Di bawah adalah petikan dari laman web www.rembau.net kenyataan penuh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin berhubung isu KWSP...
Apabila saya buat pertama kalinya membaca tentang suatu skim yang akan menyalurkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai pinjaman pembelian perumahan awam oleh mereka yang tidak layak mendapat pinjaman daripada bank komersial, saya bersetuju dengan kebimbangan tentang skim tersebut sebagaimana yang telah disuarakan oleh YB Tony Pua.
Walaupun saya menyokong kuat sebarang langkah bagi memudahkan orang ramai untuk memiliki rumah disamping menyokong program-program seperti Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dan Skim Rumah Pertamaku, saya juga mengambil sikap kritis dan berhati-hati terhadap sebarang inisiatif oleh kerajaan yang melibatkan penggunaan wang KWSP terutama bagi pelaburan berisiko tinggi. Sebagai Ahli Parlimen, saya mempertahankan prinsip asas bahawa wang KWSP adalah hak milik pencarum dan dari itu, kerajaan dan institusi yang menguruskan dana tersebut hanya berbuat demikian sebagai pemegang amanah dari pekerja Malaysia.
Setelah membaca pelbagai kenyataan dari pihak kerajaan dan beberapa ahli politik pembangkang, saya ingin melontarkan beberapa komen dan persoalan mengenai skim ini. Sungguhpun, pada mulanya saya bersetuju dengan reaksi YB Tony, perincian dan penelitian kepada beberapa fakta dan isu pokok berkenaan skim ini telah membuatkan saya menyimpulkan bahawa beberapa komen yang dibuat olehnya dan rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat adalah mengelirukan.
Antara dakwaan berat terhadap skim ini adalah bahawa skim ini menyalahi undang-undang dan mendedahkan KWSP kepada kelompok peminjam 'subprima' yang tidak layak mendapat pinjaman daripada bank komersial (kerana ketiadaan pendapatan yang stabil dan / atau aset peribadi untuk menjamin apa-apa pinjaman) dan seterusnya menimbulkan risiko tinggi kegagalan menanggung dan membayar balik pinjaman.
Mari kita lihat pada isu perundangan terlebih dahulu. YB Tony mengatakan bahawa seksyen 26 Akta KWSP tidak membenarkan KWSP untuk memberikan pinjaman kepada individu. Oleh itu, skim ini menyalahi undang-undang kerana ia menyediakan pinjaman kepada individu yang hendak membeli rumah. Bagi menilai samaada dakwaan ini benar, kita perlu mengkaji struktur skim ini. Adakah KWSP pinjaman terus kepada individu? Atau ia berupa pinjaman KWSP kepada kerajaan melalui agensi kerajaan? Berdasarkan komen daripada kerajaan, KWSP akan meminjamkan wang kepada kerajaan menerusi satu yayasan yang ditubuhkan untuk tujuan ini. Jika ini adalah benar maka persoalan tentang sahnya transaksi dari sisi undang-undang tidak timbul.
Beralih kepada isu yang sangat penting dan hangat diperbahaskan tentang pinjaman 'subprima', saya bersetuju dengan pandangan bahawa ini adalah satu pelaburan yang tidak berhemah dan berisiko tinggi oleh KWSP sekiranya mereka memberi pinjaman terus kepada individu yang mempunyai penarafan kredit yang kurang baik. Tetapi jika KWSP memberi pinjaman kepada kerajaan, apakah risiko kepada KWSP? Saya akan membuat beberapa andaian di sini kerana kualiti maklum balas daripada pemimpin-pemimpin kerajaan mengenai isu ini tidak begitu menyeluruh dan mantap sehinggakan memberi ruang untuk YB Tony dan ahli politik pembangkang yang lain untuk menyerang kerajaan berdasarkan hujah-hujah yang dangkal.
Saya mengandaikan bahawa skim ini dibiayai oleh KWSP sebagai pinjaman kepada kerajaan, bukan kepada individu. Kerajaan pula akan memberi pinjaman kepada individu untuk membeli rumah awam mampu milik yang dibina oleh kerajaan. Jika ini benar, pinjaman daripada KWSP tidak 'subprima' kerana ia dibuat kepada kerajaan Malaysia yang mempunyai penarafan kredit yang baik. Bahkan ia tidak melibatkan sebarang pinjaman secara langsung kepada pembeli rumah secara individu. Ia adalah pinjaman langsung dari KWSP kepada kerajaan. Jadi risiko kredit yang diambil oleh KWSP hanya berkait dengan penarafan kerajaan Malaysia, dan bukannya terdedah kepada penarafan kredit individu yang tidak boleh mendapatkan pinjaman di bank komersial.
Perdana Menteri baru-baru ini mengulas bahawa kepentingan pencarum KWSP akan dilindungi kerana "rumah boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi." Saya menganggap bahawa kenyataan PM itu merujuk kepada jaminan perlindungan oleh kerajaan kepada KWSP. Secara mudahnya, jika kerajaan meminjam daripada KWSP, apakah cagaran yang kerajaan letakkan? Namun demikian kenyataan Perdana Menteri hanya merangkumi separuh daripada isu pokok yang berkaitan kerana ia merujuk kepada aset rumah yang akan dijadikan sebagai sebagai jaminan perlindungan untuk KWSP tetapi tidak pula meliputi butiran lanjut. Persoalan saya kepada kerajaan dan KWSP adalah: Apakah aset kerajaan akan digunakan bagi mendapatkan pinjaman itu? Apakah "rumah" yang dirujuk oleh PM? Saya mengandaikan bahawa PM merujuk kepada hartanah milik kerajaan sedia ada yang akan digunakan sebagai cagaran untuk skim ini. PM juga berkata bahawa "rumah boleh dijual untuk harga yang lebih tinggi (daripada nilai pinjaman)." Kalau begitu, apakah nilai cagaran berbanding dengan pinjaman? Adakah kerajaan juga perlu meletakkan cagaran tunai (pastinya KWSP dilihat lebih berhemah dengan meminta gabungan cagaran aset fizikal dan tunai)? Memandangkan bahawa skim ini adalah pinjaman KWSP kepada kerajaan, saya menganggap ia akan dijamin sepenuhnya dengan cagaran yang baik. Oleh sebab itulah kita mengharapkan maklumat terperinci bagi memadamkan sebarang kegusaran pencarum KWSP.
Jawapan kepada segala persoalan tadi akan dapat menangani kebimbangan awam dengan lebih berkesan berbandingan kenyataan umum dari menteri yang berkaitan dan komen ringkas dari PM. Pada masa yang sama, kesemua andaian saya berdasarkan maklumat terhad yang sedia ada telah menangkis tuduhan palsu pembangkang bahawa skim ini akan mendedahkan KWSP kepada peminjam subprima.
Isu lain berhubung skim ini adalah pulangan kepada KWSP. Jika KWSP membuat pinjaman ini kepada kerajaan untuk skim ini, apakah ia akan dapat menjana pulangan yang kompetitif berbanding dengan lain-lain pelaburan KWSP membuat? Kita perlu ingat bahawa cakupan portfolio pelaburan KWSP adalah luas. Selain melabur dalam syarikat-syarikat, ia juga membuat pelaburan dalam pasaran modal – dalam bentuk saham atau ekuiti dan juga juga bon. KWSP juga boleh memberi pinjaman terus kepada kerajaan atau membeli bon kerajaan.
Jadinya daripada perspektif KWSP, mereka melihat skim ini sebagai salah satu daripada pinjaman mereka kepada kerajaan. Tetapi apakah pulangan yang dijangkakan daripada pinjaman ini? Saya ada terbaca bahawa kadar faedah yang bakal dijana adalah sebanyak 5.5% bagi pinjaman ini. Oleh itu, bagaimanakah perbandingan pulangan itu dengan pendapatan dari bon kerajaan Malaysia? Apakah ianya kurang berbanding hanya membeli bon kerajaan Malaysia? Adakah pencarum KWSP akan kehilangan prospek pulangan yang lebih baik lantaran kewajipan sosial kerajaan yang dibiayai oleh pinjaman KWSP?
Bagi saya , sekiranya KWSP boleh mendapatkan pulangan yang baik daripada kerajaan melalui pinjaman ini setelah mengambil kira perbandingannya dengan tanda aras pelaburan lain dalam kelas aset yang sama, mengapa pula KWSP harus menolak dari memberi pinjaman?
Jika segala andaian dan sangkaan saya benar, maka kesemua isu yang dibangkitkan oleh YB Tony dan rakan-rakannya adalah tidak berasas sama sekali. Kita tidak perlu gusar tentang wang KWSP kerana pinjaman itu dibuat kepada kerajaan dan oleh itu mempunyai sandaran kuat jaminan kerajaan. Itulah jaminan yang terbaik. Isu sebenar yang mana pembangkang telah terlepas pandang sepenuhnya adalah wang yang terdedah dalam skim ini bukannya wang KWSP tetapi wang daripada kerajaan, yakni wang rakyat.
Sepertimana diterangkan tadi, risiko bagi skim ini tidak ditanggung oleh KWSP tetapi oleh kerajaan. Sungguhpun jika ada pembeli rumah yang tidak dapat membayar balik pinjaman kepada kerajaan, kerajaan masih perlu membayar KWSP. Jadi risiko kredit dipikul sepenuhnya oleh kerajaan. Sebenarnya kerajaanlah yang membuat pinjaman 'subprima', bukan KWSP. Ia adalah kerajaan yang mendedahkan dirinya kepada pinjaman berisiko, bukan KWSP. Sebagai Ahli Parlimen dan penjaga amanah pengundi saya, saya ingin tahu apakah proses untuk menyemak permohonan pinjaman di bawah skim ini? Apakah proses pengurusan risiko yang akan dilaksana oleh kerajaan sebelum memberi pinjaman ini? Jika peminjam adalah mereka yang sebaliknya akan ditolak oleh bank komersial, apakah pula kriteria kerajaan yang akan digunapakai bagi meluluskan permohonan pinjaman? Ini adalah isu pokok yang jauh lebih penting daripada persoalan yang tidak relevan oleh ahli parlimen pembangkang kerana akhirnya sebarang risiko melibatkan wang rakyat, bukannya KWSP.
Sebagai coretan akhir, saya hanya mahu menonjolkan sikap hipokrasi pembangkang mengenai isu ini. Dakwaan mereka di sini ialah KWSP dipaksa untuk membuat pinjaman berisiko untuk membiayai langkah populis kerajaan menerusi program perumahan rakyat. Saya fikir bahawa hujah mereka itu telah pun disangka dengan penjelasan saya di sini. Namun, biarlah saya mengingatkan mereka sesuatu yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Buku Jingga mereka. Salah satu daripada janji mereka jika mereka menang, mereka akan mengambil alih keseluruhan aset dan operasi lebuh raya PLUS dan memansuhkan tol. Mereka akan laksanakan semua ini dengan mengarahkan badan-badan kerajaan yang memiliki sebahagian daripada ekuiti PLUS untuk membeli pemegang saham minoriti yang lain dan kemudian memansuhkan tol. Badan-badan kerajaan yang memiliki PLUS adalah Khazanah dan KWSP. KWSP telah melabur dalam PLUS kerana ia mendapat pulangan yang baik dari pendapatan yang dijana oleh tol. Jika pembangkang mula berkuasa dan menghapuskan tol, KWSP akan hilang sepenuhnya pulangan daripada pelaburan mereka dalam PLUS. Ini adalah jauh lebih buruk daripada KWSP membuat pinjaman bercagar kepada kerajaan. Jika pembangkang menuduh kerajaan tidak bertanggung jawab dengan menggunakan wang KWSP dalam skim perumahan tersebut, mereka lupa bahawa candangan Buku Jingga mereka akan membuatkan KWSP tidak mendapat apa-apa pulangan daripada pelaburan mereka dalam PLUS dan membawa kerugian kepada jutaan pekerja Malaysia!
Jadi, eloklah sekiranya YB Tony dan rakan-rakannya mencerminkan diri sendiri dan mengingatkan diri mereka semula dengan segala janji-janji mereka yang tidak bertanggungjawab, tidak realistik dan melulu yang boleh menghapuskan berbilion sumbangan pekerja dalam KWSP sebelum membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan. Saya sedang menantikan respon dari kerajaan dan KWSP untuk menjawab segala persoalan yang telah saya timbulkan. Selain dari parti pembangkang yang tidak tahu menanya soalan yang betul dan dengan mudahnya lupa cadangan mereka sendiri yang melibatkan wang KWSP yang amat tidak bertanggung jawab, saya juga ingin menegaskan bahawa tindak balas kerajaan terhadap isu ini juga tampak tidak begitu baik dan meyakinkan. Kerajaan tidak boleh mengumumkan skim seperti ini tanpa butiran yang diperlukan dan memberi respon yang tepat dan cepat. Kualiti maklumat yang datang dari kerajaan dilihat tidak mantap dan lambat. Jika menteri tidak boleh menejelaskan skim ini secara terperinci, berikan ruang kepada pihak profesional untuk menerangkannya kepada orang ramai dengan berkesan dan pantas.