media, hanya 12 ditahan dan daripada 12 orang itu, lapan telah didakwa sementara empat lagi dibebaskan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut. - Bernama


Permintaan: Minta Pak Janggut Buat Puisi Untuk Perusuh Yang Duduk Dalam Lokap Pulak.....

'Bapak Kafir': Nik Aziz Merestui BERSIH 3.0 Tapi Mempertikai Fatwa Ulamak


Marah bebenor penyokong PAS bila bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor memberi gelaran kepada Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat sebagai 'Bapak kafir' berikutan kenyataan terbuka Nik Aziz yang mewajibkan orang awam menyertai demonstrasi BERSIH 3.0.

Kenyataan Rahim itu berkait rapat dengan reaksi negatif Nik Aziz yang mempertikaikan keputusan Jawatankuasa majlis Fatwa Kebangsaan yang menetapkan haram bagi umat Islam menyertai atau menyokong demonstrasi yang impaknya buruk terhadap ketenteraman - termasuklah demonstrasi BERSIH 3.0.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Nik Aziz menganggap semua anggota Jawatankuasa Fatwa telah membuat kesilapan kerana melihat isu BERSIH 3.0 hanya dengan sebelah mata - satu penyataan yang sengaja memperlekehkan kelayakan para Ulama yang emnganggotai jawatankuasa tersebut.

Dan bila Rahim tiba-tiba tampil ke depan menemplek kembali kenyataan Nik Aziz itu, memang termanggu seketika penyokong PAS dibuatnya. Sampaikan Nik Aziz sendiri yang selama ini amat gemar komplen sana sini mempertikaikan akidah dan tahap ilmu orang lain pun kelu lidah tak mampu komen apa-apa.

Mungkin melihat Nik Aziz terpana seketika dengan tujahan keras tepat atas dahinya itulah mendorong penyokong PAS dan ramai pimpinan PAS yang lain cuba cover malu yang terpalit atas dahi Nik Aziz. Walhal sebenarnya ramai kalangan mereka hanya baca tajuk sahaja dan tak mustahil sebahagian besar yang lain hanya mendengar dari pihak yang ketiga.

Rupanya penyokong dan pemimpin PAS tahu juga apa rasanya bila telinga panas dan rasa marah serta geram bila kena tujah atas dahi oleh orang lain.

Sebelum ini tatkala penyokong UMNO dikafirkan dan dipersenda akidahnya oleh pemimpin PAS, ada pernah orang PAS ambil kisah? Bila Nik Aziz memuliakan syaitan sebagai kawan semata-mata untuk menghalalkan hubungan PAS dengan kafir harbi DAP, ada orang PAS terfikir untuk menegur keterlanjuran kata Nik Aziz?

Jawabnya tiada... Sebabnya?... Kerana hati nurani penyokong PAS sudah hitam kelam dan buta tuli mengiakan saja dengan segala macam ucap keji dari mulut Nik Aziz sekalipun tahu hakikatnya Nik Aziz hanyalah seorang politikus yang mencari duniawi dengan menjual agamanya.

Walaupun penulis tidaklah bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Rahim menganggap Nik Aziz adalah BAPAK KAFIR (Father Of Kafir) namun sekali sekala ada orang dengan selamba saja balun Nik Aziz elok juga, kena pula yang membalun itu non-politician memang cair tahi telinga penyokong PAS dibuatnya.

KJ Tawar Teraju Pemuda Umno Sepenggal Lagi


Khairy Jamaluddin menawarkan diri untuk memimpin Pergerakan Pemuda Umno satu lagi penggal - bertanding mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang dijangka diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Khairy, 36, yang menerajui pergerakan itu sejak Mac 2009 menyatakan hasrat beliau menerusi mesej Twitter.

"Saya rasa, saya mahu menawarkan diri untuk satu lagi penggal sebagai Ketua Pemuda (Umno)," kata beliau dalam reaksinya kepada seorang pengikut akaun Twitternya.

Umno yang sepatutnya mengadakan pemilihan tahun ini, tetapi ditangguhkan sehingga selesai PRU13.

Pada pemilihan jawatan Ketua Pemuda Umno Mac 2009, Khairy menewaskan Datuk Mukhriz Mahathir dan Dr Mohamad Khir Toyo.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Rembau melahirkan pendirian ini susulan ideanya agar umur penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno dihadkan 40 tahun.

Katanya, beliau akan membuat cadangan itu apabila beliau melepaskan jawatannya kelak.
-SH

Wednesday, May 9, 2012

Bersih 3.0: Usaha Terakhir Pembangkang Sebelum Berkubur


Rakyat semakin hari semakin marah kepada penganjur Bersih 3.0 dan pihak pembangkang yang berperanan menyebabkan rusuhan di Kuala Lumpur pada perhimpunan 28 April lalu.

Walaupun mereka cuba membersihkan diri mereka daripada sebarang ketanggungjawaban terhadap kecederaan yang dialami oleh anggota keselamatan, petugas media serta orang awam dan kerosakan kenderaan polis, namun paparan video menerusi media arus perdana telah berjaya mendedahkan peranan mereka yang sebenar.

Dalam hal ini DAP cuba mengalihkan punca sebenar rusuhan semasa perhimpunan itu kepada pihak kerajaan.

Dikatanya antara faktor rusuhan dan kekecohan pada hari itu disebabkan tindakan kerajaan mengarahkan supaya stesen-stesen LRT ditutup kepada penumpang.

Ianya dilakukan atas dasar keselamatan kerana tidak mahu orang ramai menyerbu stesen-stesen LRT ang berhampiran dengan kawasan perhimpuran untuk menghindarkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Yang peliknya sehingga kini DAP mahupun PKR dan PAS tidak perniah mahu memberi jawapan kepada rakyat mengapa mereka tidak mahu menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan tersebut diadakan di Stadium Merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata faktor penolakan inilah yang menjadi punca utama kepada rusuhan yang berlaku.

Pembangkang sengaja menolak menganjurkan perhimpunan itu di stadium kerana mereka sudah merancang dari awal untuk mencetuskan keganasan jalanan.

Jika ini berlaku maka berjayalah agenda mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia di mata masyarakat dunia seolah-olah tidak ada amalan demokrasi di negara ini.

Inilah tujuan sebenar mereka apatah lagi dengan kehadiran ratusan petugas media dari dalam dan luar negara, pembangkang semenangnya merancang untuk mengeksploitasi situasi tersebut.

Tambahan pula tindakan pembangkang membawa sekumpulan'pemantau' dari negara luar adalah sebahagian daripada rancangan jahat mereka.

Dengan rusuhan yang didalangi pembangkang berlaku di jalanraya-jalanraya Kuala Lumpur serta liputan agensi antarabangsa yang disiarkan di seluruh dunia, mereka bertujuan untuk menumbangkan kerajaan pada hari ini.

Lebih-lebih lagi kumpulan 'pemantau' yang dibiayai sepenuhnya oleh pembangkang akan mengeluarkan kenyataan dan laporan berunsur negatif mengikut selera dan agenda tersembunyi untuk mengutuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.

PKR, PAS dan DAP adalah tiga serangkai pakatan jahat untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui proses pilihanraya yang sah, telus dan adil.

Pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim kini kecewa kerana mengetahui rakyat tidak lagi menerima budaya politik berasaskan fitnah dan tohmahan yang di bawa oleh mereka.

Apabila melihat strategi ini tidak boleh mempengaruhi minda rakyat, Anwar merancang pula melalui pendekatan demonstrasi dan perhimpunan haram yang didorong ke arah rusuhan dan keganasan.

Metod ini tidak berubah dengan cara Anwar mengeksploitasi isu kemiskinan di daerah Baling, Kedah pada awal tahun 1970an dahulu dengan mengapi-apikan pelajar universiti dan penduduk tempatan mengadakan demonstrasi.

Kalau ketika itu beliau cuba menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, kini Anwar sekali lagi membuat onar mahu menumbangkan pimpinan Datuk Seri Najib.

Apapun yang usaha yang dilakukan oleh Anwar dan gerombolan pembangkang yang diterajui untuk meraih simpati dan undi rakyat pada pilihanraya umum nanti tidak akan memberi apa-apa kesan lagi.

Tembelang mereka sudah pecah dan pembohongan pembangkang sudah nyata.

Bersih 3.0 adalah tanda jelas saat mereka dikuburkan sudah amat hampir.

Masalah Kewangan KUIN: Kerajaan Kedah Patut Bayar Yuran Tambahan


Jangankan satu negera, satu negeri juga tak mampu ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Jangankan memberi pendidikan percuma kepada semua, satu kolej pun tidak mampu dijaga.

Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah tidak habis-habis dilanda masalah apabila kepimpinan negeri bertukar tangan. Kolej itu sebelum ini menjadi kontroversi apabila pelajarnya mengadakan demonstrasi membantah kewujudan Sekolah Insan Bestari di kawasan Kolej Kediaman Ar-Razi.

Dan rupanya, bukan sekadar masalah pentadbiran, KUIN juga menghadapi masalah kewangan sehingga memaksa kolej tersebut membekukan perkhidmatan bayaran rawatan kakitangan KUIN kepada klinik panelnya. Menurut sumber, tunggakan hutang kepada klinik tersebut telah mencecah RM60,000.

Selain itu, KUIN juga mempunyai hutang mencecah ratusan juta ringgit membabitkan pinjaman dengan Bank Islam dan juga berhadapan dengan saman sebuah syarikat yang menuntut bayaran bagi menyediakan 300 katil untuk penginapan pelajar.

Semua masalah ini dikatakan berpunca dari pengurusan yang lemah yang gagal menyediakan belanjawan yang realistik di mana ada di kalangan pensyarah yang menerima gaji setinggi RM35,000.

Itu hanya antara yang kelemahan yang berjaya dihidu oleh orang luar. Siapa tahu entah apa lagi masalah dalaman yang kelihatan remeh tetapi membawa kepada impak yang besar.

Kerajaan Negeri Kedah bagaimanapun terus menafikan bahawa KUIN menghadapi masalah. Ini bukan mengejutkan kerana kerajaan negeri Kedah, atau PR khasnya tidak pernah mengakui apa-apa kelemahan atau keburukan mereka walaupun ia begitu nyata.

Jika benar bahawa tiada masalah di KUIN, Dato’ Seri Azizan Razak seharusnya menjelaskan secara terperinci dan bukan hanya membuat penafian ‘atas angin’ sahaja. Kita sudah muak mendengar penafian dan alasan bahawa semuanya berpunca dari kerajaan terdahulu.

Masa depan pelajar-pelajar KUIN tidak wajar dipolitikkan. Kerajaan Kedah harus lebih bertanggungjawab mengakui kelemahan dan bertindak pantas untuk mengatasinya.

Menurut maklumbalas dari KUIN sendiri, Kolej itu adalah antara IPTS yang mengenakan bayaran yang terendah kepada pelajarnya berbanding dengan IPTS lain. Yuran pelajar diploma hanya RM48 bagi satu jam kredit, manakala untuk ijazah pula RM60 satu jam kredit. Sedangkan IPTS lain ada yang meletakkan harga sehingga RM250 untuk satu jam kredit.

Ini dikatakan antara sebab kenapa KUIN mengalami masalah kewangan yang teruk. Oleh yang demikian, kita menyarankan kepada kerajaan negeri Kedah agar membantu membayar yuran tambahan bagi pihak pelajar bagi mengatasi masalah kewangan KUIN. Tindakan ini juga akan dilihat sebagai langkah awal ke arah merealisasikan aspirasi PR untuk menyediakan pendidikan percuma. Selain itu, tindakan ini juga adalah selaras dengan perjuangan Negara Kebajikan PAS.

Bersih 3.0: Ranjit Mahukan Kebenaran Dari Majlis Peguam


Salah seorang daripada ahli Majlis Peguam (Bar Council) telah muncul di YouTube dan meminta agar Majlis Peguam memberi sebab terhadap segala keganasan yang berlaku ketika perhimpunan Bersih 3.0 didalam laporan mereka.

Dalam video selama tujuh minit tersebut yang dimuatnaik pada tiga hari yang lalu, peguam, Ranjit Singh Dhillon berkata bahawa Pengerusi badan tersebut, Lim Chee Wee telah 'termakan senjata sendiri' melalui kenyataan bercanggah yang dibuat terhadap provokasi kepada pihak polis yang dilakukan oleh peserta-peserta.

"Dia (Lim) adalah seorang ketua terhadap sebuah badan professional dan didalam laporan dsebanyak 26 mukasurat tersebut, segala apa yang ditulis adalah bercanggah.

"Undang-undang adalah sesuatu yang khusus. Kita sepatutnya berkhidmat untuk rakyat. Laporkan apa yang sebenarnya berlaku dan serahkan kepada rakyat untuk menilai," kata Ranjit terhadap laporan tersebut.

Beliau berkata bahawa pada peringkat awal laporan tersebut, Majlis Peguam menyatakan bahawa tiada provokasi dilakukan terhadap pihak polis pada awalnya. Provokasi hanya dilakukan di saat-saat akhir perhimpunan.

Ranjit menyatakan bahawa beliau agak terkejut apabila Lim tidak menyatakan apa-apa terhadap apa yang menyebabkan berlakunya keganasan di Dataran Merdeka ketika perhimpunan tersebut, dan dengan dakwaan yang mengatakan bahawa walaupun setelah penghadang polis dimusnahkan, pihak polis tidak berganjak sehingga peserta masuk sejauh 50 meter dari penghadang tersebut.


Laporan tersebut adalah berdasarkan pemerhatian 78 sukarelawan dari majlis tersebut dan mereka memerhatikan perhimpunan tersebut dari enam penjuru.

Mereka memfokuskan bahawa keganasan pihak polis adalah lebih teruk berbanding dengan tindakan mereka pada perhimpunan yang sebelumnya, Bersih 2.0.

Ranjit berkata, kebebasan untuk berhimpun di negara-negara demokrasi perlu ada batas dan syarat-syarat tertentu.
Apabila membandingkan kedua-dua perhimpunan, beliau berkata bahawa peserta Bersih 2.0 merempuh masuk ke Dataran Merdeka walaupun kawasan tersebut tidak meluluskan permit mereka untuk berhimpun di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, penganjur Bersih 3.0 masih mahukan Dataran Merdeka walaupun pihak berkuasa telah menawarkan Stadium Merdeka kepada mereka.

Beliau bersetuju bahawa perhimpunan Bersih adalah satu perhimpunan antara NGO-NGO, tetapi, beliau berkata bahawa perhimpunan seperti itu akan sering disertai oleh pemimpin-pemimpin politik yang mahu berkerjasama dengan pihak penganjur.

Gambar Panas Azmin Ali: Agenda Umno atau PKR?


NAMPAKNYA dunia politik negara sudah menjadi seperti dunia artis barat, tidak reda-reda dengan kisah skandal seks. Daripada yang dibawa ke mahkamah sehinggalah kepada yang bertebaran di ruang-ruang siber dan dada-dada akhbar.

Terbaru yang sedang hangat diperkatakan ialah mengenai gambar-gambar "terlampau" seorang lelaki yang dikata sebagai Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Beliau juga merupakan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.

Perbahasan selalunya akan bermula sama ada benar atau tidak si pelaku dalam gambar atau video tersebut merupakan ahli politik yang tertuduh. Daripada itu akan ada perbincangan pula siapa punya kerja dan agenda siapa.

Walaupun tampak seperti Azmin namun saya tidaklah berani 100 peratus menyatakan orang tersebut adalah Azmin. Hanya ALLAH, Azmin, dan mereka yang terbabit sahaja mengetahui kebenarannya. Saya bersangka baik bahawa orang tersebut mungkin individu yang menyerupai Azmin.

Namun saya fikir jalan terbaik buat Azmin bukannya melakukan saman malu tetapi membuat laporan Polis kerana ia membabitkan tuduhan yang sangat serius ke atas dirinya. Melalui laporan polis, Azmin bukan sahaja dapat membersihkan dirinya, malah mungkin dapat mengetahui siapa dalang di sebalik isu ini.

Sungguhpun Pakatan dan Azmin sendiri bersungguh mahu menyatakan ini agenda jahat Umno, namun tidak mustahil ini merupakan agenda dalaman parti Azmin sendiri. Ini dapat dilihat dari reaksi beberapa pemimpin PKR yang jelas sekali tidak bersungguh mempertahankan Azmin dalam isu ini.

Seorang pemimpin besar PKR di Selangor enggan mengulas mahu pun mempertahankan Azmin. Pemimpin ini bukan sahaja mempunyai kuasa yang besar di Selangor tetapi juga diketahui berada di kem yang berbeza dengan Timbalan Presiden PKR. Ini menimbulkan tanda tanya apakah terdapat agenda dalam PKR sendiri untuk menjatuhkan Azmin.

Azmin harus berhati-hati dengan musuh dalam selimut kerana telah banyak sejarah politik Melayu tertulis bahawa kejatuhan seseorang pemimpin atau kerajaan Melayu kerap berpunca daripada "orang dalam sendiri" sehingga ada peribahasa Melayu, "bagai gunting dalam lipatan."

Menilai sikap Azmin selama menjadi Timbalan Presiden PKR dan Ketua Penyokong Kerajaan di Dewan Negeri Selangor, maka kemungkinan besar rencana dan agenda menjatuhkannya beliau ini direncanakan oleh orang di dalam partinya sendiri.

Akhirnya sebagai sesama muslim saya berharap Azmin dapat meluangkan masa menemui ibunya. Walau apa pun tanggapan dan perasaan Azmin, perasaan ibunya harus menjadi keutamaan. Pulanglah, sekurang-kurangnya dapat mendamaikan hati seorang ibu. Ingatlah ajaran Islam bahawa "sebahagian syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu kita."

* Dipetik dari blog Cetusan Dr Mohamad Khir Toyo

KJ: Ketua Pemuda Umno Jangan Lebih 40 Tahun


Khairy Jamaluddin mahu had maksimum umur penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno ditetapkan 40 tahun dan beliau akan mengesyorkan perkara itu apabila berundur dari pergerakan tersebut.

Sehubungan itu, jelas Khairy, beliau akan mengesyorkan agar idea itu dipertimbangkan oleh pergerakan itu apabila melepaskan jawatan Ketua Pemuda kelak.

Pada masa sekarang tiada had umur bagi mereka yang hendak memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.

"Pemuda Umno had umur 40. Tapi Ketua Pemuda tiada had umur. Saya nak cadang had umur 40 untuk KP (Ketua Pemuda) bila saya lepaskan jawatan," kata beliau yang memenangi jawatan itu pada pemilihan diadakan Mac 2009

Beliau, 36, melahirkan pandangan ini ketika berinterasi dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi Twitter tengah hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak mahu membawa perkara itu sekarang kerana bimbang akan ada pihak mengatakan beliau hendak menyekat peluang orang lain.

"Kalau saya cadang sekarang orang kata saya nak sekat orang lawan saya. Selepas saya selesai lakukan (melepaskan jawatan), saya akan cuba untuk mengubah had umur Ketua Pemuda," katanya lagi.

Saifuddin yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, beliau menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendefinisikan semula had umur golongan belia iaitu antara 15 dan 30 tahun.

"Definisi belia PBB: 15-24 (tahun). Kita (Malaysia): 15-40, tertua di dunia! Pada 1997, saya cadang turunkan had umur, tapi ditolak. Kini KBS cadang 15-30, sesuai," katanya lagi.-SH

Saiful Apek Kecam David Teo Kutuk Arwah Bob Kuman

Kesedihan Saiful Apek amat jelas kelihatan apabila mengenangkan beliau tidak berada bersama arwah Bob Kuman semasa menghembuskan nafas terakhir.

Pemergian Allahyarham Bob Kuman ternyata masih lagi belum reda meski pun jenazahnya sudah selamat dikebumikan pada minggu lepas.

Kisah hidup Bob Kuman menjadi perhatian umum apabila Allahyarham tampil ke depan mendedahkan sikap David Teo dan syarikat produksinya yang beliau dakwa tidak mengendahkan kesihatan dirinya dan menghulurkan bantuan kewangan walaupun Allahyarham jatuh sakit di lokasi pengambaran.

Malah, isu antara mereka berlarutan sehinggalah David Teo membuat kenyataan Bob Kuman sebenarnya hanyalah meraih simpati dan meminta sedekah dengan mengeluarkan cerita sedemikian.

Masalah mereka berdua berlarutan hinggalah Bob Kuman menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Terkini, seorang lagi pelakon dan pelawak tanah air, Saiful Apek pula membangkitkan kontroversi terbaru tentang pemergian Allahyarham Bob Kuman.

Saiful Apek telah memuat naik status di laman sosial Facebooknya (FB Fanpage) iaitu kenyataan yang menyindir David Teo.

“HA! HA! HA! Sikalang wa balu aman sbab itu olang talak mule mintak sedekah & aniaya wa lagi! HA! HA! HA!”, kenyataan di FB Fanpage Saiful Apek yang didakwa dari David Teo.


Pada mulanya, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan yang kononnya dikeluarkan David Teo tentang Allahyarham Bob Kuman itu adalah benar atau tidak.

Namun, melihatkan balasan Saiful Apek dengan soalan-soalan yang diajukan oleh peminat-peminatnya di laman Twitter dan Facebooknya mengukuhkan lagi kenyataan itu mungkin dari David Teo yang telah mengutuk diri Allahyarham Bob Kuman.


Kenyataan David Teo itu sedikit sebanyak telah pun mengguriskan hati Saiful Apek di mana kenyataan ‘melampau’ penerbit itu seolah-olah tidak menghormati dan menghargai diri Allahyarham.

Semoga, isu tentang Allahyarham Bob Kuman tidak perlu diperbesarkan lagi memandangkan tiada lagi insan seni itu di dunia ini.

Biarlah rohnya tenang bersemadi di sisi Illahi dan mendoakan kesejahteraannya di sana. Amin.
-http://mynewshub.my